TERKINI :

Tuesday, August 30, 2016

Datuk Husam Musa sah menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH)

Husam kini AMANAH

Anne Muhammad
30 Ogs 2016, malam 10:05 

Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa sah menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas mengumumkannya di sebuah majlis makan malam di Cyberjaya sebentar tadi.

"Saya berdiri di sini dengan nama Allah, bertawakal, saya serahkan diri pada perjuangan AMANAH," katanya.

Husam berkata ramai orang yang ditemuinya menyarankannya menyertai AMANAH, termasuk individu yang ditemui di dalam teksi, pasar atau lapangan terbang.

Dalam ucapannya Husam yang pernah dilihat sebagai pemimpin pelapis di Kelantan selepas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata ada pihak yang membandingkan kepimpinan PAS dan AMANAH.

Bagaimanapun kata Husam, dalam kepimpinan merit utama bukanlah tinggi rendah ilmu agama mereka sebaliknya kepintaran bacaan politik serta komitmen, pengorbanan dan "suluhan perjuangan" masing-masing.

"Mohamad Sabu (presiden AMANAH) pernah masuk penjara. Adakah orang seperti ini tak ada langsung nilai kepimpinan sehingga yang kita besarkan adalah kelulusan agama padahal merit pada kelulusan itu tak ada," katanya.

Agus - Setelah 59 tahun MERDEKA.. Ke mana kita?

SETELAH 59 TAHUN MERDEKA: KE MANA KITA?

Jika 59 tahun disetarakan dengan umur seseorang, maka itu sudah usia tua.  Usia tua ialah usia yang matang. Tapi matangkah kita?

Saya kira sejak merdeka, negara kita telah banyak berubah.  Kita telah mencapai banyak pembangunan.  Jika pada tahun 1970-an dahulu, elektrik hanya ada di kampung terpilih, tapi kini hampir semua rumah sudah bercahaya dengan limpahan elektrik.

Jika dahulu, jalan rayanya sempit, kini sudah ada lebuh raya.  Begitu juga dengan kemudahan infrastruktur yang lain, sudah banyak berubah.

Tahniah Malaysia.

*************************************

Dilihat pula dari aspek sikap politik orang kita, ceritanya berbeza.  Dahulu jika di ambang menyambut kemerdekaan negara, suasananya meriah, tetapi kini tidak lagi.

Dahulu ada banyak program kemerdekaan yang menaikkan patriotisme rakyat, tetapi kini jika pun ada banyak program, rakyat tidak lagi ghairah menyambutnya. 

Dahulu rakyat bersemangat mengibarkan jalur gemilang kita.  Kereta, motor, rumah, bangunan, sekolah dan lainnya masing-masing megah memacakkan bendera negara kita.  Semuanya bangga.  Tetapi hari ini, semua itu nostalgia. 

Kini, jika pun ada yang mengibarkan jalur gemilang kita di kenderaan dan di pejabat, semuanya dibuat secara ala kadar sahaja dan tidak lagi meriah.

Timbul persoalan, mengapa begini jadinya?  Adakah anak muda tidak lagi menghayati falsafah kemerdekaan kita?  Adakah ini simbolik protes rakyat kepada kerajaan kita hari ini?  Atau apakah sebenarnya sebab berlakunya keadaan ini? 

Hal ini perlu segera dicari jawapannya demi untuk mengembalikan kegemilangan rakyat kita menyambut kemerdekaan negara seperti waktu dahulunya.

*****************************

Hari ini pemimpin kita sering bercakap tentang perpaduan.  Perpaduan apakah yang kita cari?  Adakah perpaduan Melayu, perpaduan rakyat Malaysia atau perpaduan ummah?  Saya sendiri keliru tentang skop perpaduan yang kita cari ini.

Yang saya tahu hari ini kita berkonflik kerana perbezaan politik, perbezaan mazhab, perbezaan parti, dan perbezaan agama.  Dan paling ngeri apabila kita berkonflik kerana ketaksuban kita kepada pemimpin politik tetentu?

*****************************

Kita sudah berusai 59 tahun.  Tua sudah umur kita.  Sepatutnya kita sudah bergerak jauh ke depan.  Negara kita kaya, rakyat kita cerdik dan kita mempunyai sumber tenaga yang mencukupi untuk membangunkan negara ini.  Ayuh, marilah kita bangunkan negara tercinta ini.

Caranya mudah sahaja.  Cukuplah kita menyalahkan orang lain jika kita gagal.  Cukuplah kita menyalahkah Yahudi jika kita gagal.  Cukuplah kita menyalahkan negara Barat dan Komunis jika kita gagal. 

Salahkan sahaja diri kita, muhasabah diri kita dan kita bersama membangun negara kita ini.

Malaysiaku, tahniah atas usia kemerdekaanmu.

Jangan jahil, rakyat miskin tak beli apartmen mewah, kata exco Selangor kepada Noh Omar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pangsapuri perkhidmatan SoHo (rumah berpejabat) dan SoVo (rumah berpejabat maya) bukan rumah mampu milik seperti Rumah Selangorku kerana ia dibina di atas tanah berstatus perniagaan, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar itu berkata tindakan beberapa pihak memburukkan kerajaan Selangor berhubung polisi pangsapuri perkhidmatan SoHo dan SoVo mampu milik berkenaan hanya mendedahkan kejahilan sendiri.

“Pangsapuri perkhidmatan, SoHo dan SoVo bukan Rumah Selangorku atau rumah mampu milik. Rumah Selangorku kekal harga jual RM42,000 hingga RM250,000. Hanya rumah mampu milik kerajaan persekutuan yang sehingga RM300,000.

“Rumah Selangorku dibina di atas tanah berstatus kediaman sementara pangsapuri perkhidmatan, SoHo dan SoVo atas tanah perniagaan. Sasaran pangsapuri perkhidmatan, SoHo dan SoVo berbeza daripada Rumah Selangorku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar membidas kerajaan negeri kerana memansuhkan diskaun 10% bagi pembeli Bumiputera bagi rumah pangsapuri perkhidmatan, SoHo dan SoVo.

Noh berkata langkah kerajaan pakatan pembangkang memansuhkan keistimewaan Bumiputera itu hanya menguntungkan pemaju manakala rakyat terus tertekan untuk memiliki rumah.

Sementara itu, Iskandar berkata rakyat marhaen akan membeli Rumah Selangorku kerana cukai tanah dan pintu serta tarif air dan elektrik yang lebih murah berbanding rumah atas tanah berstatus perniagaan.

“Selangor mempunyai polisi mewajibkan pemaju membina pangsapuri perkhidmatan, SoHo dan SoVo mampu milik. Tetapi kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri Barisan Nasional belum memiliki polisi seperti itu,” katanya.

Katanya, dengan polisi baru itu pemaju perlu membina 10 hingga 20% unit mampu milik dan peratusan itu diambil kira mengikut jumlah unit yang dibina.

“Contohnya jika dulu kebanyakan harga jualan SoHo dan SoVo paling rendah antara RM450,000 hingga RM500,000 tetapi kini unit mampu milik antara RM230,000 hingga RM270,000,” katanya.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini berkata syarat kaum untuk kediaman kategori mampu milik jenis SoHo, SoVo dan pangsapuri berservis tidak lagi digunakan bermula September supaya semua bangsa mampu memiliki rumah sendiri.

Mengikut garis panduan pembangunan baharu harga jualan bagi SoHo dan SoVo ditetapkan pada RM230,000 seunit manakala pangsapuri berservis RM250,000 ke kategori mampu milik dan mengekalkan kuota pemilikan 30% oleh pembeli Bumiputera.

Samanlah MUHYIDdiN dan GANI PATAIL, barulah bukti boleh ditunjukkan...

Shahbudin Husin
 
 
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mahu pendahulunya, Muhyiddin Yassin menunjukkan bukti jika benar dalam akaun bank Najib Razak sudah menerima kemasukan wang kira-kira RM1,000 juta sebelum wujudnya kontroversi RM2,600 juta yang didakwa sebagai derma daripada anak Raja Arab.

Kata beliau, Muhyiddin tidak wajar membuat dakwaan yang hanya berdasarkan khabar angin.

"Minta dia berikan bukti jika dia ada. Dia menuduh Perdana Menteri kita, jadi dia mesti menunjukkan bukti," kata Zahid lagi.

Dalam hal ini, Zahid seharusnya sedar bahawa Muhyiddin tidak membuat dakwaan tersebut berdasarkan khabar angin di kaki-kaki lima, tetapi jelas menyebutnya bahawa setelah ditunjukkan bukti oleh Gani Patail yang merupakan Peguam Negara ketika itu.

Bukti itu sekarang sama ada dalam simpanan Gani Patail atau salinannya turut ada pada Muhyiddin.

Tetapi, sebelum Zahid mahu meminta Muhyiddin menunjukkan bukti, beliau yang pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional juga sepatutnya sedar mengenai wujudnya Akta Bank dan Institusi Kewangan atau BAFIA yang menghalang maklumat perbankan seseorang didedahkan kepada umum.

Jika Muhyiddin mendedahkannya, belum pun kebenarannya dakwaanya itu disiasat, sudah pasti kesalahannya dibawah BAFIA akan diambil tindakan terlebih dahulu.

Maknanya, jika pun Muhyiddin mendedahkan bukti tersebut sebagai memenuhi permintaan Zahid, ia tidak memberi makna apa-apa kepada kebenaran yang ingin diketahui.

Sesuai sebagaimana kata Muhyiddin semalam bahawa maklumat mengenai wang RM1,000 juta itu ditunjukkan sendiri oleh Gani Patail kepadanya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, apa yang harus dilakukan ialah Najib sendiri seharusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua mereka itu.

Hanya dengan keberanian Najib menyaman Muhyiddin dan Gani Patail saja, barulah kebenaran atau maklumat bank mengenai wang RM1,000 juta itu dapat didedahkan serta diketahui kebenarannya.

Soalnya, beranikah Najib?

Jika Najib tidak berani, apa kata Zahid sendiri atau mana-mana penyokongnya yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Muhyiddin dan Gani Patail berkaitan kebenaran dakwaan wang RM1,000 juta itu.

Mana tahu, ia juga boleh menjadi laluan lebih cepat untuk Zahid menjadi Perdana Menteri mengggantikan tempat Najib? (SH 29/08/2016).

Monday, August 29, 2016

Husam - Esok, Saya Menyarung Jersi Baru

Kini, menghampiri empat bulan saya terpecat dari Pas.

Dalam tempoh itu, nampaknya tidak ada sebarang isyarat saya diterima semula. Tiada   semakan atas pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada Presiden Pas tidak berguna apa-apa.

Saya menikmati tempoh bertenang. Sambil menemui anggota masyarakat untuk bertanya pandangan mereka. Terburu-buru adalah dari syaitan, kata Nabi s.a.w.

Memerhatikan apa yang berlaku. Merenung dan mencari petanda-petanda pedoman.

Nyata, negara menuju keadaan yang lebih kritikal dari sebelumnya.

Negeri kelahiran saya juga, tidak menjadi lebih baik selepas ombak pengislahan bermula 1990.

Wadah yang saya harapkan dulu, seakan telah 'terjual'. Tertambat dengan kejumudan tanpa inovasi, takwilan nas di luar relevansi, pelabelan dan syok sendiri, membelakangkan budaya argumentasi tetapi mengutamakan emosi, laungan tidak sama dengan aksi, terikat dengan umpan politik lawan dan gagal menerapkan agenda perjuangan yang lebih luas meliputi.

Berdiam diri bukanlah pilihan. Al Qur'an menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al Qa'idun.

Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur.

Saya?

Mencari gua persembunyian dari kelelahan perjuangan akan sia-sia. Berpaling kerana kecewa belum diberikan kejayaan perjuangan, adalah sama dengan apa yang dialami Nabi Yunus a.s ketika ditelan ikan dalam lautan. Tiga kegelapan menyelubungi baginda sebagai pengajaran untuk kita.

Sesekali, ketika fikiran terlintas untuk berehat dari mendayung perjuangan kerana digempur keberatan bebannya, kebimbangan atas  pedoman Al Qur'an melalui kisah Yunus a.s itu menerpa.

Dunia bukan tempat istirehat.

Bersendirian? Juga bukan pilihan.

Empat bulan bukan singkat tetapi tidak pula tersangat panjang.

Di penghujung empat bulan penantian, saya memilih untuk menyertai bahtera baru untuk sama berganding  mencuba merealisasikan:  Islam Adalah Penyelesaian.

Yang lama dilaungkan tetapi belum menjadi realiti. Yang pernah sebahagian menjadi realiti, tetapi kini kabur semula.

Saya mencapai ketetapan, perjuangan Islam bukan hanya milik satu pihak, apa lagi satu parti.

Malam esok, bertempat di Cyberjaya, sebagai tetamu makan malam sebuah pertubuhan, saya berhasrat menamatkan masa penantian saya.

Dan mengumumkan parti baru pilihan saya.

Husam Musa
29 Ogos 2016
26 Dzulkaedah 1437

Melalui 3 fasa Melayu dalam Politik Pas dari era Tg Nik Aziz, Ust Fadhil Noor dan kini......!!!!

KATA-KATA ORANG POLITIK TIDAK PERNAH DI KOTA

DI ERA tahun-tahun 1980an pas cukup kuat sekali menentang semangat nasionalisme. Kebetulannya umno mendokong perjuangan kebangsaan Melayu. Saya masih ingat lagi diketika sering mengekori penceramah-penceramah pas di merata-rata.

Terutama sekali mengekori Dato Fadzil Noor dan Hj Hadi Awang. Banyak rakaman keset-keset penentangan pas terhadap nasionalisme Melayu yang menjadi agenda perjuangan umno itu masih disimpan hingga hari ini.

Pas menentang semangat kebangsaan Melayu sebaliknya memperkenalkan perjuangan islam internasional. Islam kesawarjagatan. Penentangan pas terhadap semangat kebangsaan melayu waktu itu sehingga sanggup melabelkan umno yang mempertahankan nasionalisme melayu itu sebagai Assabiah.

Maka dicungkillah ayat-ayat power antaranya kata rasullah "Bukan dari kalangan umatku bagi mereka-mereka yang memperjuangkan Assabiah(Nasionalisme bangsa), bukan dari kalangan umatku yang mempertahankan Assabiah(Nasionalisme bangsa) dan bukan dari umatku kerana mati mereka mempertahankan Assabiah (Nasionalisme bangsa).

Namun, bagi Ustaz Fadzil Noor terdapat sedikit kelonggaran dalam hujahan beliau. Kata UFN tidak salah cinta kepada bangsa yang terdekat, kerana Rasullah pun sayang dan cintai bangsanya iaitu bangsa Arab. Sebaliknya yang direject dan ditolok cumalah kefahaman yang berteraskan ideologi bangsa yang akhirnya ia melonjak kepada penentangan terhadap islam itu sendiri.

Justeru itu apabila Ketua Penerangan Pemuda PAS,Ahmad Fadhli Shaari mengutarakan hujah beliau bahawa dasar islam membenarkan pembelaan terhadap bangsa ia apakah menepati pandangan UFN. Dan apakah agenda perjuangan bangsa yang dipelopori umno dikatakan Assabiah pula itu benar waktu dulu dan salah pula dihari ini.

Selepas melalui di tiga dasawarsa dan bertukar arah tuju ke politik bekerjasama. Kita rata-ratanya lupa lontaran kata-kata di zaman lampau. Apatah lagi adik-adik diketika itu baru memasuki disekolah darjah satu dan kini dipilih memimpin pas kurang sekali didedahkan dengan sumber-sumber seperti ini.............

Bagaimana adik-adik ku..........

Jamaludin Jamalu

Sunday, August 28, 2016

Dengan adanya sebahagian dalam PKR yang masih ingin bercinta dengan PAS merupakan bukan pilihan yang bijak

ANCAMAN TREND  'CYCLICAL' DAN URBAN BASED PARTY:  *PKR MEMILIH BLOK KETIGA PAS DAN MEREMEHKAN KEHADIRAN PARTI AMANAH NEGARA BUKAN PILIHAN BIJAK BUAT PKR*

Desas desus dan perkembangan politik mutakhir ini menunjukkan PKR seolah-olah melihat PAS  sebagai satu 'force' penting yang berupaya menentukan untung nasib parti itu di masa depan (PRU-14).

Bagaimanapun saya menilai pendirian PKR ini tidak menyeluruh dan hanya melibatkan pimpinan tertentu parti itu. Ia tidak mencerminkan pendirian menyeluruh parti yang sebenarnya masih utuh berpaksi kepada kepemimpinan ikonik, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Adakah idea 'Pas-Ikatan Gagasan Sejahtera (PIGS) ini sesuatu yg besar impaknya kepada politik Malaysia sehingga mencemaskan PKR, sedangkan secara praktiknya sudah menjadi sebahagian dari kolisi politik Pakatan Harapan (PKR, DAP, Amanah) yang saling mengiktiraf?

Secara jujur saya menilai bahawa pakej politik yang cuba ditawarkan PKR kepada PAS ini bukan berdasarkan kepada survival parti itu (PKR) di masa depan, tetapi hanya satu 'percaturan jangka pendek' yang percaya bahawa BN perlu dihadapi secara 'satu lawan satu' dalam PRU 14 akan datang.

Hakikatnya PAS dan Blok Ketiga bukan suatu pilihan masa depan yang wajar kepada PKR. Sebagai urban based party, pergantungan PKR terhadap pengundi-pemgundi berminda 'individualis-consumeris', sejenis pengundi yang melihat untung nasib mereka sebagai 'konsumer politik' tidak memungkinkan parti itu boleh meneruskan survivalnya bersama Blok Ketiga.

Sejak PRU tahun 1999, kecuali Permatang Pauh, sokongan terhadap PKR sangat bergantung kepada kawasan campuran bandar dan semi-bandar di mana komposisi Melayu dan bukan bukan Melayunya adalah 50-50.

Ini bermaksud sokongan kepada PKR sangat bergantung kepada pengundi 'participant' dari kalangan semua kaum yang mendiami kawasan-kawasan bandar dan semi-bandar.

Namun begitu ini bukanlah satu jaminan. Di bandar, ancaman terhadap kelangsungan PKR tetap wujud. Kebimbangan ini hadir jika dihubungkan dengan teori penolakan pengundi bandar terhadap BN dalam PRU 12 dan 13 sebagai suatu trend yang bersifat 'cyclical'.

Ada kalangan pemerhati politik mencadangkan bahawa keputusan PRU 12 dan 13 tidak benar-benar bersifat rentas kaum.

Tetapi amarah politik rakyat dari kegagalan polisi-polisi Datuk Seri Abdullah Badawi itulah sebenarnya yg membuka jalan pengundian bersifat rentas kaum.

Maksudnya rakyat pada masa itu sudah tidak memikirkan siapa, tetapi melihat option yang ada untuk membuat pilihan, tetapi tidak bermakna rakyat pelbagai kaum sanggup untuk mempunyai segala-galanya dalam bentuk 'ethnic-less'.

Jika teori ini benar, bermakna BN masih mempunyai masa depan di bandar dan mampu mengatasi pengaruh PKR, disebabkan wujudnya pilihan bagi pengguna politik, dengan syarat BN perlu mengambil sikap yang lebih moderat dalam isu-isu hubungan kaum dan kontrak sosial.

Sebaliknya di luar bandar, PKR yang bertunjangkan 'Ketuanan Rakyat' akan menemui jalan mati disebabkan ciri-ciri rentas kaum mereka.

Keputusan menyertai Blok Ketiga PAS, bakal menyaksikan PKR akan kehilangan sokongan pengundi bandar. Pada masa yang sama, Amanah akan akan menjadi menerima manfaat politik terbesar sebagai pengganti PKR di kawasan bandar.

Manakala di luar bandar, PKR tidak akan mendapat sokongan orang Melayu dan pada masa yang sama akan amat bergantung pula kepada PAS. Dan sejauh manakah pula PAS sanggup berkorban untuk menyerahkan kerusi luar bandarnya kepada PKR?

Lihat sahajalah layanan PAS terhadap PKR di Terengganu dan Kelantan dalam PRU-13 yang lalu, dua negeri yang umumnya PAS menganggap rakan tahaluf siasinya itu sebagai 'biawak hidup' yang menyusah dan membebankan mereka.

Harus diingat bahawa DAP pula adalah parti yang dominan di kawasan majoriti Cina (bandar). Berasaskan sentimen pengundi Cina masa kini, menyertai atau menawarkan konsesi politik terhadap Blok Ketiga PAS hanya akan membunuh PKR.

Saya menilai dalam situasi politik hari ini, PKR tidak wajar meremehkan kehadiran Amanah, sebuah parti yang berpotensi besar di kawasan Pantai Barat Semenanjung yang kadar pengundi Cina bandarnya antara 35 hingga 45 peratus.

Justeru wajarkan PKR meremehkan Amanah? Walaupun banyak pihak terutama PAS mengkritik prestasi Amanah dalam dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang lalu sebagai gagal menarik undi Melayu, saya kira telahan ini tidak begitu berasas. Sekiranya pihak-pihak tertentu termasuk PKR yakin terhadap kenyataan ini, saya kira itu suatu kesilapan.

Dari analisa yang dibuat, saya fikir dua PRK ini masih belum boleh menjadi petunjuk sebenar hala tuju PRU 14 kerana sifatnya yang tidak menyeluruh dari segi segmen pengundi, kadar 'turn out' dan sifat kedesaan demografinya.

Saya fikir walaupun PAS menguasai lebih 50 peratus sokongan pembangkang bagi segmen pengundi Melayu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, oleh kerana sifat 'luar bandarnya', ia tidak boleh dijadikan petunjuk keseluruhan sokongan orang Melayu terhadap PAS.

Ia lebih sesuai untuk dibandingkan bagi negeri di utara (Kedah) dan Pantai Timur (Kuala Terengganu dan Kelantan).

Tetapi tidak bagi lembah Klang, Lembah Kinta, Pulau Pinang dan Selatan Semenanjung, yang trend pengundiannya adalah berbeza dengan Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Sebagai perbandingan, Ini analisa bagi bagi keputusan *Daerah Mengundi Pekan Sungai Besar*.

Amanah telah menang semua saluran.

Sal      BN       AMH       PAS
1          83       124         17    65%
2         189      213         86    73%
3         182      179         98    68%
4         143      157       143    66%

Komposisi Kaum

S     M           C             I
1   33.4%     62.0%     4.6%
2   46.4%     49.6%    4.0%
3   59.0%     37.9%     3.1%
4   71.9%     26.0%     2.1%

Kecuali di saluran 3, Amanah kalah tipis dengan BN. Saluran 4, pengundi Melayu 72% tapi Amanah telah menang.

Ini menunjukkan trend sokongan 'Pengundi Muda Melayu' kepada Amanah.

Secara keseluruhannya, di Sungai Besar, jumlah pengundi Cina yang tidak keluar mengundi ialah lebih dari 4,000 orang sementara pengundi Melayu tidak mengundi ialah lebih dari 6,000 orang.

*Siapakah mereka ini?*

Mereka adalah pengundi luar yang tidak pulang mengundi disebabkan kekangan waktu dan mereka ini ialah pengundi jenis 'participant' iaitu pengundi yang bertentangan sifatnya dengan pengundi luar bandar yang tinggal menetap di sana, yang setia kepada BN dan PAS.

Golongan ini adalah anti status quo dan tidak takut kepada sebarang risiko untuk memilih mana-mana parti yang mereka fikir sesuai.

Dan pertimbangan utama mereka bukanlah isu agama atau kaum yang digembur oleh BN dan PAS, tetapi lebih kepada isu ekonomi, korupsi, hak asasi dan kebebasan.

Justeru pasti kita boleh agak parti mana bagi 10,000 orang ini akan mereka pilih jika mereka balik mengundi dalam PRU 14 nanti.

Saya mengira, jika 10,000 orang ini pulang mengundi, Amanah mampu meraih sejumlah 13,000 undi dan bukannya seperti yang diperolehi dalam PRK tersebut.

Di Sungai Besar dalam PRU 13 pada tahun 2013 yang lalu, kadar keluar mengundinya ialah 88.3%. Tetapi dalam PRK (Sungai Besar) yang lalu, kadar keluar mengundi hanyalah 74 %. Ini bermaksud 11,090 orang yang tidak keluar mengundi berbanding tahun 2013.

DMA
28 OGOS 2016

Saturday, August 27, 2016

PAS..Era Politik Berputar Angin Terbalik Arus.

Jamaludin Jamalu

PERKEMBANGAN politik pas mutakhir dilihat semacam adanya sesatu keganjilan. Sikap keganjilan yang diperlihatkan pas itu cukup menyeronokan umno-bn. Semenjak tertubuhnya pada tahun 1951 hinggalah ketitik muktamar ke 61 di Kuala Selangor pas mula bertukar angin.

Partai islam itu sebelum ini dilihat agak shadid(keras) dan agresif terhadap lawan politik mereka. Pantang saja bila bertembung dengan musuh tradisi mereka(umno), pas tidak mahu mengalah untuk berlawan. Cuma tidak pernah menang di gelanggang pertandingan.

Muktamar ke 61, pas bertukar wajah. Perjuangan baru pas tidak lagi melawan arus sebaliknya bertukar angin. Pas kini menjadi lunak dengan musuh tradisinya.

Era politik pas bertukar dan terbalik arus. Ia dilihat oleh public oponion satu langkah daripada menifestasi keganjilan yang mengelirukan? Di balik keganjilan semacam zahirnya sesatu rahsia tersembunyi yang perlu diperhalusi.

Dramatik sekali pas dan perubahannya dewasa ini. Putaran hala tuju perjuangan dari sudut mekanisme dan susun atur strategi politik partai islam itu terpusing arus ke 360 darjah kebelakang berlawan putaran alam. Kenapa kepelikan dan keganjilan ini seharusnya boleh terjadi.........? Ia amat sukar untuk diterjemahkan di arena berpolitik terkini.

Pas semakin longlai, kini bertindak memunggah semua kazanah cabaran nan lampau. Pasca baru pas tidak lagi tercabar dan dicabar. Jiwa mesra dengan musuh tradisi diolah mendayu-dayu  dengan alunan bahasa melunakkan sekali. Period sekarang ia mula menghantarkan mesej anjal untuk semua mereka yang setia beristiqamah sepanjang masa:-

1)  Politik itu bukan pemberontakan, bukan juga maknanya menyerang tetapi politik menerang.

2)  Berlawan tiada berhasrat semata-mata untuk tujuan mengejar kejayaan dan mencetak kemenangan, sebaliknya ia sekadar mengharapkan redha Tuhan. Menolak kemenangan jika Tuhan tidak redha. Biar ditimpa kekalahan berpanjangan hingga ke 1000 tahun pas akan tetap terus berjuang.

3)  Menafikan politik berdemonstrasi kerana ia merugikan pas sebaliknya menguntungkan pihak-pihak lain.

4)  Berpilihanraya tidak mengharapkan apa-apa kemenangan memadai sekadar jika dibenarkan menjadi agen penasihat.

5)  Memulakan politik wajar " Bekerjasama itu bukan maknanya bergabung mesra" Jika ditakdirkan kemesraan bergabung itu terjadi realitinya masa sahaja yang menentukan tarikhnya.

Mencukupi deklarasi ringkas ungkapan pendirian sikap pas yang kini terbalik arus berputar angin. Mudah-mudahan masa depan politik mereka tidak terunjur jauh tertinggal kebelakang.

Istiqamahlah dan redhoilah hingga mencapai kejayaan.

Wasalam buat sahabat-sahabat dan rakan taulan seperjuangan.

Dari minda teratak Cabuk meneropong dunia orang berpolitik dari jarak jauh dihujung pendalaman.

Lagi pemimpin Umno nasihat waspada BERSATU

Umno tidak harus memandang ringan terhadap penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sebaliknya perlu mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kata Ketua Umno Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata dalam menghadapi perang PRU, parti ditunjangi orang Melayu itu perlu sedar bahawa parti baharu itu diwujudkan dengan matlamat mahu melihat kekalahan Umno dan BN.

"Kita juga tidak boleh terlalu yakin terhadap kemenangan kerana perkara ini akan menyebabkan kita kalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Shahrir, yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata, berdasarkan pengamatan beliau dan ucapan yang didengarnya, parti baharu itu bukan membawa perjuangan rakyat atau falsafah alternatif.

"Kita (Umno dan BN) mahu kuasa dan kita yakin kita boleh majukan rakyat tetapi matlamat BERSATU bukan itu. BERSATU kata kalau tidak menang pun tidak mengapa, maknanya, parti itu tidak ada perancangan.

"Jadi, bagaimana BERSATU hendak majukan rakyat dan negara dan ini jelas matlamat parti itu hanya hendak lihat Umno kalah sahaja," katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung trend memberi penekanan terhadap 'bangsa negeri' boleh meruntuhkan perpaduan sebagai rakyat Malaysia, Shahrir berkata semua pihak perlu mengakui bahawa Johor mempunyai pendekatan berlainan dan cara tersendiri dalam pelbagai aspek berbanding negeri lain.

Namun pada masa sama, katanya, semua pihak juga perlu menerima dengan baik pendekatan yang diamalkan setiap negeri di negara ini.

"Kita kena akui ada kelainan dan pendekatan Johor dan ini menyebabkan orang luar Johor marah sikit. Ini membuatkan ada pemimpin peringkat kebangsaan yang tidak faham dan mereka anggap Johor macam mengada-ngada sedangkan kita (Johor) ambil pendekatan sendiri," katanya.

Shahrir berkata bekas perdana menteri itu mungkin mempunyai beberapa sebab untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Soal dia (Dr Mahathir) punya marah kepada 'Bangsa Johor' mungkin ada sebab. Satu sebab, mungkin dia anjur konsep 'Bangsa Malaysia', tetapi, konsep di bawah Wawasan 2020 itu kurang kedengaran sekarang dan tiada sambutan kuat," katanya.

Rabu lepas, Dr Mahathir berkata semua negeri perlu memperjuangkan semangat sebagai rakyat Malaysia, bukan sebagai rakyat negeri berbeza kerana hanya melalui perpaduan sahajalah, Malaysia akan makmur.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan daripada hadirin pada Siri Wacana Perdana Ke-20 bertajuk 'Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia' di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

- Bernama

Sabun cap UMNO dan ikan kepala busuk


Telinga aku sebenarnya sudah lama bengkak apabila pemimpin politik secara klise mengajak rakyat "setia" kepada parti. Lepas "setia" kepada parti "setia" pula kepada Presiden. Jadi, aku pun tertanya-tanya kenapa tidak "setia" kepada siapa yang membawa ke jalan kebenaran?

Hangpa toksah cakap pasal kesetiaan. Istilah ini tidak membawa makna apa-apa kecuali ada perkataan selepas kesetiaan itu diucapkan. Kalau hangpa nak tau penyamun mata satu pun setia. Depa setia kepada ketua yang hebat menyamun, kebal dan licik.

Itu bertuhankan kepada parti dan ketua. Itu dah menyeleweng daripada hakikat berparti dan berjuang dengan parti. Setia dan kesetiaan tidak boleh melulu waima yang membawa kita ke longkang. Setia melulu ibarat yang pandai memperkudakan yang tolol.

Tetapi adakan kita boleh buat kira dengan kesetiaan penyamun kepada ketuanya? Dah tentu tidak boleh ambil kira. Sebab kesetiaan para penyamun itu tidak membawa kepada kebenaran. Maka tidak setia adalah lebih mulia daripada terus setia.

Dalam politik hangpa toksah setia melulu. Kalau hangpa terus setia kepada parti, kepada Presiden, itu maknanya hampa tidak menggunakan kelebihan akal yang diberikan kepada manusia. Hidup kita ini perlu setia kepada perbuatan atau tindakan yang membawa kepada kebenaran. Kalau tak tau mana yang benar dan tak benar, baca.

Banyak membaca. Pelbagaikan sumber untuk dibaca. Jangan terperangkap dengan sumber yang dibaca. Daripada situ kita akan mendapat petanda yang menunjukkan mana satukah yang menuju kebenaran. Misalnya depa dok kata jangan bagi ruang kepada kuasa asing campur tangan dalam negara kita.

Itu aku sangat setuju. Sebab itu aku sokong Dr. Mahathir yang masa dia jadi Perdana Menteri tak sekalipun Presiden Amerika dijemput datang ke negara ini. Presiden Amerika tak datang macam kita pi melawat pak penakan kita. Tak ada agenda depa tak datang. Lepas tu dua kali menatang kedatangan Presiden Amerika, tiba-tiba kata jangan bagi ruang campur tangan asing. Hangpa cakap bahasa apa ni?

La ni ada parti baru nama dia BERSATU. Apa susah masuk dan sokong sajalah bila mengundi nanti. UMNO? Jangan dok risau pasai UMNO. Ingat, jangan bertuhankan parti atau Presiden. Kalau parti baru menawarkan lebih baik dari UMNO (yang merelakan integriti dilempar ke tepi) pilih saja yang baru.

Hangpa jangan terasuk dengan saranan supaya memberi kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada parti. Itu mengarut. Itu mengarut tahap gaban. Hanga kena berkata, "Ya kami memberi kesetiaan yang tidak berbelah bagi malah sanggup mati demi parti tapi dengan syarat yang menuju kebenaran." Memang benar UMNO (dulu-dulu) berjuang untuk rakyat hingga merdeka. Bagaimanapun UMNO memadamkan perjuangan daripada golongan ulama, guru, wartawan dan sasterawan. Depa mendabik dada pada setiap 31 Ogos "kununnya" UMNO sajalah memperjuangkan kemerdekaan. Tak apalah, sejarah ditulis oleh yang menang (UMNO) tetapi kebenaran sejarah tidak pernah berubah.

Tapi itu UMNO (dulu-dulu). Tak malukah UMNO (sekarang) menenggek di atas UMNO (dulu-dulu). Hangpa dalam UMNO la ni dok buat apa? Takkan dok julang Presiden 24 jam atau 365 setahun? UMNO dulu gagasannya bebaskan tanah air, takkan pula hangpa dalam UMNO setakat nak bebaskan Presiden? Lagipun Presiden tak bersalah, apa yang dok kalut jaga dia. Dia okey saja, hangpa pula yang tak berapa okey.

Aku nak bagitau hangpa parti politik ni macam sabun basuh kain. Kalau zaman mula-mula merdeka dulu kita pakai sabun cap UMNO misalnya. Tetapi bukanlah sepanjang zaman kualitinya sama. Ia berubah menjadi lebih baik dan mungkin lebih buruk terletak kepada siapa pembuatnya. Memanglah dulu sabun cap UMNO hebat. Tetapi sekarang sabun cap UMNO jangan kata nak tanggal baju terkena getah nangka, daki pun tak tanggal.

Adakah kita akan terus menggunakan sabun cap UMNO padahal kita ada sabun pilihan lain yang menjanjikan kualiti lebih baik. Kalau tidak percaya pun setidak-tidaknya cuba dulu sekali dua. Kemudian kita kaji siapa pembuatnya. Kita bandingkan dengan sabun lama kita.

Kalau hangpa terus setia kepada sabun cap UMNO, aku rasa hangpa telah menganiaya dan tidak berlaku adil kepada diri sendiri. Hangpa telah berlaku tidak adil kepada akal yang sewajarnya memberikan hangpa membuat pilihan yang bijak.

Aku bukan ahli mana-mana parti. Tapi kalau hangpa tanya aku, parti baru memberikan hangpa pilihan. Hangpa kena buat pilihan dengan akal yang waras. UMNO sikit tak heran dengan parti baru, depa semua tu dah hebat sangat dah.

Tetapi tugas hangpa nilai "kepala" kedua-dua parti, UMNO dan parti baru. Hangpa nilailah sendiri, malas aku nak tolong suap kat hangpa.

Orang bijak pandai ada berkata, ikan busuk di kepala dulu, lepas tu baru merebak ke badan kemudian ke ekor. Apa maknanya kata-kata orang bijak pandai ini? Maknanya kalau "kepala" telah rosak, kalau tidak dipotong kepada seluruh badan ikan akan ikut busuk. La ni hangpa dok sayang kepala ikan dan biar sekoq ikan langsung tak boleh makan?

Hangpa dok tanya lagi apa sebenarnya yang aku nak cerita? Hangpa pikirlah sikit. Rajin-rajinkan guna akal fikiran. Aku malas nak suap kat hangpa semuanya. Kalau hangpa terus buat macam ni, senanglah orang cerdik keldaikan hangpa.

nukilan ku_seman

Saman 1MDB: Amanah sokong surat perkenan sokongan Agong



KUALA LUMPUR - ‎Ahli-ahli Parlimen Parti Amanah bakal menandatangani satu surat bertujuan meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bagi menyokong tindakan Datuk Husam Musa dan Matthias Cheng meminta aset 1MDB di kembalikan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad‎ berkata, dengan cara itu mereka berharap tindakan tersebut akan memberi lebih legitemasi ke atas usaha mereka berdua.

‎"Husam dan Matthias Cheng meletakan mereka sebagai mewakili rakyat Malaysia untuk menuntuk hak di mahkamah.‎

"Jadi dalam hal ini surat sudah kita siapkan, dengan meminta YDPA memperkukuhkan kedudukan dan tindakan yang diambil oleh mereka berdua," katanya dalam satu sidang medianya di Ibu Pejabat Amanah, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Amanah terdiri daripada enam orang iaitu dari Shah Alam, Khalid Samad; Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa Parit Buntar; Dr Mariah Mahmud Kota Raja; Dr Hatta Ramli Kuala Krai; Hanipa Maidin Sepang, dan Raja Kamarul Bahrin Kuala Terengganu.

Matthias, seorang peguam yang juga bekas setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Husam Musa, bekas naib presiden Pas menfailkan saman di mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS) di New York pada selasa, menurut The Hollywood Reporter.

Pihak yang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah Red Granite Pictures yang menerbitkan filem Wolf of Wall Street, syarikat yang diasaskan bersama Christopher Joey McFarland, dikatakan kawan kepada Riza Aziz.

Bank pelaburan Goldman Sach turut dinamakan bersama bekas pengurus banknya Timothy Leissner, yang mengatur bon dengan nilai berbilion dolar kepada 1MDB, Timothy didakwa mengambil sogokan dalam bentuk komisen.

Turut dinamakan ialah pengurus perniagaan Riza, Debra Whelan Johnson dan syarikatnya. Mereka dituduh menguruskan wang Riza dengan pengetahuan ia diselewengkan.

Menurut dokumen mahkamah, Matthias dan Husam mendakwa semua defenden sedar menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi masing-masing, termasuk menganjurkan parti untuk bintang Hollywood Leonardo DiCaprio.

Isu Pelajar Maahad Tahfiz di Cabul - Kazim Elias buat laporan polis terhadap Syed Azmi dan Wardina



IPOH: Penceramah bebas, Datuk Kazim Elias hari ini membuat laporan polis terhadap dua pengguna media sosial (Facebook) kerana didakwa membuat komen-komen yang berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasinya sebagai  seorang penceramah agama terkenal tanah air.

Ustaz Kazim berkata, beliau membuat laporan itu kerana merasakan komen-komen negatif yang dibuat oleh aktivis Syed Azmi Alhabshi dan personaliti Wardina Safiyyah sebagai komen-komen yang sangat memalukannya.

Untuk itu katanya satu tindakan perlu diambil bagi membersihkan namanya dan nama sekolahnya Maahad Tahfiz Darul Barakah.

BACA: Saya sanggup serah sesiapa sahaja, termasuk darah daging sendiri - Ustaz Kazim

BACA: Saya tiada agenda, hanya mahu lindungi kanak-kanak - Syed Azmi

BACA: Syed Azmi dedah dakwaan cabul pelajar tahfiz: 'Cium Abi sebelum tidur'

“Saya mengambil keputusan untuk membuat laporan ini sebab mempertahankan diri saya kerana komen-komen yang begitu negatif yang secara langsung dapat disifatkan sebagai itu adalah saya malah ada yang menggelarkan saya dengan gelaran gelaran yang buruk ekoran viralnya di dalam Facebook mereka.

“Jadi saya minta supaya pihak polis  mengambil siasatan ke atas perkara ini supaya tidak berlaku fitnah yang berpanjangan terhadap diri saya, terhadap sekolah saya dan saya harap kepada netizen yang memberi komen dan sebagainya di dalam Facebook mereka ini supaya  dapat berhati hati jangan kita mengatakan sesuatu yang di luar batasan Islam dan mempunyai pegangan agama,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh petang tadi.

Beliau seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap kedua-dua pengguna Facebook terbabit kerana didakwa telah mencelarkan reputasinya sebagai seorang penceramah terkenal tanah air dan juga sekolah maahad tahfiz di bawah kelolaannya.

Baru-baru ini, tersebar di laman sosial mengenai beberapa orang pelajar baharu di maahad tahfiz berkenaan yang dikatakan dicabul selain didakwa berlaku kejadian seks luar tabii.

Susulan itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencabulan seksual di sekolah itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Mohd Yusop Husin pula berkata, pihaknya telah membuat lawatan ke maahad berkenaan dan pegawainya turut menemuramah beberapa pelajar.

Pas mengesahkan tidak menyertai himpunan Tangkap MO1 hari ini


KUALA LUMPUR - Pas mengesahkan tidak akan menyertai Himpunan Tangkap MO1 yang akan diadakan di ibu kota hari ini.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Penerangan Pas Pusat,Nasrudin Hassan menerusi bualan aplikasi Whatsapp sebentar tadi.

"Tidak," jawab Nasrudin ringkas ketika ditanya mengenai penyertaan Pas dalam himpunan esok.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad kamil ketika ditanya mengenai perkara sama dalam sebuah sidang media di sini, hari ini tidak dapat mengulas mengenai perkara tersebut.

Katanya, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut berkaitan himpunan itu daripada Pas Pusat.

Sehingga kini, katanya, Pas Pusat tidak mengeluarkan apa-apa maklumat mengenai penyertaan parti Islam itu dalam himpunan tersebut.

Himpunan Tangkap MO1 akan diteruskan di Dataran Merdeka esok bermula jam 12 tengahari.

Difahamkan, himpunan tersebut diadakan bagi menggesa kerajaan menangkap dan mendakwa individu yang digelar Malaysian Official 1.

TMJ serah pendrive kepada Khairy

TMJ serah pendrive kepada Khairy

PEMILIK Kelab Bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah menyerahkan pendrive yang mengandungi laporan mengenai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menerusi kemas kini status di laman Facebook Johor Southern Tiger hari ini, Tunku Ismail dilaporkan telah berkenan bagi menerima kunjungan Khairy dalam pertemuan yang berlangsung di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

Selain menyerahkan pendrive tersebut, Tunku Ismail dan Khairy turut membincangkan mengenai program-program pembangunan belia serta berkongsi pendapat mengenai isu-isu semasa terutama melibatkan sukan bola sepak.

Sebelum ini, Tunku Ismail mendakwa memiliki dokumen penting berkaitan maklumat berkaitan ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia serta aktiviti dalaman FAM.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini juga turut mengalu-alukan Tunku Ismail untuk menyerahkan 'pendrive' yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung rasuah FAM kepada pihak mereka.

Namun begitu, Tunku Ismail dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan bahawa beliau boleh menyelesaikan sendiri isu FAM tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

Kementerian Kesihatan memberi jaminan Vaksin bebas DNA khinzir di setiap hospital kerajaan


ALOR SETAR – Kementerian Kesihatan memberi jaminan vaksin yang digunakan di setiap hospital kerajaan tidak mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, vaksin tersebut telah diuji di seluruh dunia dan boleh digunakan di Malaysia apabila mendapati ianya selamat untuk digunakan.

Vaksin bebas DNA khinzir“Kes-kes difteria memang berlaku di banyak negeri termasuk Kedah. Kes yang terakhir berlaku setakat ini kepada kanak-kanak yang tidak pernah dapat imunisasi selepas dilahirkan. Ramai juga yang tak dapatkan sepenuhnya imunisasi dan membahayakan anak tersebut.

“Kita nak tegaskan supaya ibu bapa pastikan anak-anak dapat imunisasi yang lengkap, jangan separuh dan tidak cukup kerana kita khuatir dijangkiti difteria yang amat bahaya,” katanya.

Beliau berkata berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis penyempurnaan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2016 di Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar, di sini, semalam.

Menurutnya, kes kematian juga banyak berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan difteria.

“Saya harap mereka yang anti-vaksin ini dapat benarkan imunisasi kepada anak masing-masing. Saya dah cakap banyak kali, kalau kita tak bagi imunisasi kepada anak-anak kita adalah satu penganiayaan kepada mereka.

“Saya harap mereka buat pendirian dan bagilah kebenaran. Kesan sampingan mungkin ada dan mungkin tidak. Kalau ada pun mungkin terlalu sedikit sangat dan tidak serius, misalnya demam,” katanya.

Hilmi berkata, vaksin yang digunakan di Malaysia akan diuji terlebih dahulu oleh syarikat-syarikat yang mengeluarkannya.

“Setakat ini tidak ada unsur-unsur khinzir pun dalam vaksin yang kita pakai, kita tak beli pun. Yang kita beli hanya vaksin yang sah dan tiada unsur khinzir.

“Saya harap perkara ini tidak dipertikaikan lagi dan harap semua ibu bapa pergilah dapatkan imunisasi untuk anak-anak. Kita bagi percuma, tak perlu bayar satu sen pun,” katanya.

Ditanya sama ada penyakit difteria juga berpunya daripada pengambilan vaksin homeopati, beliau tidak menafikannya.

“Pada saya mereka yang mengambil homeopati dan anti-vaksin ini kerana perniagaan saja. mereka nak promosi homeopati walaupun tak tahu lagi kesannya dan menolak vaksin. Ini adalah pertimbangan perniagaan, bukan kerana keselamatan anak itu.

“Janganlah kerana nak berniaga sampai kita menolak imunisasi kepada anak-anak. Tak ada laporan kesihatan pun yang boleh mengatakan homeopati boleh menggantikan imunisasi pada kajian mereka yang sah, tak ada pun di Malaysia,” katanya.

Friday, August 26, 2016

Anina suruh Ku Nan jadi tukang sapu DBKL jika tak isytihar harta

Ahli jawatankuasa penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Anina Saadudin menyindir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar menukar pekerjaan jika tidak bersedia untuk mengisytiharkan harta.

"Adalah lebih baik baginya untuk isytihar harta. Buatlah yang sepatutnya. Adakah beliau mempunyai terlalu banyak aset sehingga takut untuk isytiharkan? Jika takut, jangan jadi menteri.

"Lebih baik Ku Nan jadi tukang sapu DBKL," jelasnya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Tengku Adnan yang lebih mesra dipanggil Ku Nan berkata, beliau tidak akan mengisytiharkan harta kepada umum kerana bimbang keluarganya menjadi sasaran penjenayah.

Beliau yang merupakan bekas ahli perniagaan itu berkata, ada pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika aset dimilikinya diumumkan secara terbuka.

Antara risiko yang dibimbangi Tengku Adnan ialah kemungkinan isteri atau anaknya akan menjadi sasaran penculik.

"Saya tak akan declare (umum) kepada public (orang awam) kerana saya dulu ahli perniagaan. Saya banyak aset.

"Saya tak akan cerita apa yang saya ada. Saya pun takut barangkali kalau saya declare, anak saya barangkali akan diculik, isteri saya diculik. Macam-macam perkara boleh berlaku. Orang boleh datang merompak," kata Ku Nan lagi.

Dalam pada itu, Ku Nan turut menyifatkan tindakan Anina menarik balik samannya ke atas perdana menteri dan beliau sebagai "perkara biasa" dan mungkin berasa tidak boleh memenangi saman berkenaan.

Menjelaskan langkah tersebut, Anina berkata, beliau menarik balik saman kerana dia kini telah bersama parti serpihan Umno itu.

"Saya kini ahli jawatankuasa penaja BERSATU.

"Saman saya bermula ketika saya ahli Umno dan mereka tidak lagi relevan," tambahnya.

Apa yang tinggal lagi dalam "FRANKLY SPEAKING" Musa Hitam..????

Shahbudin Husin,


Ketika terbitnya buku "Frankly Speaking" oleh Musa Hitam, ramai yang melihat ia mungkin sesuatu yang bermanfaat kepada generasi muda untuk memahami banyak perkara mengenai politik dan pentadbiran negara.

Lebih-lebih apabila bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatakan beliau mengambil masa 15 tahun untuk menulis buku tersebut.

Musa sendiri memberitahu, tujuannya menulis buku itu ialah untuk memastikan generasi muda memahami sejarah serta mengenali isu semasa.

Bagaimanapun, sehingga ini sudah empat bekas pemimpin UMNO dan negara menyanggah banyak fakta dalam buku yang ditulisnya itu.
 
Mula-mula Sanusi Junid. Beliau yang dikatakan berada dalam Kumpulan bernama AIDS iaitu Anwar Ibrahim, Daim dan Sanusi, menafikan kewujudan kumpulan  yang didakwa oleh Musa Hitam selalu memberi maklumat salah kepada Tun Mahathir.

Kata Sanusi, kumpulan AIDS itu tidak pernah wujud, bahkan kejatuhan Musa adalah kerana kesalahan dan kelemahannya sendiri.

Bahkan Sanusi juga memberitahu, berbanding Anwar Ibrahim dan Daim, beliau lebih mempunyai hubungan yang akrab dan selalu bekerjasama dengan arwah Megat Junid Megat Ayob dan Kip Bahadom dalam kerja-kerjanya berkaitan UMNO.

Dalam tulisan di blognya, Sanusi juga memuatkan perbualan Whatsapp antara beliau dengan Daim Zainuddin di mana bekas Menteri Kewangan itu tanpa ragu-ragu menyifatkan buku "Frankly Speaking"  itu adalah sebuah karangan "fiction".
 
Kemudian Tun Mahathir turut menyanggah beberapa fakta dalam buku itu, antaranya berkaitan kesetiaan mutlak dalam pentadbirannya sebagaimana yang didakwa oleh Musa Hitam.

Kata Tun Mahathir, beliau tentu akan memecat Musa Hitam sebagaimana Najib memecat Muhyiddin jika kesetiaan mutlak menjadi keutamaannya.

Semua orang tahu, selepas meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pedana Menteri, Musa bukan saja dikekalkan sebagai Timbalan Presiden UMNO dan tidak dihalang berpakat dengan Tengku Razaleigh dalam pertandingan 1987 untuk menentang Tun Mahathir, bahkan dilantik kemudiannya sebagai duta bertaraf menteri.
 
Terbaru, Tun Abdullah Ahmad Badawi pantas menjawab "No,No,No" berhubung dakwaan Musa bahawa beliau meletakkan syarat kepada Najib agar melantik Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai syarat pengundurannya.

Sesiapa pun yang mengikuti perkembangan dalam era kepimpinan Tun Abdullah, tentu faham dan merasakan adalah mustahil beliau berbuat demikian kerana Muhyiddinlah yang memaksa pengundurannya diawalkan.

Lalu, apa yang tinggal lagi dalam "Frankly Speaking" sekarang ini? Fakta atau auta? (SH 25/08/2016).

Seleweng dana 1MDB: Saman Amerika Syarikat ikut prosedur jenayah

Zainur Zakaria
Saman sivil dikemukakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) pada 20 Julai lalu adalah mengikut undang-undang jenayah, tegas bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Zainur Zakaria.

Menurutnya, butiran penyelewengan dalam saman sivil tersebut begitu terperinci dengan siasatan dilakukan oleh pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

"Bagi balaci Umno yang anggap saman itu bukannya jenayah, mereka salah. Kalau tiada perlakuan jenayah, mereka tidak boleh lancarkan saman sivil itu,” ujarnya dalam forum 1MDB: Ke Mana Hujungnya?, 24 Ogos lalu.

Zainur turut membacakan butiran jenayah yang dilakukan oleh mereka yang dinamakan dalam tuntutan pihak AS itu antaranya Jho Low dan Riza Aziz yang membabitkan ratusan juta ringgit.

"Paling kita marah apabila sejumlah RM2.8 bilion mengikut dokumen (DoJ) ini yang masuk ke akaun Malaysian Official 1 melalui Ambank dan disahkan Peguam Negara," katanya.

Beliau yang merupakan peguam kepada Datuk Husam Musa dan Mathias Chang di Malaysia dalam pemfailan tuntutan (class action) bagi menuntut ganti rugi daripada ‘perompak’ 1MDB turut menyatakan penghargaan kepada AS.

"Saya berterima kasih kepada DoJ yang sudi mengambil tindakan itu padahal polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah), Bank Negara dan Peguam Negara cuci tangan," ujarnya.

Mana pergi RM14 bilion?

Menempelak sikap pengurusan tinggi 1MDB yang menafikan firma pelaburan negara itu, Zainur mempersoal sejumlah besar wang yang sehingga kini masih tidak diketahui statusnya.

"Mana pergi RM14 bilion ini kalau tidak berlaku kerugian seperti didakwa 1MDB? Ini semua kegiatan penggubahan wang haram tetapi pihak berkuasa kita tidak ambil tindakan.

“Lebih aneh sehingga hari ini tidak ada siapa pun mencabar atau menafikan keterangan yang terkandung dalam aduan DoJ. Ahli Umno pun, saya tak tahu apa jenis manusia," bidasnya menyelar sikap penyokong parti itu yang rata-rata tidak terkesan dengan isu sebesar 1MDB.

Turut dikritik sikap sebahagian pemimpin Melayu Islam yang dilihat tidak mengambil tindakan sewajarnya ekoran pendedahan DoJ itu.

"Kita menyampaikan fakta dan keterangan yang ada asas bukan fiksyen apa lagi mempertahankan penjenayah," tegasnya lagi.

Wacana Harapan anjuran akhbar Amanah yang julung-julung kali diadakan itu turut menampilkan panelis bekas Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Forum berlangsung kira-kira dua jam itu juga dibarisi peguam Matthias Chang dan Jurucakap Gabungan #TangkapMO1, Anis Syafiqah Md Yusof.

Kenapa Mantan Timbalan Menteri Besar Kelantan dan Mantan Setiausaha Agung PAS boleh memiliki tanah sedemikian banyak di Kelantan?

MINTA PERJELASAN KENAPA BEKAS TIMBALAN MENTERI BESAR KELANTAN DAN BEKAS SU AGUNG PAS BOLEH MEMILIKI TANAH YANG BANYAK DI KELANTAN?

RINGKASAN FAKTA BERKAITAN GALERI TANI SDN BHD - YDP PAS RANTAU PANJANG SAMAN SYARIKAT PAS?

Yang dipersoalkan Dato Husam Musa.

* Aktiviti Syarikat Tanam NENAS

• Baki tanah selepas dijual: 80.0859 Ekar Lot PT 1763 Mukim Apam Jajahan Pasir Mas, selepas dijual kepada PKIN dengan nilai BELASAN JUTA.

• Pemegang Share:

~ Keluarga Wan Othman: 50% - RM500,000

~ Dato Ab Halim: 33% - RM330,000

~ Dato Mustafa @ Hassan Ali: 17% - RM170,000

• Senarai BOD Latest:

~ Dato Ab. Halim Ab. Rahman
~ Mohd Noor Mohd Zin
~ Mohd Izani Che Hassan
~ Muhammad Ashraf Ahmad

• Senarai BOD awal ditubuhkan:

~ Abdul Fatah Haron
~ Dato Mustafa @ Hassan Ali
~ Mohd Noor Mat Zin
~ Wan Othman Wan Yusoff

* Ringkasan daripada persoalan Dato Husam Musa, apabila Ustaz Mokhtar Senik mempertikaikan tapak Bangunan Dun Salor yang bukannya milik Pas.

Minta Ustaz Mokhtar Senik bersuara, kenapa Mantan Timbalan Menteri Besar Kelantan dan Mantan Setiausaha Agung PAS boleh memiliki tanah sedemikian banyak di Kelantan?

Sedangkan beliau orang Terengganu?

Minta jasa baik beliau angkat ke atasan untuk didedahkan, apa isu sebenarnya saman ke tahap saman menyaman ni? Ke akan senyap bila kena batang hidung sendiri?

Terima kasih.

Syam Ghaz

IKUTI PENJELASAN LANJUT DATO HUSAM MUSA

YDP Rantau Panjang saman syarikat Pas?

Pagi ini saya di Mahkamah Tinggi KB - untuk menyambung keterangan sebagai saksi dlm kes saman oleh kontraktor Lebuh Raya Rakyat KB-KK ke atas anak syarikat Kerajaan Kelantan.

Kerana memberi keterangan di mahkamah ini sebelum ini, saya dituduh memberikan keterangan  secara bias, berniat serong dan mensabotaj Kerajaan Negeri - sampai membawa kepada pemecatan saya.

'Mahkamah' parti telah mencampuri Mahkmah keadilan?

Saya bercadang memaklumkan perkara ini kepada YA Hakim.

YA Hakim, atas sesuatu urusan, menangguhkan pendengaran kepada jam 3 petang ini.

Sementara kes ini didengar pagi ini, Mahkamah yang sama mendengar dua kes yang tidak kurang menarik.

Satu, kes YDP Pas Rantau Panjang, Abe Tah memfailkan injunksi ke atas syarikat Galeri Tani yang memilik sekeping tanah di Rantau Panjang.

Seingat saya, antara pemilik Galeri Tani ialah Dato Abdul Halim A Rahman, bekas TMB Kelantan dan Dato Mustafa Ali, bekas SUA Pas.

Saya tidak berapa arif bagaimana dua orang kuat Pas itu boleh memiliki tanah baki dari apa yang telah dijual yg keluasannya masih ratusan ekar.

Katanya, tanah itu milik peribadi dan bukan milik Pas.

Bagaimana orang Terengganu boleh mendapatkan tanah di Kelantan?

Dari mana mereka mendapat wang membeli tanah seluas itu?

Bagaimana sebahagian tanah menjadi milik parti dan sebahagian lagi tanah di tempat yang sama menjadi milik individu yang ada kaitan dengan parti?

Kalau Mokhtar Senik memeningkan diri dengan pejabat Adun Salor yang sememang dari asal lagi milik persendirian bekas Adun Semangat 46, mungkin elok ditanya kedudukan Galeri Tani yang nilainya lebih mahal.

Adakah Pas akan memecat Abe Tah kerana mendakwa orang kuat Pas?

Kedua, kes KPK menyaman kontraktornya sejumlah RM juta. Kontraktor berkenaan menyaman balas KPK atas dakwaan gagal membayar kerja-kerja kontrak berjumlah RM 12 juta.

YA Hakim mengarahkan mediasi dibuat atas tawaran pihak kontraktor untuk menyelesaikan secara rundingan dengan membayar RM 5 juta kepada mereka.

Kes akan didengar pada tarikh yang lain sementara mediasi berjalan.

Andai tuntutan menyebelahi kontraktor, sekali lagi dana Kompleks Perkayuan Kelantan menjadi kempis atas isu-isu pentadbiran yang kurang cermat.

Sekian dulu laporan saya dari Mahkamah Tinggi KB - 11.30 pagi, 13 Julai 2016.

Husam Musa

Jatuhkan Najib sebab tidak ‘bersih’ seperti Tunku Abdul Rahman

ARIF ATAN
 
Rakyat tidak akan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika ‘bersih’ seperti bekas Perdana Menteri, AlmarhumTunku Abdul Rahman.

Penyokong Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mempertikai kempen menyingkirkan Najib.

“Kenapa Hishamuddin bodoh sangat? Kalau Najib Tun Razak ini bersih macam Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman sudah pasti kami tidak akan mengaruk untuk jatuhkan perdana menteri paling korup dalam sejarah politik negara.

“Atas dasar pengkhianatan Najib yang sedang merosakkan ekonomi negara dengan begitu teruk mendesak kami berjuang secara habis-habisan bagi menyingkirkan Najib.

“Sekiranya Najib tidak disingkirkan secara kadar segera, pada pendapat peribadi saya keseluruhan sistem ekonomi kita akan terus hancur.

“Buat masa kini, negara kita mempunyai seorang Perdana Menteri 'Lanun Bugis' yang telah merosakkan amalan demokrasi, sistem politik, ekonomi serta institusi-institusi kerajaan di tanahair kita,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata, Najib sedang dibelenggu kes skandal 1MDB yang menyaksikan kira-kira RM28 bilion lesap dari akaun syarikat tersebut seperti dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara.

Ujarnya, lima negara lain telah mengesahkan mempunyai pelbagai bukti penyelewengan dana yang terbesar dalam sejarah dunia membabitkan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Khairuddin turut menganggap kelemahan Hishamuddin dapat dilihat pada prestasi yang tidak pernah menyerlah mana-mana kementerian yang diketuai Ahli Parlimen Sembrong itu.

“Saya tidak hairan dengan pemikiran dan pandangan bodoh daripada Hishamuddin Tun Hussein selaku Naib Presiden parti Najib masa kini.

“Hishamuddin Tun Hussein daripada dulu sehingga kini amat kurang cerdik! Dia (Hishamuddin) naik dalam politik semata-mata kerana anak kepada mantan perdana menteri. Itu saja! Daripada segi otak amat kurang,” tempelaknya lagi.

Keuntungan Petronas merudum dari RM11.7 billion ke RM1.6 billion


Keuntungan Petronas merudum
Keuntungan Petronas merudumKeuntungan Petronas merudum

Keuntungan Petronas bagi suku kedua tahun ini jatuh 85 peratus berikutan harga minyak rendah apabila melaporkan untung bersih RM1.62 bilion dalam tempoh itu daripada RM11.07 bilion tahun lalu.

Petronas dalam satu kenyataan menyatakan pendapatan syarikat ialah RM48.44 bilion, kurang 21 peratus daripada tempoh sama pada 2015.

Petronas menjangkakan terus menerima kesan daripada harga minyak tidak seimbang sepanjang tahun ini.

“Walaupun harga minyak mentah pulih sedikit, lebihan bekalan dan keadaan lembap menyebabkan ketidaktentuan masih kekal,” kata kenyataan itu.

Ekonomi Malaysia merupakan ketiga terbesar di Asia Tenggara, tetapi kini terpaksa berdepan dengan kejatuhan harga minyak dan permintaan dari luar menyebabkan pendapatan berkurangan dan tekanan ke atas ringgit.

Malaysia juga digegarkan dengan skandal kewangan susulan dakwaan berbilion ringgit dilesapkan daripada sebuah dana pelaburan milik negara yang diasaskan perdana menteri.

Awal bulan ini, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 4 peratus bagi tempoh setahun April-Jun, iaitu kadar pertumbuhan paling perlahan sejak berada pada 1.1 peratus ketika krisis ekonomi global pada 2009.

Bulan lalu, Malaysia buat pertama kali dalam tujuh tahun mengumumkan pemotongan kadar faedah.

Harga minyak juga mengalami kejatuhan di pasaran saham berikutan lebihan bekalan, susut lebih 20 peratus dan ditutup pada AS$40 setong buat pertama kali sejak April.

Awas dengan 'powerbank' anda, seorang jurukamera cedera disebabkan ia terbakar

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR - Seorang jurukamera Bernama News Channel (BNC) melecur di paha kiri apabila power bank yang diletakkan di dalam begnya secara tiba-tiba terbakar.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Awie, 43, berkata ketika kejadian beliau sedang bertugas membuat liputan berita di satu majlis di Chow Kit.

"Saya duduk di kerusi sambil memangku beg di atas paha, tiba-tiba seorang wanita menjerit melihat beg saya terbakar di bahagian bawah," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Beliau kemudiannya mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Taman Melawati akibat melecur teruk di bahagian paha kirinya.

"Power bank itu hadiah yang saya terima semasa membuat liputan dan baru menggunakannya semalam, saya juga telah mengecas penuh power bank itu namun tidak sempat menggunakannya hari ini.

Katanya, akibat kejadian itu, separuh paha kirinya melecur, dua pen drive di dalam beg hangus manakala beg tersebut berlubang di bahagian bawah dan kesan terbakar. - Bernama

ALOR SETAR - Dua NGO bantu keluarga miskin 12 beranak yang tinggal di sebuah rumah usang.

Dua NGO bantu keluarga miskin

ALOR SETAR - Penderitaan sebuah keluarga di Lorong Gedebang di sini, mendapat perhatian dua badan bukan kerajaan (NGO) yang turun padang membantu mereka, baru-baru ini.

Dua badan NGO itu adalah Grup Ziarah Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik (SMKTAM) dan Yayasan Salam.

Naib Presiden Alumni SMKTAM, Ahmad Fuad Ashari berkata, pihaknya terpanggil membantu keluarga Ishak Darus, 76, kerana bersimpati atas kemiskinan dialami warga emas tersebut.

“Sebaik menerima maklumat, beberapa ahli turun padang menyelami masalah 12 beranak itu yang tinggal di sebuah rumah usang.

“Hati kami tersentuh, saat melihat keadaan keluarga mereka yang serba kekurangan, ditambah keadaan ketua keluarga mereka yang memerlukan rawatan akibat masalah kesihatan,” katanya.

Untuk itu, Fuad berkata, pihaknya menyalurkan bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 dan barang keperluan harian bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

Pada 2013 lalu, Sinar Harian menyiarkan kisah 12 beranak yang tinggal di sebuah rumah usang.

Bapa mereka mengalami masalah jantung bengkak, sementara ibu pula, Jamaliah Rejab, 49, kurang sihat akibat sakit kaki.

Thursday, August 25, 2016

Antara Agamawan vs Agamawan, Antara Wahabi vs Aswaja..!!

AGAMAWAN VS AGAMAWAN

Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Melihat kepada perkembangan Wahabi vs Aswaja, saya dapat simpulkan bahawa 'geng wahabi' semakin berani menunjukkan belang mereka secara terbuka, manakala 'geng Aswaja' pula kerap menunjukkan ketidakmatangan dalam isu yang dibangkitkan mereka sendiri.

2) Sesiapa yang pro-Aswaja, pasti sudah ada mental-block terhadap apa sahaja yang datang daripada geng wahabi. Hatta hujah pelik-pelik Presiden Aswaja pun masih diangguk-angguk walaupun remaja sekolah pun boleh tersengih dengan hujahannya.

3) Sesiapa yang pro-Wahabi pula, pasti memandang sinis terhadap apa sahaja yang datang dari geng Aswaja. Hatta pemakaian rida' pun dipandang sinis dan diperolok-olok. Kalau ada apa-apa yang boleh mereka troll Aswaja, berminggu-minggu replay troll. Terbaru adalah troll thesis.

4) Saya berpandangan kedua-dua blok ini perlu menghentikan amalan memecahbelahkan umat. Jadilah kumpulan yang mendamaikan umat. Golongan yang mendamaikan umat yang bertelagah disukai oleh Allah dan Rasul. Tak kira yang mendamaikan itu wahabi atau Aswaja.

5) Jika Aswaja mendamaikan umat, tidak mencari perbalahan, maka Aswaja dikasihi Allah dan Rasul. Begitu juga Wahabi, jika Wahabi berusaha mendamaikan umat, maka Wahabi juga dikasihi Allah dan Rasul.

6) Polemik merepek ini semakin rancak sejak akhir-akhir ini. Ketahuilah, walaupun ramai yang berdiri teguh di belakang Aswaja,  tidak bermakna Wahabi itu sedikit. Saban hari program Wahabi mendapat sambutan golongan yang profesional, skeptikal dan logikal.

7) Jika Aswaja dan Presidennya masih menggunakan method menyerang umpama singa, saya yakin orang awam akan menyokong wahabi. Yang tinggal hanya golongan taksub dengan Aswaja sahaja. Saya tidak membuat kenyataan tanpa asas, bahkan saya mengendur sedikit berbicara bab politik untuk melihat sejauhmana isu Wahabi vs Aswaja inisedang berlaku.

8 ) Aswaja tidak memandang dari posisi bird view untuk melihat secara keseluruhan. Hanya menyinga dalam kelompok Aswaja dan memandang dari dalam kelompok. Anda tidak akan dapat melihat isu dengan lebih jauh melainkan terbatas kepada sentimen ujub dengan kekuatan sendiri. Jika anda keluar dan melihat dengan cara lebih luas, anda pasti yakin yang anda perlu mengubah strategi.

9) Ubah strategi? Strategi apa? Ubah cara berfikir. Cara berfikir sangat penting dan sememangnya sukar diubah. Ia memerlukan latihan. Contohnya, anda merigidkan pemikiran anda ke atas tuduhan bahawa Ibnu Taimiyah punca terrorisme.

10) Sampai ke sudah anda tidak akan menjumpai pendapat yang baik Ibnu Taimiyah, Segala hujah yang anda cari akan beroreintasikan Ibnu taimyah membawa keganasan. Walhal jika anda ubah cara berfikir, kaji dahulu pendapat yang anda kata ganas itu dari sudut waqi' semasa pendapat itu ditulis, bagaimana keadaannya, atau apa maksud sebenar dan sebagainya.

11) Apa bagusnya anda mencari pendapat-pendapat orang yang tidak sebulu dengannya yang mengkafirkannya? Jika mahu tahu hal seseorang, tanyalah orang-orang yang rapat dengannya, sahabat-sahabatnya, bukan mencari dalil dari musuhnya.

12) Jika saya mahu tahu peribadi TGNA, saya akan tanya orang PAS, bukan tanya orang MCA. Jika mahu kenal Husam Musa, saya akan tanya Ust Che Ibrahim, bukan tanya Ust Mokhtar Senik. Jika saya mahu tahu hal Ust Nasharuddin Mat Isa, saya akan tanya Ust Nik Abduh, bukan tanya Khalid Samad.

13) Begitulah halnya Ibnu Taimiyah. carilah pendapat yang menyokong beliau dan tulisan murid-murid beliau mengenainya untuk anda kenal seseorang. Anda akan kenal antara sahabat yang baik dan pengikut yang taksub dalam kalangan mereka.

14) Wahabi pula secara moralnya sudah memenangi hati orang awam dalam banyak siri isu-isu yang berbangkit. Aswaja takkan mahu mengakui, ataupun Aswaja memang tak tahu hal ini kerana ujub dengan kekuatan sendiri.

15) Saya tidak ambil pot mengenai perbahasan antara Wahabi dan Aswaja, kerana ia tidak berkesudahan. Yang saya ambil pot adalah sikap dalam berbeza pendapat. Kedua-duanya sama sahaja, tidak beradab. Saya membuat general conclusion, bukan bermaksud semua orang begitu. tetapi majoritinya, kedua-dua belah pihak mempunyai spesies yang kurang beradab yang ramai.

16) Sindir menyindir secara terbuka, disambut dengan gelak ketawa dan merendah-rendahkan orang yang disindir dalam forum ataupun seminar, adalah level tidak beradab yang dirasakan OK, walhal itu adalah tidak beradap. Lebih-lebih lagi memaki dan menistai orang secara terbuka.

17) Ingatlah wahai Wahabi dan Aswaja. Walaupun kedua-dua pihak anda rasa bagus masing-masing, anda adalah golongan agamawan secara am difahami oleh orang awam, muslim dan bukan muslim. Lebih-lebih lagi non-Muslim tidak memandang Wahabi vs Aswaja, tetapi Agamawan vs Agamawan. Muslim vs Muslim.

18) Tak nampak lagi kah?

Sekian

Husam doa Najib hidup 100 tahun untuk bayar hutang 1MDB

MK | Adun Salor Datuk Husam Musa hari ini secara sinis mendoakan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diberi umur panjang dan dapat mentadbir negara sehingga 100 tahun akan datang.

"Apa salahnya kita mengharapkan beliau panjang umur. Terus mentadbir Malaysia untuk seratus tahun akan datang.

"Itulah caranya untuk menjadikan Umno dan Malaysia terus kukuh - mengikut ukuran Najib," kata Husam dalam cacatan di Facebooknya.

Husam mendakwa sebelum ini terdapat laporan mengenai pembelian hormon antipenuaan yang tercanggih dan mahal menggunakan dana 1MDB.

"Saya seronok jika beliau hidup lama untuk membolehkan Najib melunaskan hutang-hutang negara yang telah dilakukan sebelum ini bila tiba tempoh matang hutang-hutang itu, termasuk hutang-hutang 1MDB," katanya.

Tambahnya, hutang yang paling hampir matang mengikut laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) adalah pada tahun 2022 berjumlah RM19 bilion, termasuk kadar faedah.

"Syabas. Pada waktu itu, umur Najib adalah 69 tahun. Masih muda. Pada umur beliau 70 tahun iaitu setahun kemudian, beliau kena menguruskan pembayaran hutang 1MDB sebanyak RM 15.7 bilion lagi," katanya.

Bon pertama dikeluarkan 1MDB berjumlah RM5 bilion pula akan matang pada tahun 2039, kata Husam.

Memetik laporan PAC, Husam berkata negara perlu membayar sebanyak RM13.63 bilion iaitu RM5 bilion untuk bayaran pokok dan RM8.625 bilion lagi untuk bayaran keuntungan pada tahun 2039.

"Padahal, jumlah bersih yang diperolehi oleh 1MDB dari bon ini hanya RM 4.3 bilion kerana pelbagai yuran yang dikenakan adalah tertinggi. Ini kelebihan cara Najib. Jangan bimbang, 2039 adalah dua tahun selepas PRU18 dengan andaian setiap lima tahun PRU akan diadakan," katanya.

Selain itu, katanya, negara juga perlu menjelaskan tanggungan besar yang lain.

"Mengikut Laporan PAC, 1MDB terhutang kepada rakan kongsinya IPIC sebanyak AS$1 bilion atau RM4 bilion. Namun kini, IPIC mendakwa Malaysia terhutang kepadanya sebanyak AS$6.5 bilion atau RM26 bilion!

"Ini kerana bayaran yang dibuat oleh 1MDB tersalah masuk ke dalam akaun syarikat yang namanya serupa dengan anak syarikat IPIC tetapi entitinya berbeza! Aabar dua serupa. Hebat, hanya Malaysia Boleh," katanya.

Tun M mohon maaf di atas tindakan lalu

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf atas pindaan perlembagaan yang menyebabkan kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.

Bagaimanapun, kata bekas Perdana Menteri itu, pindaan tersebut tidak meliputi semua undang-undang kerana terdapat Akta Parlimen yang masih perlu mendapat persetujuan dan tandatangan baginda.

“Saya dengan penuh ikhlas memohon maaf kerana membuat pindaan tersebut yang terbuka kepada tafsiran berbeza. Pindaan itu tidak melucutkan lebih 30 perkara lain di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Sebenarnya terdapat lebih 30 prosiding yang tersenarai dalam perlembagaan yang memerlukan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, sebahagian daripadanya tanpa mendapatkan nasihat perdana menteri,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan, semalam.

Mahathir berkata, hak dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk isytiharkan darurat tidak terjejas dan keistimewaan itu dikekalkan kerana implikasinya amat serius.

“Fasal (1) Perkara 150, Proklamasi Darurat menyatakan ‘Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka baginda boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

“Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir akan berlaku,” katanya.

Katanya, perkara dan fasal itu menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk isytihar darurat kekal terletak hanya pada baginda dan tidak boleh dipertikaikan.

“Tiada disebut dalam kes ini, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri. Yang di-Pertuan Agong juga boleh memasyhurkan ordinan yang mempunyai kuasa sama dengan Akta Parlimen.

“Dengan kuasa ini yang kekal di tangan Yang di-Pertuan Agong tidak terdapat apa-apa keperluan bagi mana-mana undang-undang lain untuk membolehkan kerajaan menggantung undang-undang bagi menangani masalah keselamatan,” tegasnya.

Menurut Mahathir, Akta MKN yang diluluskan di Dewan Rakyat itu telah menghina peruntukan Perkara 38 (4) yang menyatakan tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Jelas sekali Akta MKN ini menceroboh kedudukan istimewa Majlis Raja-Raja dan bertentangan dengan hak Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat. Persetujuan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong masih diperlukan untuk meluluskan akta ini sebagai undang-undang.

Katanya, di bawah Fasal (3) Perkara 40, baginda boleh bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang bukan daripada jemaah menteri untuk jalankan mana-mana fungsinya, selain menurut budi bicaranya.

“Pengisytiharan darurat adalah perkara yang ditentukan perlembagaan sebagai atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Apabila Akta MKN pindahkan kuasa Yang di-Pertuan Agong kepada perdana menteri sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan, keperluan baginda laksanakan hak untuk memutuskan darurat tidak lagi bermakna.

“Secara dasarnya MKN telah merampas kuasa dan hak Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan perkara ini, sedangkan persetujuan baginda dan Majlis Raja-Raja perlu diperolehi dahulu.
 
“Apabila kerajaan ketepikan permintaan raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong supaya Akta MKN diperhalusi dan disemak semula, maka jelas pindaan tersebut tidak mematuhi perlembagaan. Oleh itu Akta MKN tidak boleh dimeterai sebagai undang-undang,” jelasnya.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong masih mempunyai bidang kuasa untuk menasihati Mahkamah Persekutuan tentang apa-apa soal dan kesan mana-mana peruntukan perlembagaan yang berbangkit atau mungkin berbangkit.

“Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

“Peruntukan ini memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan jika terdapat kesangsian terhadap kesahihan ataupun ketidaksahihan Akta MKN yang tidak pun mendapat persetujuan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong,” ulasnya.

Katanya, pelantikan perdana menteri juga merupakan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang individu yang mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, namun calon itu tidak semestinya diterima oleh baginda.

“Berdasarkan peruntukan sama di Terengganu, Perlis dan Selangor, calon yang dikemukakan parti menang ditolak dan raja-raja membuat keputusan menerima calon lain. Mereka ini dilantik sebagai menteri besar dan diterima Majlis Mesyuarat Negeri.

“Jelas, baginda mempunyai hak melantik perdana menteri atas budi bicara. Jika semasa persidangan, Dewan Rakyat menolak lantikan itu, calon tersebut terpaksa berhenti daripada jadi perdana menteri. Yang di-Pertuan Agong akan menamakan calon baharu,” ujarnya.

Pelantikan Ketua Audit Negara juga merupakan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Ketua Audit Negara hendaklah melaksanakan apa-apa tugas lain dan menjalankan apa-apa kuasa sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan berhubung dengan akaun bagi persekutuan dan negeri-negeri.

“Manakala berhubung dengan akaun bagi pihak-pihak berkuasa awam lain dan badan yang dinyatakan melalui perintah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata lagi, Ketua Audit Negara perlu mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong supaya ia boleh dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri, Datuk Sri Najib telah memerintahkan Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Laporan yang sepatutnya dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaliknya dihantar kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” jelasnya.

Beliau berkata, tindakan kepimpinan Najib yang menyerahkan laporan PAC dan Ketua Audit Negara kepada Peguam Negara yang kemudiannya diisytiharkan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi bertentangan dengan peruntukan perlembagaan

“Amat jelas kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib bukan sahaja mengabaikan peruntukan perlembagaan, tetapi bertindak bertentangan dengannya, dengan memberi laporan tersebut kepada Peguam Negara. Ia kemudian diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi,” katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...