TERKINI :

Tuesday, August 30, 2016

Agus - Setelah 59 tahun MERDEKA.. Ke mana kita?

SETELAH 59 TAHUN MERDEKA: KE MANA KITA?

Jika 59 tahun disetarakan dengan umur seseorang, maka itu sudah usia tua.  Usia tua ialah usia yang matang. Tapi matangkah kita?

Saya kira sejak merdeka, negara kita telah banyak berubah.  Kita telah mencapai banyak pembangunan.  Jika pada tahun 1970-an dahulu, elektrik hanya ada di kampung terpilih, tapi kini hampir semua rumah sudah bercahaya dengan limpahan elektrik.

Jika dahulu, jalan rayanya sempit, kini sudah ada lebuh raya.  Begitu juga dengan kemudahan infrastruktur yang lain, sudah banyak berubah.

Tahniah Malaysia.

*************************************

Dilihat pula dari aspek sikap politik orang kita, ceritanya berbeza.  Dahulu jika di ambang menyambut kemerdekaan negara, suasananya meriah, tetapi kini tidak lagi.

Dahulu ada banyak program kemerdekaan yang menaikkan patriotisme rakyat, tetapi kini jika pun ada banyak program, rakyat tidak lagi ghairah menyambutnya. 

Dahulu rakyat bersemangat mengibarkan jalur gemilang kita.  Kereta, motor, rumah, bangunan, sekolah dan lainnya masing-masing megah memacakkan bendera negara kita.  Semuanya bangga.  Tetapi hari ini, semua itu nostalgia. 

Kini, jika pun ada yang mengibarkan jalur gemilang kita di kenderaan dan di pejabat, semuanya dibuat secara ala kadar sahaja dan tidak lagi meriah.

Timbul persoalan, mengapa begini jadinya?  Adakah anak muda tidak lagi menghayati falsafah kemerdekaan kita?  Adakah ini simbolik protes rakyat kepada kerajaan kita hari ini?  Atau apakah sebenarnya sebab berlakunya keadaan ini? 

Hal ini perlu segera dicari jawapannya demi untuk mengembalikan kegemilangan rakyat kita menyambut kemerdekaan negara seperti waktu dahulunya.

*****************************

Hari ini pemimpin kita sering bercakap tentang perpaduan.  Perpaduan apakah yang kita cari?  Adakah perpaduan Melayu, perpaduan rakyat Malaysia atau perpaduan ummah?  Saya sendiri keliru tentang skop perpaduan yang kita cari ini.

Yang saya tahu hari ini kita berkonflik kerana perbezaan politik, perbezaan mazhab, perbezaan parti, dan perbezaan agama.  Dan paling ngeri apabila kita berkonflik kerana ketaksuban kita kepada pemimpin politik tetentu?

*****************************

Kita sudah berusai 59 tahun.  Tua sudah umur kita.  Sepatutnya kita sudah bergerak jauh ke depan.  Negara kita kaya, rakyat kita cerdik dan kita mempunyai sumber tenaga yang mencukupi untuk membangunkan negara ini.  Ayuh, marilah kita bangunkan negara tercinta ini.

Caranya mudah sahaja.  Cukuplah kita menyalahkan orang lain jika kita gagal.  Cukuplah kita menyalahkah Yahudi jika kita gagal.  Cukuplah kita menyalahkan negara Barat dan Komunis jika kita gagal. 

Salahkan sahaja diri kita, muhasabah diri kita dan kita bersama membangun negara kita ini.

Malaysiaku, tahniah atas usia kemerdekaanmu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...