TERKINI :

Sunday, July 24, 2016

Usah buang masa tilik MO1....

Al-Abror Mohd Yusuf @ MalaysiaKini


Sebagai sebuah negara bertuah dan dicemburui, memang layaklah Malaysia diuji lagi. Dan lebih menyedihkan ujian kali ini - seperti beberapa ujian lalu - ia datang dari negara luar.

Hampir 60 tahun Inggeris meninggalkan negara ini ternyata kuasa asing masih terus cuba mencampuri hal ehwal dalaman kita.

Secara umum pendedahan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) AS mengenai pelbagai dakwaan melulu terhadap 1MDB memang sedikit menggemparkan.

Selepas pihak berkuasa yang amat berkredibiliti di negara ini mengesahkan tiada sebarang masalah atau salah laku terjadi pada agensi milik penuh kerajaan itu, tiba-tiba Biro Siasatan Persekutuan dan DOJ menuduh beberapa pihak menyelewengkan dana awam milik 1MDB untuk pelbagai aktiviti salah.

Untuk rekod, pelbagai pihak sudah menyatakan bahawa 1MDB tidaklah seteruk yang digambarkan pembangkang atau pembenci Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor misalnya mengesahkan bahawa laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung 1MDB membuktikan bahawa Najib menjadi mangsa fitnah sekian lama.

Kata setiausaha agung Umno itu amat memilukan apabila perdana menteri menjadi sasaran tohmahan berhubung 1MDB ketika beliau sebenarnya nampak seperti bersungguh-sungguh bersifat telus dan terbuka.

"Saya merayu kepada rakyat untuk tidak percaya kepada sebarang dakyah kerana pihak itu pasti ada niat tertentu untuk memecah-belahkan masyarakat," kata Tengku Adnan pada April lalu.

Tiada wang digelapkan

Bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak pula pada 21 Julai menegaskan saman sivil DOJ itu dibuat berdasarkan aduan difailkan pihak ketiga.

Pada pandangan menteri komunikasi dan multimedia itu antara dalang berkenaan ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Masalahnya, kata Salleh, 1MDB sendiri berkata syarikat itu tidak hilang atau dicuri.

Jika itu tidak cukup meyakinkan, lihat pula kenyataan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sebagai orang begitu penting mempertahankan kedaulatan undang-undang negara Apandi tentu tahu benar apa yang dikatakannya apabila beliau menekankan hakikat bahawa tiada bukti menunjukkan wang daripada 1MDB digelapkan.

“Tiada bukti daripada sebarang siasatan djalankan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan dalam pelbagai bidang kuasa menunjukkan terdapat wang digelapkan daripada 1MDB...,” katanya.

Dalam keadaan hujah dikemukakan amat meyakinkan malangnya masih ada segelintir pihak terus memainkan perasaan rakyat untuk meragui kerajaan.

Lebih pilu, ungkapan "Malaysian Official 1" dijaja ke sana sini. Ketika ada pihak masih ragu - kerana tidak ada bukti sama sekali - bahawa individu itu ialah seseorang yang kita kenali, pembangkang secara bertanggungjawab menuding jadi ke arah perdana menteri.

Salleh juga menafikan bahawa "Malaysian Official 1" adalah Najib. Sebagai orang yang mempunyai kedudukan tinggi dan dihormati, terlalu sukar diterima akal untuk beliau tergamak membuat pembohongan kepada rakyat dalam kenyataannya.

Tambahan pula praktik politik di negara ini begitu bermaruah tinggi. Rasanya belum pernah ada mana-mana perdana menteri atau menteri yang meletak jawatan selepas mengaku berbohong, kan?

Bukan bunuh diri

Kalau ada yang meletak jawatan atas sebarang tuduhan - misalnya Tan Sri Chua Soi Lek - ia bukanlah kerana beliau berbohong sebaliknya disebabkan perkar diakui benar.

Apakah kepentingan orang ramai membangkitkan siapa individu "Malaysian Official 1" itu ketika isu yang lebih besar perlu difikirkan sebenarnya ialah 1Malaysia?

Memanglah dalam dokumen saman sivil AS itu "Malaysian Official 1" disebut 36 kali, tetapi tidak adakah kemungkinan FBI dan DOJ sengaja mahu mencipta krisis kepercayaan dengan sengaja mereka-reka ungkapan itu?

Bayangan mengenai "Malaysian Official 1" itu memang ada tetapi belum nampak sebarang pengesahan rasmi bahawa individu itu adalah Najib.

Ia boleh jadi sama seperti keterangan Datuk V K Lingam ketika memberi keterangan di depan suruhanjaya diraja yang menyiasat rakaman video dan audio beliau: "Nampak macam saya, kedengaran macam saya" tetapi tidak semestinya dia.

Atau "Malaysian Official 1" itu sebenarnya tidak penting pun, seperti tidak perlunya diketahui siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu suatu ketika dulu.

Atau "Malaysian Official 1" sebenarnya sekadar rujukan dan kewujudan yang 'terbuka', seperti penghakiman inkues kematian Teoh Beng Hok.

Pada Januari 2011 koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan kematian Teoh - yang ditemui di luar bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Shah Alam pada 16 Julai 2009 - bukan kerana bunuh diri mahupun dibunuh.

Ada kemungkinan agak besar istilah "Malaysian Official 1" itu adalah kod rahsia dicipta golongan karfir harbi di Washington untuk merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Daripada membuang masa memikirkan siapakah "Malaysian Official 1" adalah lebih wajar masa dan perhatian kita ditumpukan kepada banyak isu atau polemik lain yang lebih penting dengan mengangkat budaya politik matang dan sejahtera.

Kewajaran mencabut bulu kening di kalangan pelajar, misalnya, atau siapakah isteri ketiga Datuk Red. Satu lagi isu yang mendesak sekarang ialah hukum bermain Pokemon GO di kalangan orang yang mumayyiz.

Sebaik-baiknya biarlah fatwa mengenai hal itu dapat diselesaikan selewat-lewatnya Selasa ini. Atau pada mana-mana Selasa akan datang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...