TERKINI :

Wednesday, August 17, 2016

Awas !!!!! Balai polis adalah kawasan larangan bermain Pokemon Go

Pokemon Go

PUTRAJAYA - Mereka yang bermain permainan maya Pokemon Go di kawasan larangan dianggap menceroboh dan boleh dikenakan tindakan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata sekalipun Malaysia tidak mempunyai undang-undang untuk menyekat permainan maya itu, namun polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya mendapat laporan berkaitan pencerobohan.

"Memang ia hanya permainan tetapi saya hendak ingatkan bahawa semua balai polis dan kawasannya adalah kawasan larangan, itu ada undang-undang jadi sesiapa yang menceroboh kawasan larangan boleh diambil tindakan.

"Saya juga hendak nasihatkan mereka yang gila sangat cari Pokemon ini supaya jangan langgar undang-undang yang lain termasuk menceroboh rumah orang dan memandu sambil bermain permainan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau turut memberi amaran kepada pegawai dan anggota polis untuk tidak bermain permainan itu atau mana-mana permainan maya lain ketika bertugas dan jika didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan.

Dalam pada itu, Khalid berkata Polis Diraja Malaysia bakal melancarkan aplikasi baharu telefon pintar dikenali 'Volunteer Smartphone' dalam masa terdekat bagi memudahkan orang ramai membuat aduan bergambar atau video mengenai kejadian jenayah kepada pihak polis.

"Aplikasi itu kini dalam proses dibangunkan dan dipertingkatkan kandungannya, bila ia sudah siap, kita akan umumkan," katanya yang menjangkakan sebanyak lima atau enam juta pengguna akan menggunakan aplikasi berkenaan yang dinaik taraf daripada program Rakan Cop.

Menerusi aplikasi itu, Khalid berkata ia membolehkan orang ramai menghantar terus gambar atau video kepada polis sekiranya terlihat kejadian jenayah yang berlaku di hadapan mata mereka.

"Usaha ini secara tidak langsung memudahkan polis mengumpul maklumat risikan, memberi maklum balas terhadap jenayah yang berlaku dengan lebih cepat dan menjadikan masyarakat sebagai mata serta telinga kepada polis," katanya. – Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...