TERKINI :

Friday, August 12, 2016

Kenapa 30ribu pengundi dalam negeri Perak telah dipindahkan alamat & pusat mengundi tanpa notis dari SPR.

KENYATAAN MEDIA PAKATAN HARAPAN

Pakatan Harapan khuatir berlaku penipuan besar-besaran dalam penghijrahan pengundi di 10 DUN Negeri Perak

1. Pakatan Harapan Perak merujuk kepada penwartaan senarai pengundi-pengundi terbaru penggal suku kedua yang diwartakan oleh SPR pada 29/4/2016.

2. Pakatan Harapan setelah meminta bantuan dari badan pemantau pilihanraya Bersih 2.0 telah mendapati bahawa terdapat sejumlah 30,173 pengundi dalam negeri Perak telah dipindahkan alamat dan pusat pengundi mereka TANPA menerima notis dari SPR.

3. Jumlah tersebut adalah jumlah paling besar jika dibanding dengan negeri-negeri yang lain. Seramai 118,784 orang seluruh negara telah mengalami nasib yang sama dengan Perak menjadi negeri yang mempunyai pindaan & hijrah jumlah pengundi yang paling tinggi seramai 30,173 orang atau sebanyak 25.4% dari jumlah tersebut.

4. Pakatan Harapan mendapati bahawa kawasan yang mengalami penghijrahan pengundi terbesar berlaku di 10 kerusi Marginal yang mampu menentukan keputusan PRU-14 di negeri ini. 10 kerusi DUN tersebut mengalami secara purata penghijrahan pengundi seramai 1,814 orang di setiap DUN, satu keadaan yang cukup luar biasa.

5. Pakatan Harapan juga mendapati dalam 4 kerusi DUN, penghijrahan pengundi adalah lebih tinggi dari keputusan majoriti pada PRU-13 dan ini adalah satu perubahan yang amat terkejut. Keempat-empat kerusi DUN ini adalah DUN Selinsing, Changkat Jering, Pasir Panjang dan Changkat Jong.

6. Selaras dengan prinsip ketelusan & keadilan, Pakatan Harapan menggesa SPR dengan segera memaklumkan kepada pengundi sendiri jika alamat atau pusat mengundi mereka telah ditukar.

Pengundi sendiri yang dipindah tempat mengundi tanpa notis boleh dianggap satu penipuan dan penyelewengan yang secara sengaja untuk memihak kepada Barisan Nasional. Tindakan sedemikian merupakan pengkhianatan kepada sistem demokrasi negara kita.

7. Sekiranya SPR gagal memberi penjelasan yang telus dan memainkan peranan berkecuali, Pakatan Harapan terpaksa membuat laporan polis dalam tempoh terdekat supaya memelihara sistem demokrasi berparlimen supaya suara rakyat sebenar dijaga.

Tarikh : 9/8/2016

YB Dato Seri Nizar Bin Jamaluddin
Ketua Pembangkang DUN Perak

YB Tuan Nga Kor Ming(DAP)
Pengerusi DAP Perak

YB Senator Dr Muhammad Manuty(PKR)
Pengerusi PKR Perak

Tn Haji Asmuni Awi(AMANAH)
Pengerusi Amanah Negeri Perak

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...