TERKINI :

Wednesday, July 20, 2016

TURKIYE, AKP & ERDOGAN pada kacamata aku

Semasa persidangan di Republic Czech dua tahun lepas, kebetulan pada tarikh tersebut adalah hari kebangsaan Turki. Delegasi Turki telah menempah sebuah hotel lain untuk menyambut hari kemerdekaan mereka. Kami semua dijemput untuk menghadiri dan disediakan bas khas, semuanya percuma.

Untuk rekod, hari kebangsaan Turki adalah kejayaan mereka menubuhkan republik Turki moden pada Oktober 1923, bebas daripada khilafah Othmaniah. Tokoh kemerdekaan mereka adalah Mustafa Kamal Atartuk.

Dalam majlis tersebut, poster Mustafa Kamal Atartuk yang digelar bapa pemodenan Turki digantung sekitar dewan majlis. Walaupun imej Atartuk begitu negatif pada kita, tapi jangan sesekali tersilap mulut hina Atartuk di Turki, nahas nanti.

Dalam majlis itu saya bersembang-sembang dengan mereka tentang Turki, topik yang sesuai dengan tema untuk mereka perkenalkan Turki kepada orang luar. Jangan terkejut, pendamba Atartuk dan sekular itu adalah penyokong dan pengundi Erdogan dan AKP.

Setahun sebelum itu saya menghadiri malam apresiasi Turkiye di Kelvansary Hotel, di Antalya, sebuah wilayah Turki di sebelah Mediteranean. Melalui majlis itu, saya memahami bahawa apresiasi Turki pada mereka adalah tarian gelek yang menghairahkan dan hidangan arak.

Lagi sekali jangan terkejut, sebahagian besar yang sempat saya bersembang dengan mereka adalah pengundi Erdogan dan AKP.

Melalui beberapa ziarah ke Turki, interaksi dengan kenalan Turkish, serta pembacaan2, saya memahami dan menjadi kagum dengan daya politik Erdogan dan AKP.

Sejarah kerajaan Refah digulingkan oleh tentera yang menjadi pengawal sekular Turki dihadam dan dipelajari sungguh2 oleh Erdogan dan AKP.

Mereka tahu, untuk membawa Islam dalam pemerintahan Turki umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Mereka sedar membawa Islam kembali dalam konsep bernegara Turki umpama membakar ikan di atas api, cukup panas untuk memasakkan ikan, tidak terlalu panas sehingga menghanguskan.

Sebab itu Erdogan tidak menggunakan slogan2 Islamik dalam pentadbiran AKP. Pendekatan Islam diamalkan satu demi satu secara praktikal, dalam kerangka sekularisme sedia ada. Jika kita terlebih Islamis, sudah tentu kita akan mengkritik Erdogan dan AKP sebagai tidak cukup syarie, bukan parti Islam, apatah lagi tidak pernah berkempen untuk laksanakan hudud di negara hampir 100 peratus muslim itu.

Bangsa Turki adalah bangsa yang teruji sejak ribuan tahun, mereka ada identiti yang sangat hebat, memiliki jatidiri tersendiri. Mereka baik, tetapi sikap tegas dan tidak bercakap banyak menyebabkan kadang2 kita menafsir mereka sebagai tidak mesra. Apabila kita bercakap dan mereka tidak perlu membalas apa2 percakapan, mereka hanya ber hmm hmm hmm sambil menutup mulut, berpanjangan begitulah. Bukan seperti kita yang berebut-rebut nak bercakap, sehingga tiada orang yang nak mendengar.

Ramai pengemis yang meminta sedekah di jalanan Istanbul, bahkan lebih dahsyat ibu bapa yang mengemis bersama keluarga sanggup membiarkan kaki anak2 mereka bertelanjang dalam musim luruh dan sejuk yang sangat dingin itu. Apabila ditanya kepada mereka tentang pengemis2 itu, mereka bertegas bahawa bangsa Turki tidak akan mengemis, bahkan mereka mencabar kita untuk tunjukan orang Turki yang mengemis, yang mengemis di jalanan itu adalah pendatang luar, khususnya orang Syiria.

Erdogan dan AKP mengambil pelajaran politik yang sangat baik untuk meletakkan mereka dalam lanskap politik Turki, serta meletakkan Turki dalam peta politik eropah dan dunia. Boleh sahaja kita mengkritik Turki dengan tindakan2 tidak Islamik mereka, posisi mereka dalam NATO, pemulihan hubungan dengan Israel, permohonan maaf kepada Rusia dan sebagainya, namun mereka sangat arif dengan percaturan dan keperluan semasa.

Untuk rekod, AKP adalah pecahan daripada parti Refah yang diguling dan diharamkan oleh junta tentera. Setelah diharamkan, Refah berpecah kepada dua parti iaitu parti Sa'adat yang menggunakan pendekatan  agak konservatif dan parti AKP yang mengambil laluan progresif. Dalam siri2 terakhir pilihanraya, AKP berjaya memenangi hati rakyat dan membentuk kerajaan, manakala Sa'adat hanya memperolehi sekitar 5 peratus undi.

Rakyat Turki akan terus memberi undi dan mempertahankan AKP jika mereka mengambil jalan hemah dan kebijaksanaan seperti sekarang, jalan penengah yang unggul atau disebut golden mean.

Dalam satu pilihanraya sebelum ini, Erdogan meminta kepada rakyat Turki supaya memberi mandat penuh kepada AKP supaya mereka boleh memerintah dengan mandat yang sangat kuat, termasuk merubah perlembagaan. Rakyat Turki mula melihat Erdogan dan AKP naik daun, akibatnya mereka gagal mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan, sehingga pilihanraya semula dilakukan.

Begitulah rakyat Turki, mereka sangat tahu tentang duduk bangun mereka. Erdogan dan AKP juga perlu sangat teliti untuk membawa Islam ke dalam sistem tadbir urus mereka, tersilap langkah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Jika tidak mampu memikul semuanya, janganlah menyebabkan semua terpaksa ditinggalkan.

Saya tidak terkejut apabila seruan Erdogan untuk turun mempertahankan Turki daripada rampasan kuasa tentera disambut oleh rakyatnya sebegitu rupa, apatah lagi dalam dingin dinihari begitu. Saya tidak terkejut apabila pendokong sekular dan Islamis sama2 mempertahankan kerajaan AKP ini. Si sekular dengan seluar pendek dan free hair dijalanan, para Islamis melaungkan azan di masjid secara berterusan untuk membangunkan ummah bagi menentang penjajahan tentera.

Mungkin pandangan saya tersilap, namun saya lebih cenderung terhadap parti Islam yang mementingkan pelaksanaan nilai2 Islam secara bijaksana tetapi dipertahankan oleh rakyat dengan darah dan nyawa apabila cuba ditumbangkan oleh tentera, berbanding parti Islam yang penuh dengan slogan Islam tetapi ditumbangkan oleh rakyat dalam pilihanraya.

Adnan Ahmad

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...