TERKINI :

Wednesday, August 24, 2016

Bila isu warga asing akan selesai?



SUDAH bertahun-tahun, isu kebanjiran pekerja asing serta pendatang asing tanpa izin di negara ini menjadi masalah yang tidak berkesudahan.

Malaysia menjadi tumpuan rakyat dari pelbagai negara, antaranya Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nepal, Filipina dan Myanmar sebagai lubuk mencari rezeki di pelbagai sektor.

Isu lambakan warga asing ini mungkin tidak timbul sekiranya ekonomi negara asal mereka dalam keadaan yang baik.

Warga asing berpusu-pusu ke negara kita kerana kesempitan dan peluang yang hampir tiada di negara mereka.

Rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana kemakmuran negara kita ini menjadi tarikan dan menjadi pusat kestabilan rantau ini.

Meskipun pelbagai usaha agresif dijalankan pihak berkuasa termasuk penghantaran pulang ke negara asal, bilangan mereka tidak juga berkurangan, malah bertambah tahun demi tahun.

Pada November 2014, Kementerian Sumber Manusia mendedahkan, pekerja asing sama ada yang masuk secara sah atau haram dianggarkan berjumlah 6.7 juta orang di Malaysia.

Daripada jumlah itu, hanya 2.1 juta orang mempunyai permit sah dan berdaftar dengan Jabatan Imigresen.

Katanya, lambakan pekerja asing gagal dibendung ekoran permintaan tinggi tenaga kerja dalam pelbagai sektor selain sikap rakyat tempatan yang dikatakan terlalu memilih pekerjaan.

Jika angka didedahkan itu benar, ini bermakna jumlah warga asing di Malaysia ketika ini mengatasi populasi penduduk kaum Cina.

Menurut statistik Jabatan Perangkaan, jumlah kaum etnik kedua terbesar di negara ini, pada tahun ini diunjurkan berjumlah 6.64 juta orang. Adakah Malaysia memerlukan jumlah tenaga asing sebegitu ramai?

Di beberapa tempat terutamanya di Lembah Klang, jumlah pekerja asing lebih ramai daripada penduduk setempat sehingga ada yang mewujudkan koloni masing-masing. Ini menimbulkan keresahan rakyat.

Selain itu, aliran mata wang ringgit ke luar negara turut mencatatkan trend meningkat berganda setiap tahun. Pada 2011 hingga 31 Disember 2014, sebanyak RM32.1 bilion dibawa keluar negara.

Negara paling tinggi menerima wang-wang ini adalah Indonesia, India, Filipina, Bangladesh, Vietnam, Nepal dan China.

Memang kita mengakui warga asing ini turut membawa kebaikan kepada ekonomi negara, namun jika tiada kawalan, sudah pasti mudarat yang lebih besar akan melanda Malaysia.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...