TERKINI :

Friday, August 5, 2016

Kerajaan kutip RM142j cukai tersembunyi Ogos ini, dakwa Rafizi

Malaysiakini : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa kerajaan Persekutuan mengutip RM142 juta dari cukai tersembunyi harga minyak tempatan bagi bulan Ogos 2016.

Beliau yang juga naib presiden PKR berkata, ini berlaku kerana kerajaan Persekutuan tidak mengikut formula dalam menetapkan harga minyak bagi bulan Jun dan Julai 2016.

"Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani sendiri mengakui bahawa sebelum ini pun, kerajaan Persekutuan tidak mengikut formula dalam menetapkan harga minyak bagi bulan Jun dan Julai 2016.

"Johari berkata sepatutnya harga bagi bulan Julai 2016 dinaikkan sebanyak 10 sen hingga 15 sen tetapi Kerajaan Persekutuan hanya menaikkan sebanyak 5 sen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Rafizi menolak penjelasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkaitan dakwaan manipulasi harga minyak untuk mengutip 'cukai senyap'.

Jika Hamzah belum arif tentang bidang kuasa tugasnya serta perkara teknikal, beliau patut berundur, kata Rafizi.

“Jika Hamzah masih belum arif mengenai bidang tugas beliau dan perkara-perkara teknikal seperti ini setelah lebih setahun menjawat jawatan menteri KPDNKK, beliau wajar meletak jawatan dan menyerahkan jawatan itu kepada seorang yang tahu mengenai perkara-perkara ini.

“Jika beliau tahu, maka beliau wajar menerbitkan jadual pengiraan harga bulanan mengikut formula sejak sistem apungan harga diperkenalkan agar rakyat boleh diyakinkan bahawa mereka tidak dicukai secara senyap,” katanya.

Terdahulu, Hamzah berkata harga petrol dan diesel berdasarkan purata bulanan dan harga yang diumumkan berdasarkan angka bulan lepas.

Beliau juga berkata tidak tahu berkaitan dakwaan cukai tersembunyi kerana kiraan berdasarkan purata sebulan sambil menambah kerajaan tidak akan mendedahkan cara pengiraan tersebut.

Mengulas lanjut, Rafizi menambah, pengakuan Johari itu bercanggah dengan apa yang rakyat dimaklumkan sebeleum ini bahawa harga ditetapkan mengikut harga pasaran purata.

"Apabila rakyat diberitahu begitu, setiap kali kenaikan harga diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mencuci tangan seolah-olah beliau tidak kena mengena dengan kenaikan tersebut.

"Sedangkan keputusan menaikkan harga atau mengekalkan harga pada ketika harga pasaran purata mengikut formula adalah lebih rendah," katanya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...