TERKINI :

Monday, August 22, 2016

Kerusi PAS milik Amanah, isytihar Salahuddin Ayub

PETALING JAYA : Kerusi yang ditandingi PAS adalah milik Amanah, isytihar timbalan presidennya, Salahuddin Ayub selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengintai kerusi yang dimenangi parti Islam pada PRU13 lepas.

Salahuddin menambah pihaknya bagaimanapun sudi membincangkan kerusi yang diinginkan parti Melayu baharu itu.

“Berkenaan apa yang dinyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, kita mengharapkan supaya parti Bersatu cepat diluluskan pendaftarannya.

“Bila telah ada aktiviti parti itu, kita bersedia untuk duduk semeja berbincang tentang hasrat Tan Sri Muhyiddin,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya samada ruang untuk Amanah bertanding semakin mengecil selepas Muhyiddin mengumumkan pihaknya mengintai dan mengenalpasti kerusi milik PAS dan PKR yang sesuai ditandingi Bersatu pada PRU14 nanti.

Dalam pilihan raya lepas, PAS menang 21 kerusi Parlimen dan 85 kerusi DUN daripada 73 kerusi Parlimen dan 236 kerusi DUN yang ditandinginya.

Sebahagian besar pimpinan Amanah merupakan bekas ahli PAS yang tewas dalam pemilihan parti 4 Jun tahun lalu. Amanah kini mempunyai enam ahli Parlimen dan enam ahli DUN.

Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar menyaksikan Amanah terbabit dalam perlawanan tiga penjuru melawan PAS dan BN.

Manakala Bersatu sebahagiannya terdiri daripada bekas ahli Umno yang memberontak terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak. Parti Tun Dr Mahathir Mohamad itu berhasrat untuk menyertai PRU14 bersama Pakatan Harapan (DAP-PKR-Amanah), Gagasan (PAS-Ikatan), Saksama (5 parti Malaysia Timur, 1 parti Malaysia Barat), PSM dan BN.

“Asalkan bukan kerusi yang kita sudah menang,” kata Naib Presiden PKR Tian Chua kepada FMT, mengulas hasrat Muhyiddin itu.

Dalam pilihan raya lepas, PKR menang 30 kerusi Parlimen dan 49 kerusi DUN daripada 99 kerusi Parlimen dan 172 kerusi DUN yang ditandinginya.

“Tak ada isu bertanding makin kecil,” tegas Tian Chua. “Kita kena bagilah kerusi yang kita tak boleh menang tetapi dia (Bersatu) ada potensi menang.”

“Biasalah kerjasama macam itu.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...