TERKINI :

Sunday, July 24, 2016

Skandal 1MDB: Rakyat perlu bersuara tebus maruah negara

Oleh Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad

Pengumuman kerajaan Amerika Syarikat berhubung skandal 1MDB semalam mengesahkan lagi apa yang kami tahu dan syak.

Amerika Syarikat merupakan salah satu kuasa ekonomi dunia utama yang menjalankan siasatan termasuk Singapura, Switzerland, England dan juga Hong Kong. Mereka adalah kuasa ekonomi dunia berwibawa dan berpengalaman.

Anehnya, akhbar pro kerajaan Malaysia meremehkan isu pengumuman kerajaan Amerika dalam usaha barat hendak menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ini adalah hujah usang yang sering digunakan bagi mempertahankan kerajaan yang korup dan tidak bermaruah.

Kenapa sudah bertahun dicabar, kerajaan tidak mendakwa di mahkamah akhbar Wall Street Journal dan Sarawak Report yang didakwa “memfitnah teruk” Najib? Itulah jalan yang paling logik.

Sejak akhir 2015, Majlis Raja-raja Melayu meminta kerajaan menyelesaikan masalah 1MDB tetapi tidak diendahkan. Adakah kerajaan menuduh Majlis Raja-raja Melayu mahu menjatuhkan Najib juga? Majlis Raja-raja hanya ingin membela nasib rakyat yang dirompak berbilion ringgit oleh pihak rakus.

Saya ingin memohon Majlis Raja-raja Melayu mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang bebas – Royal Commission untuk menyiasat isu 1MDB. Mereka berhak berbuat demikian kerana nasihat mereka diketepikan dan ketua audit negara berhubung 1MDB yang dirahsiakan selama ini.

Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dipecat kerana mempersoal isu 1MDB, sekaligus beliau diminta mengetuai rakyat dan pembangkang untuk mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bebas ini.

Sudah cukup Malaysia diaibkan dengan skandal terbesar kewangan dunia seolah-olah tiada penghujungnya, sekaligus mencemarkan nama baik negara kita.

Bangkitlah dari tidur lena rakyat Malaysia. Negara dan anak cucu cicitmu memerlukan kamu bersuara “sekarang” bagi menebus maruah bumi Malaysia yang harum suatu ketika dahulu.

Saya menyeru semua ahli Parlimen bertemu untuk mendesak Majlis Raja-raja Melayu bertindak.

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...