TERKINI :

Monday, August 22, 2016

1MDB : Rakyat menantikan suara Ulamak penentang korupsi.

*KENYATAAN MEDIA*

*1MDB: RAKYAT MENANTIKAN SUARA ULAMAK PENENTANG KORUPSI*

www.amanah.org.my

Rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini semakin berleluasa sementara melakukannya pula seperti diizinkan dan menjadi perkara biasa. Isu 1MDB sudah menjadi isu antarabangsa apatah lagi Department Of Justice (DOJ), Amerika Syarikat telah mendedahkan segala-galanya.

Isu ini awalnya pernah didedahkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim di parlimen, kemudian diperincikan oleh YB Rafizi Ramli dan YB Tony Pua. Sarawak Report kemudian membuat pendedahan lanjut sehingga berlakunya pergolakan yang menyaksikan Peguam Negara dihentikan, Ketua Pesuruhjaya SPRM berhenti awal, Timbalan Pengarah Cawangan Khas diambil tindakan, serta pembunuhan terhadap Kevin Morais serta pengasas AmBank yang didakwa ada kaitan dengannya. Malah, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir memainkan peranan meneruskan pendedahan penyelewengan 1MDB yang menjadi beban kerajaan sekarang ini.

Nama "Malaysia Official One" iaitu Perdana Menteri Malaysia dan tiga orang yang lain terdedah dengan begitu jelas sekali. Singapura, Luxemborg, Hong Kong, England dan negara-negara lain mempermainkan imej Malaysia dengan begitu teruk sekali. Malaysia digelar negara "Kleptocracy" iaitu negara yang diperintah oleh perompak dan pencuri.

Masalahnya penentangan daripada rakyat terhadap rasuah dan penyelewengan agak perlahan. Umat Islam perlu kepada orang seperti Imam Nawawi untuk muncul menegur, mengkritik dan menentang pemerintah yang mengenakan cukai kepada rakyat yang berlebihan.

Umat Islam memerlukan orang seperti Ayatullah Khasyani yang menggerakkan rakyat Iran bersama pejuang-pejuang  NGO menumbangkan Shah yang pertama dalam isu penyalahgunaan kuasa dan perniagaan oleh syarikat-syarikat tembakau yang memusnahkan kehidupan dan menyebabkan kemiskinan kepada petani.

Umat Islam memerlukan orang seperti Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong yang menetang British, dan mengkritik percukaian yang dikenakan terhadap penduduk di Terengganu pada masa itu.

Sekarang ini, umat Islam kaya dengan ulama-ulama yang menghukum, yang menggelarkan kumpulan-kumpulan yang tidak sealiran sebagai munafik, liberal, pengkhianat, khadam dan lain-lain perkataan jelik lagi. Sedangkan, rakyat menunggu mereka yang muncul untuk memimpin seperti Imam Nawawi, Ayatullah Khasyani dan Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong.

Menjelmalah orang seperti ini untuk menjadi ikutan rakyat supaya kita dapat menentang segala bentuk korupsi. Kami dahagakan ulama-ulama seperti itu, bukan ulama yang menghukum seperti sekarang ini.

Pemerintah yang korup perlu dijatuhkan dan diganti dengan pemerintah yang lebih adil.

Harapan Baru

*MOHAMAD BIN SABU*
Presiden
Parti Amanah Negara
22 Ogos 2016
19 Zulkaedah 1437H

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...