TERKINI :

Wednesday, August 3, 2016

Dividen 2% sahaja.. adakah Co-OpBank Persatuan 'nazak'??

DIVIDEN 2%, CO-OPBANK PERSATUAN 'NAZAK'?
Oleh Zainulfaqar Yaacob

Ayah saya Isnin lalu membuat permohonan mengeluarkan semua syer daripada Co-Opbank Persatuan kerana dividen bank koperasi itu bagi tahun ini serendah 2 peratus sahaja.

Saya juga turun mengambil langkah sama petang semalam, selepas mengambil dividen daripada 'bank Melayu' itu dekat Taman Selat Butterworth.

Interest atas pinjaman merupakan salah satu sumber keuntungan bagi sebuah bank, sama ada institusi itu dikuduskan menjadi 'Bank Islam' atau sebaliknya.

Pelanggan juga menjana keuntungan melalui dividen simpanan masing-masing.

Lagi tinggi kadar peratusan dividen ditawarkan oleh satu-satu bank, maka berpusu-pusu pelanggan akan menyimpan syer mereka di institusi kewangan tersebut.

Bank Persatuan pernah menawarkan dividen setinggi 12 peratus dahulu, tahun lepas pada kadar 6 peratus, dan tahun ini hanya 2 peratus.

Gambarannya, sentimen penyimpan syer bagi satu-satu bank begitu bergantung pada kadar dividen yang ditawarkan.

KENAPA SERENDAH 2%

Dividen diberikan berdasarkan pada jangkaan munasabah dan hasil keuntungan yang dijana oleh sebuah bank.

Co-Opbank Persatuan kalau ada syer RM2 bilion sekalipun, tetapi jumlah pinjaman pelanggan melibatkan 10 peratus atau RM200 juta juta sahaja, maka sudah pasti bank tidak mampu memberi dividen yang lebih tinggi.

Dahulu, Co-Opbank Persatuan mungkin mempunyai syer RM1 bilion, tetapi jumlah pinjaman pelanggan mencecah 60 peratus, RM600 juta.

Gambarannya, jika bank mempunyai syer yang kian membesar pun, tetapi tiada pinjaman pelaburan daripada pelanggan dalam jumlah yang lebih besar, akan menentukan kadar dividen yang lebih rendah.

KENAPA PINJAMAN PELANGGAN KIAN RENDAH?

Ini ada kaitan dengan dasar Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengetatkan syarat kelayakan pemohon pinjaman pelbagai kategori.

Tidak banyak yang boleh dilakukan kerana BNM dalam laporan tahunannya pernah mendedahkan hutang isi rumah bagi tahun 2009 meningkat kepada 76.6 peratus dan pernah dikatakan rekod kedua tertinggi di Asia, berbanding 63.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2008.

Langkah mengetatkan aktiviti pinjaman perbankan antaranya, pelanggan tidak dibenarkan lagi membuat pinjaman bertindih lanjut (loan overlapping).

Hampir semua bank mendepani cabaran ini, sebenarnya.

Selain itu, pelanggan yang mempunyai jaminan kredit seperti ada slip gaji sahaja menjadi kumpulan sasar bank, sedangkan mereka yang memerlukan pinjaman peribadi, sewa beli kenderaan atau pinjaman perumahan turut melibatkan pekerja kontrak serta mereka yang tiada slip gaji.

Anggota koperasi di bawah Co-Opbank Persatuan realitinya adalah kaum peniaga, kerja sendiri, bukan kakitangan kerajaan sahaja.

Implisitnya, Co-Opbank Persatuan mula mengolah kumpulan sasarnya kepada pemaju serta pemilik syarikat dll supaya aktiviti pinjaman pelaburan masih berlaku di bank koperasi tersebut.

Sebenarnya, kelompok sasar baharu ini lebih berminat ke bank-bank konvensional dan bank pembangunan lain, kerana pakej pinjaman adalah lebih kompetitif dan dinamik, berbanding skim pinjaman klasik yang ditawarkan oleh Co-Opbank Persatuan.

Akhirnya, Co-Opbank Persatuan tidak boleh menjana keuntungan kerana aktiviti pinjaman pelaburan daripada anggota/pelanggan bank itu adalah rendah.

Maka, kadar dividen kepada pemegang syer pun serendah 2 peratus seperti sekarang.

POLITIK DALAMAN

Dahulu, anggota Bank Persatuan sendiri menentukan hala tuju organisasi koperasi itu, dengan syor-syor BNM.

Ertinya, mereka yang dilantik itu adalah mereka yang memahami tujuan penubuhan koperasi pinjam-meminjam tersebut sehingga tertubuhnya bank.

Sekarang, kepimpinan Co-Opbank Persatuan ditentukan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan kementerian berwajib.

Rombakan besar-besaran berlaku di dua tiga cawangan yang sedia ada, termasuk di Taman Selat Bagan. Cukup 'politiking'.

SYOR ELAK 'NAZAK'

Sebenarnya Co-Opbank Persatuan masih boleh diselamatkan daripada berkubur semacam Bank Bumiputera  (bank konvensional) beberapa dekad dulu.

BNM perlu mengolah dasar pinjaman supaya aktiviti pinjaman pelaburan anggota Co-Opbank Persatuan kembali berdaya saing seperti dahulu.

Anggota-anggota Co-Opbank Persatuan jua perlu memainkan peranan yang lebih besar supaya mereka sendiri menentukan kepemimpinan serta halatuju organisasi koperasi, bukan politiking pentadbiran membabitkan JKM dan kementerian.

Setuju?

#DEKPOS
Diskusi Politik Ekonomi Sosial

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...