TERKINI :

Thursday, August 25, 2016

Ku Li beri amaran jangan pandang rendah BERSATU

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak mengambil mudah serta memperlekehkan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya, semua pihak, khususnya Umno perlu memandang serius penubuhan parti baru itu kerana ia dianggotai mereka yang berpengaruh serta pernah berada dalam Umno.

Menurut ahli parlimen Gua Musang itu, ini lebih-lebih lagi dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengasas parti berkenaan.

"Kedua-dua pemimpin ini mempunyai pengaruh, berpengalaman dan kita tidak boleh memandang rendah terhadap mereka," katanya yang dipetik oleh Berita Harian Online.

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh berkata, beliau tidak pasti sama ada parti baru itu akan mendapat sokongan rakyat.

"Saya sendiri tidak dapat membuat penilaian mengenai perkara itu kerana ia parti baru tapi yang pasti Umno perlu memberi perhatian serius," katanya kepada pemberita selepas perasmian penutup Kem Kecemerlangan Perdana Parlimen Gua Musang.

Muhyiddin pada 9 Ogos lalu mendaftarkan BERSATU yang menyasarkan untuk bertanding melawan Umno pada pilihan raya umum akan datang.

Bagiamanpun, BERSATU menerima kecaman pelbagai pihak apabila parti itu mengumumkan keahliannya hanya dibuka kepada masyarakat bumiputera dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

Namun pemimpin dan penyokongnya mempertahankan parti itu dengan berkata imej sedemikian penting untuknya berdepan dengan Umno di kubu majoriti Melayu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...