TERKINI :

Thursday, July 21, 2016

Turki: Berselindung di sebalik topeng yang koyak

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ (١٢٠ البقرة)

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikut kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu." (Surah Al-Baqarah: ayat 120)

Sebaik sahaja gagalnya rampasan kuasa di Turki oleh segelintir tentera yang mengaturnya, keseluruhan negara barat, termasuk negara Islam yang berada di bawah ketiaknya yang busuk itu membuat kenyataan menyokong kerajaan Turki yang dipilih secara demokrasi, dengan peringatan supaya menghormati undang-undang dan hak asasi manusia, termasuk tidak menjatuhkan hukuman bunuh terhadap mereka yang nyata terlibat dengan rampasan kuasa yang telah terkorban dibunuh dan cedera ditembak.

Beberapa minggu dan bulan sebelum rampasan kuasa, beberapa media barat menyiarkan penulisan yang menyatakan kebimbangan dan keraguan terhadap Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang dianggap melakukan perubahan yang dikira ancaman dan bahaya oleh mereka khususnya kembali kepada Islam dan mengubah kiblat politiknya dalam hubungan antarabangsa.

(merujuk kepada Foreign Afairs 30 Mei, Foreign Policy 15 Jun, New Yorks Times 5 Julai)

Perlu diketahui senario dahulu yang diulang lakonannya, betapa kuasa besar barat yang berjaya menumbangkan kerajaan Uthmaniyyah di awal abad yang lalu, setelah berjaya mengkhadamkan pemerintah umat Islam yang berpeluang mendapat kerusi berkuasa memerintah negara tanpa hala tuju Islamnya, di samping Kerajaan Uthmaniyyah yang sangat uzur itu berjaya ditumbangkan, sehingga tanah air umat Islam dijajah, dipecah dan diperintah, rakyatnya diabdikan, hartanya rompak.

Setelah berjaya meletakkan Kamal Atartuk yang ditabalkan sebagai "Bapa Turki" moden dengan menyingkirkan Islam dan melanyaknya habis-habisan, sehingga dimasukkan ke dalam buku teks di seluruh negara jajahan termasuk negara kita supaya mengagungkan Kamal Atarturk.

Kamal Atartuk seorang ketua tentera diktator disanjung oleh barat sebagai seorang yang paling demokrasi dengan perlindungan istimewa melalui perlembagaan Turki yang dipilih anggotanya secara pilihan raya bebas dan demokratik, telah meletakkan di dalam perlembagaan Turki, prinsip dan konsep sekularisme yang mengharamkan politik Islam dengan apa cara sekalipun.

Sesiapa sahaja pemimpin yang hanya mencuba untuk memasukkan agenda Islam dalam kerajaannya mewajibkan tentera mengambil alih kuasa dengan perlindungan perlembagaan, inilah demokrasi ala Turki. Maka, sesiapa yang mahu memakai jenama Erdogan di Malaysia mesti membaca dan memahaminya.

Di awal tahun 50-an, Ali Adnan Menderes, seorang tokoh ilmuan Turki (peguam) keluar daripada Parti Kamal Atarturk (Parti Republik Rakyat) dan menubuhkan Parti Demokrat berdasarkan sekularisme mengikut undang-undang Turki.

Parti ini mencapai majoriti besar dalam Pilihanraya Umum 1954 dan Adnan dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya meningkatkan ekonomi Turki dalam aspek pertanian sehingga menjadi negara pengeksport pertanian besar ke pasaran Eropah, dengan mendapat sokongan besar daripada rakyat.

Tiba-tiba tentera dipimpin oleh General Jamal Jorsel merampas kuasa Adnan bersama Menteri Luar Potin Rusydi Zoghlo dan Menteri Kewangan Hasan Pulatkan dijatuhkan hukuman bunuh, kerana dituduh mengheret Turki kepada Islam. Semua negara barat berdiam diri apabila Islam menjadi mangsanya.

Selepasnya, muncul pula Profesor Najmuddin Erbakan tokoh jurutera, pencipta jentera berat di Jerman, khususnya menggunakan diesel. Beliau pulang ke Turki pada tahun 1960, sehingga berjaya melahirkan 300 orang pakar jentera dan Turki dapat mengeluarkan 30,000 buah jentera diesel setahun, menjadikannya tokoh yang sangat dihormati di Turki.

Seterusnya, beliau masuk ke alam politik menubuhkan Parti Kebangsaan Turki. Selepas sembilan bulan parti ini diharamkan kerana amaran panglima tentera General Muhsin Batur disebabkan lantangnya bersuara Islam.

Tahun 1972, Profesor Erbakan menubuhkan Parti Selamat Negara dan berkerjasama dengan Parti Artaturk, sehingga dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, sehingga juga berjaya mengheret Turki menyerang Cyprus bagi menyelamatkan umat Islam yang dibunuh oleh Kristian Ortodok Greece dan memulihkan hubungan Turki dengan negara Islam, serta berjaya mengharamkan Pertubuhan Fremasson yang mendukung perjuangan yahudi, seterusnya menyokong perjuangan Rakyat Palestin. Akhirnya, Jeneral Kanan Ivreen merampas kuasa kerana menyelamatkan sekularisme Turki. Profesor Erbakan ditahan dan diharamkan berpolitik.

Ketika beliau masih dikenakan tahanan rumah pada tahun 1983, saya berkesempatan berkunjung ke rumahnya dan mengenali Profesor Erbakan, selepasnya terjalin hubungan yang sangat akrab dan sering kali mengajak saya mengiringinya dalam lawatan antarabangsa.

Pada tahun 1992, Profesor Erbakan yang masih diharamkan berpolitik menubuhkan Parti Refah (kemakmuran) dengan dipimpin oleh Profesor Ahmad Tekdal.

Pada tahun 1996, Parti Refah mencapai kemenangan bersama Parti Toreliq Qawim (Jalan Betul). Kerjasama yang mencapai kemenangan menubuhkan Kerajaan Campuran, akhirnya Profesor Erbakan dilantik menjadi Perdana Menteri.

Beliau mengambil langkah menubuhkan G8, iaitu gabungan lapan buah negara umat Islam bersama Iran, Mesir, Pakistan, Nigeria, Indonesia, Malaysia dan Bangladesh. Mewujudkan kerjasama ekonomi dan lain-lain.

Adapun Recep Tayyip Erdogan berjaya menang sebagai Datuk Bandar Istanbul, dan akhirnya tentera memaksa Profesor Erbakan meletakkan jawatan dan Parti Refah diharamkan juga, akibatnya juga Profesor Erbakan dan beberapa pemimpin termasuk Erdogan dipenjarakan. Setelah dibebaskan, Profesor Arbakan tidak dibenarkan berpolitik sehingga meninggal dunia pada 27 Februari 2011.

Pengikut tegar Profesor Erbakan menubuhkan Parti Saadat dengan meneruskan pendekatannya. Adapun Recep Tayyip Erdogan dan Abdullah Gol menubuhkan Parti Adalat dengan dasar yang lebih ekstrem berterus-terang sekularnya sehingga mengadakan perjanjian tidak melaksanakan Islam di hadapan para jeneral tentera, meneruskan hubungan dengan Israel dan barat, sehingga memenuhi segala syarat untuk menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) namun tidak diluluskan juga.

Langkah yang dimarahi oleh gurunya Profesor Erbakan, namun Erdogan memekakkan telinga terhadap gurunya tanpa menjawab. Langkah Erdogan membebaskan dakwah dan kegiatan masjid, serta berterus-terang menyokong Palestin, dalam masa yang sama mencipta keadaan memulihkan hubungan dengan Israel, sehingga mendedahkan diri kepada kritikan yang keras daripada dalam dan luar, tetapi tidak mendapat kepercayaan barat dan sekutu-sekutunya.

Bahkan, polisi barat mengepung Turki terlibat dengan krisis negara jirannya, dan sekutu barat menguatkan ancaman pemberontak komunis Kurdis, dan mencipta tembakan Turki ke arah pesawat Rusia dan lain-lain.

Barang kali kerana Erdogan dan rakan-rakan yang akrab dengannya tetap bersolat dan beramal dengan cara hidup seorang Islam, isteri-isteri mereka berjilbab dalam majlis rasmi pun tetap menjadi teguran yang keras daripada golongan sekular, walaupun di atas konsep demokrasi dan hak-hak asasi manusia terhadap masing-masing.

Akhirnya merobekkan topeng barat yang menipu dan berpura-pura terhadap umat Islam di sepanjang masa, menunjukkan prejudis, oportunis, "double-standard", hasad dan lain-lain sifat lagi yang sangat negatif terhadap Islam, walaupun Islam dan penganutnya sangat berbudi dan berbahasa terhadap mereka, sejak zaman keemasan tamadun Islam sehinggalah zaman menjadi sasaran kezaliman mereka, dengan penjajahan, perhambaan, sehinggalah dijadikan mangsa pembunuhan perebutan kuasa dan ujian senjata.

Umat Islam terus menjadi sasaran fitnah kerana agamanya. Demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan yang sebenar, keadilan yang saksama hanya ungkapan manis yang tidak dirasa kalau berbau Islam sahaja. Semua kemenangan parti yang berteraskan Islam atau ada tanda-tanda menuju ke arah Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab tetap dinafikan.

Sejarah kemenangan Masyumi di Indonesia di tahun 50-an diguling dan diharamkan, kemenangan Mujahidin Afghanistan menghalau Soviet dikacaubilaukan sehingga mencetuskan huru-hara yang tidak padam sehingga kini, begitu juga kemenangan Parti Islam FIS di Algeria hanya dalam pilihan raya Majlis Perbandaran dirampas kuasa dan diharamkan secara terbuka, menjatuhkan Presiden Mursi di Mesir dengan dramanya yang tersendiri, sikap barat terhadap Revolusi Islam bermazhab Syiah di Iran juga dipulau dengan fatwa negara barat sehingga menyekat segala usahanya menyatukan umat menentang Israel dan lain-lain.

Kini giliran Turki dengan pendekatan Erdogan yang dinafikan Islamnya secara undang-undang yang merumitkan, dilakukan rampasan kuasa tentera yang diulang senarionya tiba-tiba menemui kagagalan. Sebaik sahaja beritanya tersebar, dapat disaksikan betapa negara penjajah dan sekutunya menunggu dan lihat siapa yang menang.

Kecuali Mesir yang menyokong rampasan kuasa gagal itu secara berani kerana mengikut sunnahnya, sehingga lebih ke hadapan daripada Israel yang membisu.

Semua negara barat terkini mendesak supaya Turki menghormati undang-undang tidak menjatuhkan hukuman mati oleh mahkamahnya nanti ke atas mereka yang nyata terlibat dalam rampasan kuasa yang gagal itu, sedangkan mereka boleh melakukan pembunuhan kerana perbezaan warna kulit membunuh beramai-ramai menyerang Afghanistan dan Iraq kerana khabar angin adanya senjata merbahaya atau adanya seorang sahaja yang diburu seperti Osama bin Laden, Saddam Hussin, Muammar Ghadafi atau Ayatullah Khomeini dan sebagainya, sebaliknya melindungi Salman Rusydi dan rakan-rakannya tanpa mahkamah dan bukti yang kukuh.

Mereka juga memejam mata terhadap pembunuhan rakyat Palestin, Rohingya dan terakhirnya hukuman mati ke atas para pemimpin Jamaat Islami di Bangladesh kerana kesalahan tidak menyokong perpecahannya daripada Pakistan setelah berlalunya masa lebih empat puluh tahun.

Perlu diperkenalkan tiga tokoh yang menggagalkan rampasan kuasa Turki, mereka bersama Erdogan, mereka ialah, Perdana Menterinya Binali Yildirim, Pemangku Penglima tentera yang memimpin operasi menentang pemberontakan, Jeneral Omet Dawardar dan Ketua Perisikan, Jeneral Dr Hakan Fidan.

Kali ini diharapkan jeratnya tidak mengena, laksana ayamnya terlepas, tangan berbau najis.

Benarlah firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 109:

وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ (١٠٩البقرة.)

"Banyak di antara ahli kitab menginginkan sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana rasa dengki dalam diri mereka, setelah kebenaran jelas bagi mereka. Maka maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu."

"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
16 Syawal 1437 / 21 Julai 2016 - HARAKAHDAILY 21/7/2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...