TERKINI :

Monday, August 8, 2016

Hanya parti macam Umno boleh lawan Umno

Oleh Nor Miswary Ramli

mahathir51
Rupa-rupanya, bukan semua yang meyakini demokrasi sejujurnya.

Ini sebermulanya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad disebut-sebut bernafsu semula menubuh parti baharu yang hanya boleh disertai oleh orang Melayu/Bumiputera sahaja.

Mulanya kita dihidang dengan kritikan tidak membina dari pihak Umno, tetapi kini turut tumpang selori mengkritik datang juga daripada bebarapa pihak blok pembangkang.

Kenapa kita tidak boleh melihat dari kaca mata yang lebih luas, lebih berkesan dan lebih bermanafaat? Biarpun cerita ini belum boleh dibuktikan kesahihannya, ada tokoh wartawan yang mengesahkannya di media.

Saya termasuk dalam senarai mereka yang tidak menandatangani Deklarasi Rakyat (DR) atau menyetujui gerakan politik “Selamatkan Malaysia” yang diusahakan Dr Mahathir dan beberapa pimpinan parti dalam blok Pakatan Harapan (PH).

Bukan niat memperkecilkan usaha beliau dan beberapa pemimpin parti pembangkang yang lain. Saya cuma melihat ianya tidak lebih daripada kaedah politik yang tidak praktikal yang tidak seharusnya disertai parti komponen PH yang sepatutnya menumpukan usaha memasarkan jenama Pakatan Harapan yang kebetulan baru sahaja ditubuhkan ketika itu.

Malah gerakan yang tidak pula dipimpin oleh mana-mana pemimpin PH ini dilihat rakyat sebagai satu kelemahan PH.

Mereka menyimpulkan yang PH sudah tewas ketika mendepani BN lalu berputus asa di tengah jalan, dan Dr Mahathir menyambut dan kemudiannya menyambungnya. Persepsi ini menjadi sangat buruk ke atas PH di mata rakyat. Akibatnya berlaku sedikit gejolak kecil sesama parti dan pimpinan dalam PH.

Memang sudah dijangkakan kebimbangan gerakan ini boleh merubah batu asas perjuangan politik blok pembangkang dan boleh memperlahankan momentum PH yang sepatutnya diangkat melebihi DR dan gerakan “Selamatkan Malaysia” ini.

Mujurlah warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara sama berkongsi kebimbangan tersebut dan ianya sedikit sebanyak meredakan penulis.

Sekutu baharu Pakatan Harapan?

Tetapi apabila Dr Mahathir mula menyusun langkah baru bersama pemimpin Umno terbuang, mahu menubuh parti baharu. Ia satu langkah agresif yang wajar dan perlu disegerakan.

Biarpun secara prinsip ideologi politik parti yang mahu beliau asaskan itu berbeza atau tidak mencapai nafsu blok pembangkang, namun ia seharus dilihat sebagai sebahagian elemen yang ada baiknya juga untuk PH.

Bukankah kita jujur mahu menjulang prinsip demokrasi yang memberikan hak buat mereka untuk menyampaikan hajat perjuangan politik mereka.

Amanah yang ditubuhkan cuba medakap sasaran semua bangsa sambil mengangkat nilai Islam yang membawa rahmat buat sekelian alam.

Ia sebagai sasaran yang meluas melangkaui idea politik parti PAS yang pernah mereka anggotainya dulu. Mereka mungkin akan mewaklili kerusi PH yang lebih seimbang ataupun lebih sedikit nisbah Melayu/Islam yang menerima konsep Islam yang lebih universal, dan bukannya Islam yang terhad dan lebih jumud.

Ketika DAP dan PKR yang tentunya akan diberi kerusi majmuk yang majoritinya bukan Melayu/Islam, sudah tentu parti baharu Dr Mahthir ini boleh mengisi kekosongan kerusi majoriti atau hampir keseluruhan Melayu/Islam yang sebelumnya hanya dimenangi Umno melalui BN.

Parti ini jika keberatan, tidak perlu menganggotai PR, mereka boleh sekadar mengikat satu persefahaman politik yang lebih dinamis yang mungkin hanya untuk mengalahkan Datuk Seri Najib Razak dan menarik minat ahli Umno menyertai ataupun mengundi mereka. Telahan ini mudah untuk kita perolehi jika kita menyedari sejak gerakan “Selamatkan Malaysia” melalui kempen tandatangan Deklarasi Rakyat.

Ahli Umno ini, biarpun setinggi gunung pun benci mereka kepada Najib, mereka sekali-sekali tidak meredhai dan menyenangi parti politik pembangkang yang lain. Menolak Najib dan menyertai DAP misalnya adalah premis paling tidak munasabah bagi mereka ini. Biarpun ramai yang tentunya menolak faham ini, tetapi mereka hanya percaya dengan sistem parti politik yang serupa dengan Umno itu sahajalah untuk menumbangkan Umno.

PH akan mempunyai lebih alternatif

Masakan tidak, kalau begitu Dr Mahathir atau beberapa Umno pimpinan terbuang yang lain tidak perlulah bersusah payah menubuhkan parti baharu jika cita-cita mereka sama dengan parti dalam PH.

Anwar yang dipecat daripada Umno pernah juga dihebohkan akan menyertai PAS sewaktu era reformasi dulu. Ramai yang menjangkakan begitu. Namun, Anwar tidak melakukannya.

Beliau menyedari golongan yang mendokongnya datang dari pelbagai latar belakang, kepercayaan agama dan berbeza bangsa. Beliau mahukan agenda yang berbeza daripada PAS, walaupun PAS antara parti yang awal-awal memperlihatkan simpati dan sokongan kepadanya seusai beliau dipecat.

Ini sebenarnya tidak sukar diduga, kerana sejak Anwar keluar dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang sama-sama beliau asaskan, ketika itu pun beliau sudah tidak memilih PAS.

Dr Mahthir sedar situasi ini dan pengalaman politiknya memandu beliau untuk mengetahui siapa dan golongan mana yang ada menyokongnya.

Dan apa yang Dr Mahathir lakukan ini, iaitu menubuh parti baharu dengan keahlian Melayu/Bumiputera sahaja, bukanlah sesuatu yang diluar kebiasaan perjuangannya.

Dr Mahathir pernah cuba melakukannya dulu apablia menubuhkan semula Umno Baru pada 13 Februari 1988. Jadi, biarpun ideologi tidak seperti DAP atau PKR, yang tidak terhad kepada sesuatu kaum atau agama sahaja, ia sebenarnya akan memberi sedikit sebanyak kelebihan kepada PH sebenarnya.

Parti Dr Mahathir ini boleh mempunyai persefahaman politik semasa pilihanraya dan juga boleh juga terkeluar dan bergerak secara berseorangan jika sampai maksud perjuangan mereka.

Parti baharu beliau ini tidak akan terikat dengan mana-mana ideologi parti yang besekutu dalam PH.

Parti baharu ini tidak akan mampu mecabar kedudukan parti yang lebih bersifat “multiracial” ini.

Rakyat akan mempunyai lebih pilihan dan PH akan mempunyai lebih alternatif untuk mengatur strategi dalam usaha menumbangkan Umno/BN.

Kita harus jelas, PH bukan menentang Umno/BN ini semata-mata disebabkan ideologi parti mereka yang berasaskan satu kaum. Mereka ditentang disebabkan menyalahguna kedudukan di tampuk kuasa, boros dalam mengurus perbelanjaan negara dan tidak amanah dalam mengurus harta awam sehingga membebankan rakyat. Inilah tunjang paling asas kenapa Umno/BN ini perlu ditentang, dan bukanlah semata-mata faktor parti mereka yang memperjuangkan satu-satu kaum sahaja.

Mengurus dan menyalurkan sokongan

Tindakan menubuhkan parti baharu ini boleh menyalurkan para simpati dan pendokong pemimpin terbuang Umno ini ke platform yang lebih menguntungkan, baik untuk PH dan mereka sendiri.

Berbanding dengan sekadar Deklarasi Rakyat misalnya, belah bahagi antara kelompok penyokong dan penentangnya akan terus wujud kerana hala tujunya agak kabur dan dilihat tidak berkesan.

Biarpun lebih sejuta tandatangan diperolehi, PRN Sarawak, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar memberi jawapan awal akan keberkesanannya. Malah boleh disebut disini, kegagalan ini disebabkan oleh pendokong Dr Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hanya mengimani parti yang berasaskan satu kaum menyerupai Umno sahajalah yang mampu menewaskan Najib dan Umno/BN.

Maka, bila ia dikiritik beberapa pimpinan Umno, ia petanda jelas yang pemimpin Umno ini berasa sedikit gusar. Mereka menyedari ada sebuah parti yang mirip Umno akan ditubuhkan untuk menyaingi mereka.

Namun, pemimpin blok pembangkang tidak seharusnya terikut-ikut untuk turut sama mengkritik dan kelihatan gagal pula membaca perubahan politik ini.

Dari awal kita tahu Dr Mahathir, Muhyiddin ataupun Datuk Seri Mukhriz Mahathir meyakini perubahan masih boleh dilakukan di dalam Umno hanya jika Najib diturunkan. Legasi Umno dan segala sifat suci perjuangannya harus mereka bela dan masih boleh dipertahankan jika pemimpin seperti mereka mengetuainya.

Mereka tidak pernah meyakini PH boleh melakukannya malah dengan sifat “multiracial” parti di dalamnya, dan jika kita semak kenyataan mereka ketika masih di dalam Umno ataupun ketika memegang jawatan kerajaan, mereka tidak pernah beriktikad kemampuan PH untuk melakukannya.

Oleh itu, jangan abaikan fakta ini. Mereka kini keluar dan ada antara mereka yang dibuang dari Umno, dan dengan parti baharu yang ampuh mirip Umno sahajalah yang mereka percaya untuk mejatuhkan Najib dan menawan hati ahli Umno di dalamnya.

Umno yang diketuai presiden sekarang bukanlah parti asal sebagaimana yang diasaskan pada tahun 1946 dulu. Najib hanya mengetuai sebuah parti baharu yang pernah ditubuhkan semula oleh Dr Mahathir, dan Dr Mahathir mahu mendapatkan ia semula melalui parti baharunya itu.

Nor Miswary Ramli seorang pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...