TERKINI :

Wednesday, August 17, 2016

Amanah mahu tokoh negara bersuara isu 1MDB

ATIRAH HASLI


SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) menyeru tokoh-tokoh penting negara bangkit bersuara terhadap isu penyelewengan paling besar melibatkan badan pelaburan kerajaan, 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, kedudukan tinggi yang dimiliki para cendekiawan, budayawan, karyawan, seniman, ahli akademik, agamawan dan ahli politik di negara ini perlu dimanfaat sebagai pembela kepada perjuangan rakyat dan negara.

“Saya yakin, tokoh-tokoh seperti bekas Ketua Turus Tentera, bekas Ketua Polis Negara, bekas Peguam Negara dan hakim-hakim, bekas Ketua Setiausaha Negara dan bekas kakitangan tinggi kerajaan yang lain telah berkhidmat dengan penuh integriti dan menamatkan karier mereka dengan moral yang sangat tinggi.

“Alangkah baiknya kedudukan mereka yang mulia dan tinggi di sisi masyarakat, dimanfaatkan pula untuk menjadi pembela kepada perjuangan rakyat dan negara khususnya dalam menegur pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) yang hari ini sangat kritikal ekoran skandal 1MDB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyuarakan keyakinan yang rakyat akan terus menyanjung mereka di atas jasa kepada rakyat dan negara.

Oleh itu, kata Salahuddin lagi, adalah wajar untuk mereka mewujudkan satu gelombang baharu dalam kelompok mereka sendiri yang pastinya akan dapat memberi kesan besar kepada kesedaran rakyat dalam mempertahankan maruah negara ini.

“Meskipun mungkin mempunyai pandangan politik berbeza, saya yakin, kita semua dapat bersatu dalam usaha menentang penyelewengan yang tiada tara ketika ini,” ujarnya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...