TERKINI :

Monday, July 25, 2016

Syor hanya mereka tak merokok diambil bekerja - Exco Kedah

LANGKAWI: Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong hari ini mencadangkan supaya hanya calon yang tidak merokok dipertimbangkan untuk menyandang jawatan dalam sektor awam atau swasta.

Beliau berkata pelaksanaan syarat itu boleh menjadi satu permulaan kepada usaha untuk membuang tabiat merokok dan menyemai amalan hidup sihat dalam kalangan tenaga kerja.

"Langkah ini jika dapat dibuat akan dapat menanam tanggapan 'kalau merokok susah nak dapat kerja' sekaligus boleh memaksa pencari kerja meninggalkan tabiat merokok," katanya ketika merasmikan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2016 peringkat negeri di sini.

Menurutnya, penjawat awam dapat menjadi contoh kepada anggota masyarakat lain untuk menghentikan tabiat merokok dan seterusnya mengurangkan lagi masalah kesihatan yang dialami di negara ini.

"Visi kita untuk mewujudkan masyarakat yang bebas daripada ancaman asap rokok akan dicapai melalui penyatuan dan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Semasa ditemui media selepas majlis itu, Dr Leong berkata pelaksanaan syarat tidak merokok untuk pencari kerja adalah cadangan peribadinya dan beliau mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak berhubung perkara itu.

"Memang ada pihak yang akan berkata berdasarkan hak asasi manusia, mungkin ini satu cadangan yang tak boleh dilaksanakan...terpulanglah untuk masyarakat sama-sama berbincang," katanya.

Menyentuh mengenai perancangan Jabatan Kastam untuk melaksanakan peraturan baharu mengehadkan penjualan rokok bebas cukai di Langkawi mulai 1 Ogos ini, beliau berkata langkah itu tidak mungkin dapat mengurangkan tabiat merokok mahupun masalah penyeludupannya dari pulau ini.

Menurutnya dalam keadaan sekarang, penambahbaikan aktiviti penguatkuasaan dan rondaan adalah langkah lebih baik berbanding memperkenalkan peraturan yang mungkin akan hanya menggalakkan lagi aktiviti penyeludupan.

"Pengawasan yang baik akan meminimakan atau sekurang-kurangnya kita tahu apa yang berlaku dan kita dapat menjejak (mereka yang menjalankan aktiviti penyeludupan)," katanya. - BERNAMA

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...