TERKINI :

Friday, July 29, 2016

UMNO-BN beri projek pada syarikat China tanpa tender terbuka untuk bayar hutang 1MDB

28 Julai 2016

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Rakyat sekali lagi terpaksa menanggung beban hutang 1MDB, kali ini melibatkan tipu muslihat kerajaan UMNO-BN dalam menganugerahkan kontrak Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) kepada China Communications Construction Company (CCCC).

Laman pendedah maklumat, Sarawak Report dalam laporannya dua hari lalu mendakwa kerajaan UMNO-BN bersubahat dengan kontraktor terbabit untuk menaikkan kos projek berkenaan daripada RM30 bilion kepada RM60 bilion bagi membayar hutang 1MDB.

Kontrak itu juga didakwa diberikan kepada CCCC tanpa melalui proses tender terbuka.

Sehubungan itu, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua Kiam Wee dalam satu kenyataan hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak megesahkan atau menafikan dakwaan serius terbabit.

“Malah, beliau perlu memberikan alasan yang paling munasabah terhadap tindakan kerajaan menganugerahkan tender berkenaan secara langsung kepada CCCC,” katanya.

Menurut dokumen yang didedahkan Sarawak Report mengenai perkara itu, Tony Pua berkata, CCCC perlu mengarahkan sebuah syarikat yang bakal dilantiknya untuk membayar RM3.4 bilion kepada International Petroleum Investment Corporation (IPIC) bagi hutang pendahuluan 1MDB.

Malah, katanya, CCCC juga didakwa perlu mengambil alih hutang anak-anak syarikat 1MDB berjumlah RM19.4 bilion termasuk faedah yang telah dijamin oleh IPIC setelah menandatangani kontrak ECRL bersama kerajaan UMNO-BN yang dijangka berlaku pada Disember tahun ini.

“Lebih menarik lagi, sebahagian daripada jumlah wang dari kos-lebihan akan digunakan untuk membeli saham besar dalam syarikat Low Taek Jho, Putrajaya Perdana Bhd dan Loh & Loh Corporation Bhd yang masing-masing bernilai AS$244 juta dan AS$71 juta.

“Di samping itu, terdapat pembayaran yang dicadangkan oleh CCCC kepada syarikat ‘perundingan/strategik/perkhidmatan perhubungan’ dan satu lagi ‘syarikat yang dilantik’ untuk jumlah AS$65 juta dan AS$200 juta,” katanya sambil mendakwa bahawa pembayaran “misteri” itu dibuat bagi membayar komisyen pihak-pihak tertentu.

Kos tinggi berbanding dua projek sebelumnya

Dalam pada itu, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut membandingkan kos projek ECRL dengan dua lagi projek pengangkutan awam yang lain pada tahun 2003 dan 2015.

“Sebagai perbandingan, projek trek-berkembar Ipoh-Padang Besar sepanjang 329km telah dianugerahkan kepada konsortium MMC-Gamuda dengan nilai RM14.5 bilion pada 2003.

“Baru-baru ini pada Disember 2015, projek Gemas-Johor Bahru link sepanjang 179 km telah dianugerahkan kepada China Railway Engineering Corporation dengan jumlah RM7.1 bilion.

“Secara purata, kos projek-projek berkenaan masing-masing hanya RM44 juta dan RM39.8 juta bagi setiap kilometer,” ujarnya.

Oleh itu, mengambil kira projek ECRL yang melibatkan 620 km dan memakan kos RM60 bilion, Tony Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata ia bermakna kos bagi setiap kilometer adalah RM96.8 bilion iaitu 120 peratus dan 143 peratus lebih tinggi daripada kedua-dua projek berkenaan. – Roketkini.com

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...