TERKINI :

Friday, August 26, 2016

Anina suruh Ku Nan jadi tukang sapu DBKL jika tak isytihar harta

Ahli jawatankuasa penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Anina Saadudin menyindir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar menukar pekerjaan jika tidak bersedia untuk mengisytiharkan harta.

"Adalah lebih baik baginya untuk isytihar harta. Buatlah yang sepatutnya. Adakah beliau mempunyai terlalu banyak aset sehingga takut untuk isytiharkan? Jika takut, jangan jadi menteri.

"Lebih baik Ku Nan jadi tukang sapu DBKL," jelasnya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Tengku Adnan yang lebih mesra dipanggil Ku Nan berkata, beliau tidak akan mengisytiharkan harta kepada umum kerana bimbang keluarganya menjadi sasaran penjenayah.

Beliau yang merupakan bekas ahli perniagaan itu berkata, ada pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika aset dimilikinya diumumkan secara terbuka.

Antara risiko yang dibimbangi Tengku Adnan ialah kemungkinan isteri atau anaknya akan menjadi sasaran penculik.

"Saya tak akan declare (umum) kepada public (orang awam) kerana saya dulu ahli perniagaan. Saya banyak aset.

"Saya tak akan cerita apa yang saya ada. Saya pun takut barangkali kalau saya declare, anak saya barangkali akan diculik, isteri saya diculik. Macam-macam perkara boleh berlaku. Orang boleh datang merompak," kata Ku Nan lagi.

Dalam pada itu, Ku Nan turut menyifatkan tindakan Anina menarik balik samannya ke atas perdana menteri dan beliau sebagai "perkara biasa" dan mungkin berasa tidak boleh memenangi saman berkenaan.

Menjelaskan langkah tersebut, Anina berkata, beliau menarik balik saman kerana dia kini telah bersama parti serpihan Umno itu.

"Saya kini ahli jawatankuasa penaja BERSATU.

"Saman saya bermula ketika saya ahli Umno dan mereka tidak lagi relevan," tambahnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...