TERKINI :

Wednesday, August 17, 2016

AHLI PARLIMEN LANGKAWI PATUT DISIASAT KERANA HINA AGONG, LAPORAN POLIS MESTI DIBUAT TERHADAPNYA

Shahbudin Husin,


Tindakan Ahli Parlimen Langkawi, Nawawi Ahmad yang mengaitkan Yang Dipertuan Agong sebagai Malaysian Official 1 dalam tulisan di laman Facebooknya adalah suatu perbuatan yang jelas dan terang sebagai menghina kedudukan dan keperibadian DYMM Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Sama ada tulisannya itu sebagai rujukan umum atau merujuk kepada saman Jabatan Kehakiman AS, Nawawi sebagai Ahli Parlimen tentunya sedar bahawa Malaysian Official 1 yang ditanyakan kepadanya adalah merujuk kepada individu yang berkuasa dalam 1MDB, menerima AS$731 juta dalam akaun peribadinya serta mempunyai hubungan persaudaraan dengan Riza Aziz, anak Rosmah Mansor daripada suami terdahulunya.
 
Meskipun beliau kemudian meminda tulisannya, yang membuktikan beliau sedar akan kesalahannya, tulisan asalnya sudah pun tersebar luas di media sosial dan ia sekaligus telah mencemar nama baik dan kedudukan Yang Dipertuan Agong.

Apakah dalam percubaannya mahu mempertahankan Najib Razak, Nawawi begitu buta untuk mentafsirkan siapakah sebenarnya Malaysian Official 1 dan cuba mengalihkan sasaran kepada Yang Dipertuan Agong?

Adakah Nawawi sebenarnya cuba mengajak orangramai untuk mempercayai bahawa Yang Dipertuan Agong terlibat dalam membuat keputusan berkaitan 1MDB dan juga sebagai pihak yang disangsikan menerima wang sebanyak AS$731 juta itu?

Dalam hal ini, mana-mana NGO atau pertubuhan harus segera tampil membuat laporan polis terhadap Nawawi kerana tulisannya yang bersifat tidak wajar dan menghina itu. (SH 17/08/2016).
 

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...