TERKINI :

Wednesday, August 17, 2016

Misteri MO1? MP Umno kata Agong, tapi kemudian sunting tulisan

Misteri mengenai siapa individu yang dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1' yang dinamakan dalam saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika berkaitan dakwaan penyelewengan dana 1MDB menjadi semakin kalut dengan kenyataan wakil rakyat Umno, Datuk Nawawi Ahmad.

Dalam tulisan di Facebook, yang disunting empat jam kemudian, ahli parlimen Langkawi itu, berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab terhadap kerajaan.

"Menurut perlembagaan negara, kerajaan negara ini dibentuk dari tiga entiti utama yang berasingan dan independen (bebas) - badan kehakiman diketuai oleh Ketua Hakim Negara, badan perundangan parlimen oleh Yang Dipertua Dewan, Tan Sri Pandikar Amin (Mulia) dan badan ekskutif (yang) diketuai oleh perdana menteri.

"Semua ketiga-tiga badan ini bertanggungjawab kepada Agong.

"Maka, mengikut perlembagaan, MO1 ialah Agong," katanya.

Dalam versi yang disunting, baris terakhir dalam posting telah digantikan dengan perkataan, "Maka, mengikut perlembagaan MO1 bukan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) kerana dia (adalah sama ada) MO2, MO3, atau MO4."

Dalam komennya kemudian, Nawawi berkata, beliau tidak bercakap mengenai MO1 dalam konteks saman mahkamah DOJ, tetapi sebaliknya dari segi perlembagaan.

Malaysiakini telah menghubungi Nawawi untuk mendapatkan penjelasan mengapa dirinya menyunting tulisan asalnya itu.

MO1, menurut DOJ adalah seorang pegawai awam kanan yang didakwanya menerima AS$ 731 juta dana yang disalurkan dari 1MDB.

DOJ juga berkata MO1 mempunyai pertalian dengan anak tiri Najib, Riza Aziz.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata bahawa hanya orang bodoh tidak tahu siapa itu MO1, manakala pembangkang menuding jari kepada Najib.

Najib, bagaimanapun, menafikan dakwaan menyalahgunakan dana awam, dan mendakwa tuduhan seperti itu adalah sebahagian daripada plot untuk menjatuhkannya.

MALAYSIAKINI

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...