TERKINI :

Sunday, August 7, 2016

Datuk Paduka Husam Musa Dengan Idea " Politik Baru Di Malaysia "

Oleh Hayar Hassan


Nama Datuk Paduka Husam Musa @ DPHM tentunya sudah tidak asing bagi orang awam Malaysia yang penuh minat mengikuti perkembangan politik Tanah Air khususnya rakyat bumi Kelantan Darul Naim. ADUN Salor ini yang telah menang atas tiket PAS semenjak PRU ke 12 telah diberikan kepercayaan oleh Almarhum TGNA menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa @ Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan mulai 8.3.2008 sehinggalah TGNA meninggal dunia. Sebelum itu, TGNA yang menjawat jawatan MB telah melantik DPHM menjadi Setiausaha Akhbar MB.

DPHM akhir-akhir ini kembali menarik perhatian ramai apabila membuat suatu kenyataan terbuka , agak provokasi dan pedas terhadap survival Kerajaan PAS Kelantan pada Majlis Dailog Dengan Rakyat di Kota Bharu lewat 1Julai 2016 lalu. DPHM meramalkan bahawa PAS akan gagal untuk membentuk Kerajaan Negeri Kelantan selepas PRU ke 14 nanti ! Tiada respon segera dari pimpinan PAS Pusat ke atas kenyataan DPHM ini. Adakah mereka terkejut dan cemas ke atas kenyataan DPHM ini ? Walau apa pun kenyataan DPHM itu hampir ada kebenarannya. Pada waktu ini PAS Kelantan sepertinya tiada mempunyai tokoh yang berkarisma untuk menerajui Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim. Dahulu ketokohan dan karisma Almarhum TGNA lah yang memenangkan PAS dalam setiap PRU ! Ini adalah fakta yang sukar disanggah oleh semua orang.

Setelah dua minggu berlalu, iaitu pada 13 Julai 2016, selepas DPHM membuat kenyataan yang agak kontroversi itu, barulah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man @ DTITM, selaku Timbalan Presiden Pas membuat kenyataan terbuka, mengajak parti-parti pembangkang membuat "Genjatan Senjata " sesama parti-parti pembangkang. DTITM mengajak semua parti pembangkang menghentikan serangan sesama sendiri. Tugas utama parti-parti pembangkang adalah untuk menjatuhkan UMNO/BN. Anjuran DTITM ini telah disambut secara positif oleh semua pimpinan PH. Kita semua berharap ini adalah suatu titik permulaan yang baik untuk kesepakatan parti-parti pembangkang dalam menghadapi PRU ke 14 nanti. Sayangnya saranan DTITM ini tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh lain-lain pimpinan PAS Pusat

Kembali menyorot sosok yang bergelar DPHM ini, di peringkat Parlimen , DPHM telah terpilih sebagai Ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal mulai 1994 hingga 2004. Ringkasnya sosok tubuh yang bergelar DPHM ini bukanlah sebarangan aktivis dalam PAS. DPHM mempunyai pengalaman yang luas dan komitmen yang tinggi terhadap PAS dan Kerajaan Kelantan Darul Naim semasa TGNA menjadi MB. Beliau dikatakan sebagai "Blue Eyed Boy "@ anak emas TGNA. Beliau suatu masa dahulu dikatakan mempunyai masa depan politik yang amat cerah khususnya untuk warga Kelantan Darul Naim. Akhbar portal popular Malaysiakini.com telah memertabatkan beliau sebagai "Newsmaker of The Year 2003".

DPHM adalah penasihat utama kepada Almarhum TGNA khususnya dalam bidang ekonomi, kewangan, politik dan pembangunan Kelantan. Berbekalkan peribadi yang tidak tercalar, dihormati, disegani oleh semua pihak, tepat dalam mengambil keputusan politiknya, Almarhum TGNA berjaya mengemudi pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan Darul Naim selama 23 tahun. Suatu pencapaian yang luar biasa, memandangkan UMNO/BN sentiasa memasang perangkap dan tipu muslihat untuk mencemarkan intergriti serta kepimpinan TGNA dan seterusnya menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan Darul Naim. Namun impian buruk ini tidak kesampaian sewaktu TGNA masih hidup. Sama-sama lah kita tunggu dan lihat jika ianya akan berjaya setelah ketiadaan Almarhum TGNA sebagai Menteri Besar dan ketiadaan DPHM dalam barisan kepimpinan Exco Kerajaan PAS Darul Naim

Berbekalkan sekeping ijazah ekonomi daripada Universiti Malaya ( BEc 1980 - 1983 ) , DPHM mula mendekati PAS dengan tekad untuk memberikan sumbangannya kepada kelangsungan politik PAS Kelantan dalam bidang ekonomi dan kewangan. Umum berpendapat bahawa pada waktu itu PAS amat ketandusan orang-orang yang berkelulusan ekonomi dan kewangan. Kebanyakan daripada lulusan-lulusan bidang ini memilih untuk aktif dalam UMNO kerana peluang dan labanya amat besar sekali jika dibandingkan daripada apa yang boleh ditawarkan oleh PAS. Setelah saya amati DPHM adalah antara beberapa orang politikus-politikus pembangkang yang mampu memberikan analisa dan saranan yang bernas berkaitan dengan ekonomi dan kewangan negara. Keupayaan beliau adalah setara dengan YB Rafizi Ramli daripada PKR dan YB Tony Phua daripada DAP. Komen-komen mereka adalah ditunggu-tunggu oleh semua orang. Amat rugi lah bagi PAS yang telah memecatnya. Pada waktu ini orang ramai masih menunggu-nunggu jika ada pemimpin-pemimpin PAS yang mampu berbicara tentang ekonomi, kewangan dan pelaboran yang merupakan nadi kelangsungan ekonomi sesabuah negara.

Kekurangan DPHM pada mata sesetengah pimpinan PAS dan segelintir ahli-ahli PAS adalah kerana DPHM tidak mempunyai ijazah Pengajian Islam atau Syariah yang boleh melayakkannya bergelar Al Fadhil Ustaz. Gelaran Ustaz , Tuan Guru dan fasih berbahasa Arab sepertinya menjadi syarat utama untuk seorang pemimpin PAS menghayati Kepimpinan Ulamak ! Apakah pendapat ini betul ? Adakah ada sebarang dalil yang qat'ei untuk menyokong pandangan ini. Setahu saya konsep Kepimpinan Ulamak ini bermunculan dalam PAS setelah wujudnya Negara Republik Rakyat Islam Iran yang dipimpin oleh Imam Khomenie. Sekitar tahun 80'an, orang Islam seluruh dunia begitu teruja dengan kejayaan Revolusi Islam Iran. Namun apabila berlakunya perang saudara di Syria, Iraq dan Yemen, baru lah terserlah akan kesesatan dan kezaliman orang-orang Syiah terhadap masyarakat Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sekarang ini rata-rata orang Islam di negara ini atau di Nusantara yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah amat mencurigai akan kegiatan-kegiatan orang Syiah. Sepertinya konsep Kepimpinan Ulamak sudah tidak relevan lagi. Apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia sudah cukup untuk kita renungi.

Semenjak tersingkirnya Kumpulan Erdogan daripada kepimpinan utama PAS Pusat, masa depan DPHM dalam PAS semakin malap. Komen dan pandangan DPHM terhadap Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim tidak disenangi pimpinan PAS khususnya PAS Kelantan. Keberaadaan DPHM dalam PAS amat dicurigai dan seluruh gerakgerinya dipantau. Akhirnya pada 23 April 2016 DPHM dipecat sebagai ahli PAS atas tindakan melanggar tatatertib.

Sosok yang bergelar DPHM ini yang dikatakan lebih gemar bergerak secara solo dalam maneuver politiknya seringkali membuat kenyataan-kenyataan yang mengkajetkan banyak orang. Terbaru, DPHM telah melontarkan idea " New politik " @ Politik Baru Malaysia. Mantan MB Selangor yang juga mantan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib bersetuju dengan konsep baru DPHM ini.

Menurut DPHM, sasaran utama Politik Baru Malaysia adalah pengundi-pengundi baru dan generasi baru yang lebih mudah untuk didekati . Pengundi-pengundi lama terutamanya orang-orang Melayu sukar untuk berubah kerana mereka telah dimomokkan dengan slogan " Masa Depan Orang Melayu Dan Islam akan hancur seandainya UMNO/BN tewas dalam PRU, Ketuanan Melayu Hanya Boleh Diperjuangkan Oleh UMNO/BN ". 

Oleh yang demikian Gagasan Politik Baru Malaysia ini yang dicetuskan oleh DPHM wajar dipertimbangkan oleh pimpinan Pakatan Harapan @ PH. Kalau perubahan politik boleh berubah di negara-negara lain seperti Indonesia, Myanmar, India, Turki, Tunisia dan lain lagi, apa kah halangannya untuk ianya juga berlaku di Malaysia. Semua warga yang inginkan perubahan terhadap iklim politik di negara yang tercinta ini wajarlah berperanan ke arahnya. Semoga DPHM segera membuat keputusan memilih untuk menganggotai parti-parti dalam PH kerana sumbangannya amat diperlukan terutamnya di Kelantan Darul Naim. Wajar sekali DPHM mengetuai PAN Kelantan Darul Naim.

Sekian, terima kasih.

Hayar Hassan

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...