TERKINI :

Monday, July 25, 2016

Tiba masa OSA dikaji semula supaya tidak dimanipulasikan

Syaredzan Johan
25 Julai 2016
1MDB

BLOG Sarawak Report (SR) telah menyiarkan beberapa dokumen yang dikatakan telah diambil daripada laporan Ketua Audit Negara mengenai syarikat milik kerajaan yang bermasalah, 1MDB.

Laporan ini seperti kita tahu telah pun dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), yakni undang-undang berkenaan dengan rahsia rasmi dan maklumat rasmi di negara ini.

Sekiranya benar SR telah menyiarkan dokumen-dokumen yang dikelaskan di bawah OSA, maka pemilik blog tersebut tentu sekali telah melakukan beberapa kesalahan di bawah OSA tersebut.

Seseorang yang menerima apa-apa rahsia rasmi melakukan kesalahan sekiranya orang itu memiliki atau mengawal apa-apa rahsia rasmi jika orang itu tidak mempunyai hak untuk menyimpannya.

Di samping itu, ia juga merupakan suatu kesalahan sekiranya orang itu secara terus atau tidak, memberi maklumat bawah OSA kepada orang lain, melainkan orang yang memberi maklumat itu telah diberikan kuasa atau merupakan tanggungjawabnya untuk menyampaikan maklumat itu.

Menurut OSA, ‘rahsia rasmi’  adalah termasuklah dokumen-dokumen dan rekod keputusan dan perbincangan Kabinet serta Majlis Mesyuarat Negeri (Exco).

Dokumen berkenaan dengan keselamatan negara, pertahanan dan hubungan antarabangsa juga secara automatik dikelaskan sebagai ‘rahsia rasmi’ di bawah OSA.

OSA juga memberi kuasa kepada menteri, menteri besar atau ketua menteri, dan juga kepada mana-mana penjawat awam yang dilantik oleh menteri, menteri besar atau ketua menteri untuk mengelaskan apa-apa maklumat atau bahan sebagai ‘Rahsia’, ‘Terhad’ atau ‘Sulit’, yang kemudian akan menjadikan maklumat atau bahan tersebut sebagai ‘rahsia rasmi’ di bawah OSA.

Oleh itu, kuasa untuk mengelaskan maklumat atau bahan sebagai rahsia rasmi diberikan dengan luas. Ini juga bermaksud bahawa banyak dokumen yang telah dikelaskan sebagai rahsia rasmi.

Akta tersebut tidak menghendaki menteri, menteri besar, ketua menteri atau penjawat awam yang berkenaan untuk memberi justifikasi mengapa sesuatu maklumat atau bahan itu harus dijadikan rahsia rasmi.

Maknanya, apa-apa jenis maklumat atau bahan boleh dijadikan rahsia rasmi, tidak kira sama ada ia ada keperluan untuk menjadikan ia sebagai rahsia. Maklumat tersebut tidak perlu berhubung dengan keselamatan awam atau pertahanan, contohnya.

Ini juga bermakna OSA ini boleh digunakan untuk menutup atau menyorok kecuaian, salah tadbir, salah laku ataupun kesalahan di dalam kerajaan tanpa perlu ada apa-apa justifikasi diberikan. Jika ada yang tidak kena, cara yang mudah untuk merahsiakannya adalah dengan menggunakan OSA.

Berkenaan dengan laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, ramai yang mempersoalkan mengapa laporan ini masih di bawah OSA apabila ia dilakukan ke atas syarikat milik kerajaan dan digunakan untuk membuat laporan Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC).

Ia memberi persepsi, sama ada betul atau tidak, bahawa kerajaan tidak mahu orang ramai mempunyai akses kepada laporan tersebut.

Undang-undang lapuk seperti OSA tidak patut ada lagi dalam sebuah negara moden dan demokratik seperti Malaysia. Seluruh dunia kini menuju kepada mewujudkan kerajaan-kerajaan yang terbuka dan telus. Banyak negara telah menggubal undang-undang kebebasan maklumat untuk menggantikan undang-undang dengan rejim yang sama seperti OSA.

Ini sebab mengapa ramai yang memanggil supaya OSA ini digantikan dengan suatu akta yang mempromosikan ketelusan dan kebertanggungjawaban, di samping mendukung hak untuk kebebasan maklumat.

Memang untuk beberapa jenis maklumat dan bahan, perlu ada kawalan dan kerahsiaan. Tetapi ini mesti terhad kepada keselamatan negara, pertahanan atau hubungan antarabangsa. Bukan semua jenis maklumat atau bahan.

‘Rahsia rasmi’ mesti ditakrifkan dengan khusus untuk hanya merangkumi maklumat-maklumat seperti ini, dan bukannya luas sehingga ia boleh disalahgunakan.

Juga mesti ada mekanisme untuk memastikan apa-apa maklumat yang dijadikan rahsia boleh dijustifikasikan sebagai rahsia; apa-apa pengelasan yang salah dan dibuat dengan sengaja harus dijadikan kesalahan.

Dengan ini, akta yang baharu tidak lagi boleh dijadikan alat untuk menutup atau menyorok kesalahan dalam kerajaan. 

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...