TERKINI :

Thursday, July 28, 2016

Statistik jenayah menakutkan, tetapi Malaysia masih aman

Dr-P-Sundramoorthy1
PETALING JAYA: Kes tembakan yang kerap berlaku dalam negara ini menunjukkan penjenayah semakin kejam dan tidak gentar berdepan hukuman berat, termasuk gantung sampai mati.

Pakar Kriminologi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr P Sundramoorthy berkata, penembak upahan juga semakin berani sehingga sanggup membunuh di khalayak ramai tanpa mengira masa dan tempat.

Bagaimanapun, tegasnya, jika dibandingkan daripada sudut ekonomi dan kejadian jenayah di negara lain, kadar jenayah di Malaysia tetap rendah dan masih boleh dikategorikan sebagai negara aman.

“Tetapi, apabila melihat statistik jenayah ia tetap menakutkan kerana apabila penjenayah menggunakan senjata seperti parang, mereka akan lakukan dengan kejam sehingga potong tangan.

“Apabila menggunakan senjata api, ia bukannya berniat mahu mencederakan, tetapi lebih bermotifkan membunuh,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Semalam, seorang lelaki ditembak mati di hadapan pusat beli-belah Setapak Central di Danau Kota, selepas 10 daripada 18 das tembakan yang dilepaskan dua daripada empat lelaki bermotosikal terkena kepala, dada dan paha mangsa.

Siasatan awal polis mendapati mangsa pernah terbabit dalam kegiatan kongsi gelap dan polis sedang menyiasat latar belakang serta perniagaan pinjaman wangnya adalah perniagaan sah atau sebaliknya.

Ini adalah kes tembakan kedua dalam tempoh sebulan selepas seorang ejen hartanah wanita ditembak mati dua lelaki bermotosikal dari jarak dekat, ketika memandu di Taman OUG, Jalan Klang Lama, pada 6 Julai lalu, manakala anak perempuan mangsa berusia lapan tahun yang duduk disebelahnya turut cedera terkena tembakan.

Sundramoorthy berkata, jika diselidik latar belakang, kebanyakan mangsa terbabit didapati mempunyai kaitan dengan penjenayah.

“Bila kita lihat, mangsa sendiri terlibat dalam kes jenayah, tidak semua tetapi kebanyakan.

“Malah, trend terkini juga tidak lagi menggunakan parang dan senjata tajam, tetapi menggunakan senjata api,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...