TERKINI :

Tuesday, August 30, 2016

Jangan jahil, rakyat miskin tak beli apartmen mewah, kata exco Selangor kepada Noh Omar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pangsapuri perkhidmatan SoHo (rumah berpejabat) dan SoVo (rumah berpejabat maya) bukan rumah mampu milik seperti Rumah Selangorku kerana ia dibina di atas tanah berstatus perniagaan, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar itu berkata tindakan beberapa pihak memburukkan kerajaan Selangor berhubung polisi pangsapuri perkhidmatan SoHo dan SoVo mampu milik berkenaan hanya mendedahkan kejahilan sendiri.

“Pangsapuri perkhidmatan, SoHo dan SoVo bukan Rumah Selangorku atau rumah mampu milik. Rumah Selangorku kekal harga jual RM42,000 hingga RM250,000. Hanya rumah mampu milik kerajaan persekutuan yang sehingga RM300,000.

“Rumah Selangorku dibina di atas tanah berstatus kediaman sementara pangsapuri perkhidmatan, SoHo dan SoVo atas tanah perniagaan. Sasaran pangsapuri perkhidmatan, SoHo dan SoVo berbeza daripada Rumah Selangorku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar membidas kerajaan negeri kerana memansuhkan diskaun 10% bagi pembeli Bumiputera bagi rumah pangsapuri perkhidmatan, SoHo dan SoVo.

Noh berkata langkah kerajaan pakatan pembangkang memansuhkan keistimewaan Bumiputera itu hanya menguntungkan pemaju manakala rakyat terus tertekan untuk memiliki rumah.

Sementara itu, Iskandar berkata rakyat marhaen akan membeli Rumah Selangorku kerana cukai tanah dan pintu serta tarif air dan elektrik yang lebih murah berbanding rumah atas tanah berstatus perniagaan.

“Selangor mempunyai polisi mewajibkan pemaju membina pangsapuri perkhidmatan, SoHo dan SoVo mampu milik. Tetapi kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri Barisan Nasional belum memiliki polisi seperti itu,” katanya.

Katanya, dengan polisi baru itu pemaju perlu membina 10 hingga 20% unit mampu milik dan peratusan itu diambil kira mengikut jumlah unit yang dibina.

“Contohnya jika dulu kebanyakan harga jualan SoHo dan SoVo paling rendah antara RM450,000 hingga RM500,000 tetapi kini unit mampu milik antara RM230,000 hingga RM270,000,” katanya.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini berkata syarat kaum untuk kediaman kategori mampu milik jenis SoHo, SoVo dan pangsapuri berservis tidak lagi digunakan bermula September supaya semua bangsa mampu memiliki rumah sendiri.

Mengikut garis panduan pembangunan baharu harga jualan bagi SoHo dan SoVo ditetapkan pada RM230,000 seunit manakala pangsapuri berservis RM250,000 ke kategori mampu milik dan mengekalkan kuota pemilikan 30% oleh pembeli Bumiputera.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...