TERKINI :

Sunday, August 7, 2016

Jangan jadi negara lindungan China

A Kadir Jasin

DALAM blog saya (The Scribe A Kadir Jasin), saya telah beberapa kali mengulas mengenai jangkitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap ekonomi negara.

Saya ibaratkan skandal 1MDB sebagai wabak yang boleh merebak menjadi jangkitan besar-besaran. Dalam bahasa yang lebih mudah, saya mengibaratkannya sebagai Sang Kelembai. Apa yang disentuhnya menjadi batu.

Yang terakhir disedut ke dalam lohong hitam (black hole) cakerawala korporat ini adalah China Communications Construction Company (CCCC) milik Kerajaan China.

Seperti saya sebutkan dalam kolum minggu lalu, CCCC adalah antara pemain baharu dalam sektor pembinaan dan infrastruktur negara kita.

Berapa saluran berita asing telah mengaitkan syarikat pembinaan raksasa kerajaan China ini dengan konspirasi rasuah yang sekali lagi melibatkan 1MDB.

Ia didakwa terbabit mengembungkan (inflate) kos pembinaan Projek Kereta Api Pantai Timur (ECRP) daripada RM30 bilion kepada RM60 bilion bagi membantu 1MDB mengatasi hutang berjumlah RM50 bilion.

Dalam tulisan minggu lalu juga, saya menimbulkan tanda tanya mengenai bagaimana syarikat-syarikat milik negara dari China memperoleh banyak projek raksasa dan strategik di Malaysia dalam jangka masa yang sangat singkat.

Akhbar nasional Australia, The Australian memetik jurucakap CCCC sebagai berkata ia tidak mengembungkan nilai kontrak kereta api dengan 1MDB bagi menutup hutang 1MDB.

Apa yang boleh difahami daripada laporan The Australian itu ialah CCCC telah secara diam-diam memperoleh kontrak 1MDB bagi membina landasan baharu dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan melalui Mentakab, Kuantan dan Kuala Terengganu.

Dakwaan bahawa CCCC terlibat dalam konspirasi rasuah menjadi berwibawa kerana ia telah diharamkan oleh Bank Dunia daripada mengambil bahagian dalam projek yang dibiayainya.

Pada 29 Julai 2011, Bank Dunia mengumumkan sekatan ke atas CCCC dan anak-anak syarikatnya kerana melakukan penipuan dalam kontrak Fasa 1, Projek Penambahbaikan dan Pengurusan Jalan Raya Kebangsaan Filipina.

Di bawah sekatan yang diundurkan tarikh kepada 12 Januari 2009 itu, CCCC tidak layak mengambil bahagian dalam sebarang projek jalan raya dan jambatan yang dibiayai oleh Bank Dunia hingga 12 Januari, 2017.

Kes rasuah di luar negara yang melibatkan syarikat-syarikat negara China, khususnya CCCC, sudah diketahui ramai. Misalnya pada tahun 2014, dua pegawai kanan Lembaga Pelabuhan Tanzania dihadapkan ke mahkamah kerana mengembungkan projek AS$523 juta (kira-kira RM2.1 bilion) yang kemudiannya diberikan kepada CCCC.

Diplomat dan eksekutif asing di Malaysia mula menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai pengaruh luar biasa syarikat China di negara kita.

Mereka berkata, walaupun mengalu-alukan persaingan tetapi mereka mendakwa tidak dapat bersaing jika syarikat dari China mendapat layanan istimewa atau menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan oleh piawaian antarabangsa.

Malangnya, semakin banyak negara dan kerajaan di dunia yang pelahap modal serta pelaburan China sehingga sanggup membelakangkan fakta dan berita negatif mengenai tindak-tanduk pelabur China.

Sudah wujud petanda bahawa kebangkitan China sebagai kuasa baharu ekonomi dan dasar ketenteraannya telah mula memberi kesan ke atas negara-negara kecil di Asia Timur dan Australasia.

Selain pengaruh ekonomi, China juga mula menampakkan taring di segi politik dan ketenteraan dengan memperluaskan tuntutan ke atas Laut China Selatan dengan membina pangkalan tentera berhampiran Asia Tenggara.

Kesan dasar hegemoni baharu China ini telah melemahkan kerjasama serantau, khususnya Asean, dan menjadikan sesetengah negara di rantau seakan-akan negeri lindungan (vassal state) China.

Kesimpulannya, walaupun kerjasama ekonomi dengan negara China adalah baik dan perlu tetapi kita wajib berhati-hati agar tidak hilang kedaulatan dan, tanpa kita sedari, menjadi negara naungannya. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin,
Tokoh Wartawan Negara

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...