TERKINI :

Saturday, August 27, 2016

Kementerian Kesihatan memberi jaminan Vaksin bebas DNA khinzir di setiap hospital kerajaan


ALOR SETAR – Kementerian Kesihatan memberi jaminan vaksin yang digunakan di setiap hospital kerajaan tidak mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, vaksin tersebut telah diuji di seluruh dunia dan boleh digunakan di Malaysia apabila mendapati ianya selamat untuk digunakan.

Vaksin bebas DNA khinzir“Kes-kes difteria memang berlaku di banyak negeri termasuk Kedah. Kes yang terakhir berlaku setakat ini kepada kanak-kanak yang tidak pernah dapat imunisasi selepas dilahirkan. Ramai juga yang tak dapatkan sepenuhnya imunisasi dan membahayakan anak tersebut.

“Kita nak tegaskan supaya ibu bapa pastikan anak-anak dapat imunisasi yang lengkap, jangan separuh dan tidak cukup kerana kita khuatir dijangkiti difteria yang amat bahaya,” katanya.

Beliau berkata berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis penyempurnaan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2016 di Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar, di sini, semalam.

Menurutnya, kes kematian juga banyak berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan difteria.

“Saya harap mereka yang anti-vaksin ini dapat benarkan imunisasi kepada anak masing-masing. Saya dah cakap banyak kali, kalau kita tak bagi imunisasi kepada anak-anak kita adalah satu penganiayaan kepada mereka.

“Saya harap mereka buat pendirian dan bagilah kebenaran. Kesan sampingan mungkin ada dan mungkin tidak. Kalau ada pun mungkin terlalu sedikit sangat dan tidak serius, misalnya demam,” katanya.

Hilmi berkata, vaksin yang digunakan di Malaysia akan diuji terlebih dahulu oleh syarikat-syarikat yang mengeluarkannya.

“Setakat ini tidak ada unsur-unsur khinzir pun dalam vaksin yang kita pakai, kita tak beli pun. Yang kita beli hanya vaksin yang sah dan tiada unsur khinzir.

“Saya harap perkara ini tidak dipertikaikan lagi dan harap semua ibu bapa pergilah dapatkan imunisasi untuk anak-anak. Kita bagi percuma, tak perlu bayar satu sen pun,” katanya.

Ditanya sama ada penyakit difteria juga berpunya daripada pengambilan vaksin homeopati, beliau tidak menafikannya.

“Pada saya mereka yang mengambil homeopati dan anti-vaksin ini kerana perniagaan saja. mereka nak promosi homeopati walaupun tak tahu lagi kesannya dan menolak vaksin. Ini adalah pertimbangan perniagaan, bukan kerana keselamatan anak itu.

“Janganlah kerana nak berniaga sampai kita menolak imunisasi kepada anak-anak. Tak ada laporan kesihatan pun yang boleh mengatakan homeopati boleh menggantikan imunisasi pada kajian mereka yang sah, tak ada pun di Malaysia,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...