TERKINI :

Monday, August 22, 2016

Isu timbalan MB: Ahmad Bashah boleh usul kepada jemaah pemangku Sultan Kedah

Oleh DALIA ISMAIL

Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjelaskan, seorang menteri besar boleh mengemukakan usul keperluan jawatan timbalannya kepada pemangku Sultan Kedah walaupun perkara itu tidak terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri seperti di dakwa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

"Saya malas nak jawab di dewan, bila beliau kata tidak ada dalam undang-undang tubuh negeri untuk lantik jawatan timbalan menteri besar.

"Kalau ikut perlembagaan di peringkat persekutuan sekalipun jawatan timbalan perdana menteri tidak wujud, hanya ada jawatan perdana menteri dan menteri-menteri sahaja.

"Kalau diusulkan kepada jemaah pemangku Sultan Kedah tiada masalah kalau beliau mahu," ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Khamis lalu, Mukhriz yang juga Adun (Bebas) Ayer Hitam ,mencadangkan agar jawatan timbalan menteri besar diwujudkan untuk membantu Ahmad Bashah berikutan faktor kesihatan menteri besar itu yang sebelum ini mengalami komplikasi usus.

"Saya bangkitkan dalam dewan untuk pastikan kebajikan rakyat tidak diabaikan, jika ada seorang MB atas masalah kesihatan tidak dapat jalankan tugas, jadi mungkin boleh dipertimbangkan wujudkan jawatan timbalan menteri besar atau menteri besar baru.

"Sebab saya risau zaman saya kerja dulu (ketika jadi menteri besar) urusan banyak bukan setakat hadiri majlis sahaja, kerja-kerja memikir, selesaikan masalah rakyat, rancang masa depan negeri, ini kerja 24 jam tujuh hari seminggu," ujar bekas menteri besar lagi.

Ditanya siapakah yang layak untuk dicadangkan sebagai timbalan menteri besar? Beliau enggan mengulas sebaliknya mendakwa pandangan yang dikemukakannya itu turut dipersetujui majoriti Adun BN dan pembangkang.

"Masa saya cadangkan Adun BN senyap tetapi saya tahu ramai yang berharap (bersetuju) manakala reaksi Adun pembangkang sudah tentu bersetuju kerana memikirkan kepentingan rakyat, macamana kita mahu teruskan keadaan ini jika masalah kesihatan berterusan kerana beliau masih lagi menjalani rawatan susulan," ujarnya.

Dalam sidang Dun itu, Ahmad Bashah yang juga Adun Bakar Bata, membidas kenyataan Mukhriz kerana mencadangkan pengwujudan jawatan timbalan menteri besar, sedangkan perkara itu tidak terkandung di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

Ahmad Bashah dipetik berkata, beliau menerima positif cadangan Mukhriz, yang juga bekas menteri besar negeri itu, dengan membuat penelitian terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri tetapi tidak langsung menemui peruntukan mengenai jawatan berkenaan.

Ahmad Bashah berkata, beliau tidak menjangka mengalami masalah kesihatan hampir sebulan ketika baru dilantik menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun, sepanjang menjalani rawatan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din, yang diibaratkannya sebagai panglima dilapangan, komited menjalankan tugas-tugas pentadbiran negeri.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...