TERKINI :

Monday, August 15, 2016

Musa Hitam salahkan ‘AIDS’ kerana sengketa dengan Mahathir

Tun Musa Hitam dilaporkan meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1986 kerana ketiadaan persefahaman yang tidak boleh diperbaiki dengan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, keputusannya dibuat sekelip mata gara-gara apabila Mahathir menuduhnya cuba untuk menjatuhkannya.

Dakwaan palsu itu, kata Musa disebarkan oleh tiga pemimpin yang digelar sebagai "AIDS" iaitu singkatan nama untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Sanusi Junid.

Dalam bukunya 'Frankly Speaking', Musa menceritakan bagaimana Mahathir pada akhir tahun 1985, menghambur kepada Majlis Tertinggi Umno tentang seseorang yang cuba untuk menggulingkannya tetapi tidak menamakan individu berkenaan.

"Sepanjang hamburannya itu, saya cukup naif untuk tidak berfikir bahawa beliau bercakap tentang saya. Sebaliknya, saya hanya senyap menyumpah individu yang tidak dinamakan ini.

"Saya masih ingat, saya menoleh kepada Daim, yang duduk di sebelah saya, memintanya menerangkan apa yang diperkatakan oleh perdana menteri. Daim, ketika itu menteri kewangan, menjawab bahawa beliau tidak tahu," tulis Musa.

Musa kemudiannya mendapati "kumpulan yang dikenali sebagai AIDS" telah menyebarkan "cerita negatif" mengenainya, tetapi beliau tidak mengambil serius tuduhan berkenaan pada masa itu.

Pada bulan Disember tahun itu, Musa berkata beliau akhirnya menyoal Mahathir berhubung siapa yang cuba untuk menjatuhkannya.

"Bagi saya, individu berkenaan melakukan sesuatu yang terlalu serius untuk diabaikan.

"Berdasar semangat itu, semasa melawatnya di Kementerian Pertahanan pagi berikutnya, saya bertanya kepadanya. 'Siapakah yang kamu bercakap itu? Siapa yang cuba menggulingkan kamu?'

"Jawapannya adalah kejam kerana ia berterus-terang: Kamu-lah!"

Punca sebenar

Selepas pulih daripada kejutan, Musa berkata, beliau membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri, kerana merasakan dirinya tidak lagi boleh berkhidmat jika tidak lagi mendapat kepercayaan.

"Keputusan saya untuk meletak jawatan tidak ada kaitan dengan ketiadaan persefahaman, ketidakserasian, atau (Tengku) Razaleigh (Hamzah)," katanya merujuk kepada kenyataan Mahathir bahawa beliau meletakkan jawatan kerana kekecewaan kerana Razaleigh dilantik ke kabinet walaupun tewas pada pertandingan untuk jawatan timbalan presiden Umno pada tahun 1984.

Beliau berkata peletakan jawatannya juga bukannya disebabkan oleh Insiden Memali pada tahun 1985, di mana Musa dipersalahkan mengakibatkan kematian 14 orang awam dan empat anggota polis, mahupun perbezaan gaya kepimpinan mereka.

Musa turut menafikan dakwaan bahawa beliau menghasut Razaleigh mencabar Mahathir pada pemilihan parti Umno pada 1987.

Sebaliknya, Razaleigh membuat keputusan sendiri untuk bertanding jawatan presiden Umno dan Musa berkata beliau sendiri hanya mempertahankan jawatan timbalan presiden Umno menentang pencabarnya, Tun Ghafar Baba yang menggantikannya sebagai timbalan perdana menteri.

Musa berkata, meskipun beliau menyokong usaha Razaleigh menentang Mahathir, beliau tidak mempunyai niat untuk menanggotai kabinet putera Kelantan itu sekiranya gandingan mereka menang pada pemilihan parti.

Pemilihan Umno 1987 menyaksikan kemenangan tipis untuk Mahathir dan Ghafar.

Bagaimanapun, keputusan pemilihan itu dicabar dan dibawa ke mahkamah yang kemudiannya mengisytiharkan Umno tidak sah dan dibatalkan pendaftarannya.

Mahathir seterusnya menubuhkan Umno Baru, manakala Razaleigh membentuk Semangat 46.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...