TERKINI :

Friday, August 12, 2016

Mengesan kemana hilangnya 4 tokoh pembangkang yang pernah menggegar persada politik negara...

Dari politik ke ladang tomato: Mengesan 4 bekas pemimpin pembangkang
Aedi Asri

PETALING JAYA: Menceburi bidang politik tiada had umur. Ada yang bermula bila mencecah usia 40-an, tetapi meninggalkan kesan mendalam walaupun cuma beberapa tahun di pesada politik.

Ia juga tidak ada umur persaraan. Kadang-kadang, secara rasminya bersara atau dipaksa bersara, namun nama mereka sentiasa muncul dan dikaitkan dalam pelbagai permainan politik. Contoh terbaik ialah Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersara pada 2003, dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sekali lagi dipenjarakan menyebabkan kehilangan jawatan ketua pembangkang.

Tetapi ada juga yang muncul buat seketika, menunggangi gelombang politik, hanya untuk tercicir sehingga tidak kedengaran lagi.

Di mana mereka sekarang? FMT cuba mengesan beberapa watak politik yang sebelum ini memenuhi ruang media, tetapi kini seakan hilang terus.

Gobalakrishnan dan ladang tomato

Sekiranya ada ensiklopedia mengenai era reformasi pada 1990-an dulu, nama N. Gobalakrishnan pasti mendapat catatan. Bekas ahli politik MIC ini muncul lewat 1998, dan bergerak aktif dalam PKR sebelum memenangi kerusi Parlimen Padang Serai pada PRU 2008.

Pernah menjadi naib presiden PKR, Gobala membuat pengumuman keluar parti pada 29 Januari 2011 atas alasan “bosan” dengan Anwar dan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali yang didakwanya mengawal 100% parti itu.

Ketika dihubungi FMT, Gobalakrishnan memaklumkan yang beliau kini terlibat dalam bidang pertanian, dan memiliki 6 ekar ladang tomato di Cameron Highlands yang hasilnya turut dipasarkan ke Singapura.

“Ini adalah perniagaan yang mendatangkan pulangan yang baik. Di sini ada 50 ekar tanah yang boleh diusahakan, tetapi masih belum ada pelabur yang dapat membantu saya,” katanya yang berulang-alik setiap minggu dari tempat tinggalnya di Kulim, Kedah.

Bagi beliau, pembangkang berpecah kerana tidak ikhlas dalam perjuangan.

“Keadaan akan jadi lebih baik jika Anwar di luar (penjara). Beliau dan Najib patut bekerjasama, negara perlukan mereka,” katanya, yang masih menaruh harapan kepada Anwar.

Menurut Gobala, Anwar mampu menangani ancaman IS kerana pengaruhnya di kalangan pemimpin Islam dunia yang lain.

Hasan Ali bersama tabligh

Penceramah agama dan motivasi sepanjang era 90-an ini mula lebih terkenal selepas menyertai PAS pada zaman reformasi 1998.

Kini, Datuk Hasan Mohamed Ali kembali menumpukan perhatian kepada perniagaan, empat tahun selepas beliau dipecat oleh PAS kerana tidak mematuhi dasar parti.

Jawatan politik terakhir beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, dan disebut-sebut menjadi menteri besar Selangor sekiranya Pakatan Rakyat merampas negeri itu daripada BN pada pilihan raya 2008. Bagaimanapun, ia tidak menjadi, dan Hasan dilantik exco agama sehinggalah pemecatan beliau.

Beliau juga kini giat dengan kumpulan dakwah Jemaah Tabligh, yang menurutnya ditinggalkan sementara ketika terlibat aktif dalam politik.

“Ia sesuatu yang saya lakukan 25 tahun lalu. Ia terhenti sekejap kerana sibuk dengan politik, maka sekarang saya perbaharui semula.

“Saya tidak rindukan politik, dan tidak fikir akan kembali (bergiat aktif),” katanya kepada FMT.

Zulkifli Noordin

Siapa yang dapat melupakan gambar Datuk Zulkifli Noordin dicium seorang pemuda India berbaju Barisan Nasional ketika hari pencalonan PRU 2013.

Zulkifli ketika itu dilantik Najib bagi melawan “musuhnya” Khalid Samad, penyandang kerusi Parlimen Shah Alam.

Tidak lama sebelum itu, beliau mengundang kontroversi apabila rakaman ceramahnya menghina agama Hindu tersebar secara meluas.

Peguam syariah ini pernah menyertai panel peguambela Anwar ketika dipecat dahulu.

Beliau juga aktif terlibat dalam melawan kes murtad, dan ketika masih berada dalam PKR mengundang kontroversi kerana pendiriannya yang tidak selari dengan polisi parti pelbagai kaum itu.

Pada 2010, Zulkifli dipecat selepas pertelingkahan terbuka dengan Khalid dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Namun, beliau masih cuba menampilkan dirinya dalam politik semasa dengan komen menyindir pembangkang dan memuji pentadbiran Najib.

Ezam Mohd Nor

Beliau barangkali antara ahli politik paling menonjol ketika zaman reformasi.

Ezam, salah seorang pengasas PKR, ibarat bintang yang kehabisan sinar sebelum waktunya.

Beliau dan Azmin merupakan tokoh paling rapat dengan Anwar, malah Ezam menggalas jolokan “klon Anwar” dengan bangga.

Ada banyak cakap-cakap di sebalik keluarnya Ezam daripada lingkungan pembangkang, namun sebab rasmi yang direkodkan adalah perjuangannya tidak lagi sehaluan dengan Anwar dan Azmin. Beliau dilantik senator sejurus selepas kembali kepada Umno.

“Ezam Kotak”, begitulah jolokan terhadap beliau kerana mendakwa memiliki 6 kotak menyimpan dokumen salah laku pemimpin negara. Beliau kemudian menafikan perkara itu dan berkata ia berada dalam simpanan Anwar.

April lalu, Ezam menafikan khabar angin yang beliau akan menyertai semula PKR. Kini menetap di Indonesia untuk menumpukan perhatiannya dengan NGO Hisbah Centre for Reform.

Beliau juga masih mengulas isu politik. Antaranya, beliau mengkritik penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi menutup laporan akhir siasatan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...