TERKINI :

Friday, July 15, 2016

Shane Smeltz Bongkar Rahsia Perpindahan Ke Kedah

Oleh: BASHAH ZAINOL ABIDIN
bza_56@yahoo.com.

"SEMUANYA berlaku sekelip mata dan tanpa dirancang. Ia bermula dengan kegigihan Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe."

Itu jawapan pemain import baharu Kedah, Smeltz Edward Shane atau lebih dikenali sebagai Shane Smeltz mengenai perpindahannya dari Sydney FC ke skuad Helang Merah.

Walaupun mempunyai pengalaman beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia pada 2010, namun bintang bola sepak New Zealand itu tetap merendah diri dan menganggap beraksi bersama Kedah akan menjadi pengalaman berharga buat dirinya.

Ketika berkongsi kisah perpindahan itu Shane berkata, dia bersetuju untuk ke Alor Setar selepas 'dilamar' Cheng Hoe.

Menurutnya, walaupun masih mempunyai baki kontrak selama setahun, namun Cheng Hoe telah berusaha dan melakukan banyak perbincangan bagi memastikan dia menyarung jersi hijau kuning.

"Kebijaksanaan Cheng Hoe berurusan dengan ketua jurulatih Sydney FC menjadi penyebab saya mendapat pelepasan daripada baki kontrak selama setahun lagi.

"Sebelum perbincangan ini berlaku, saya tidak pernah membanyangkan dapat beraksi bersama sebuah pasukan dari Malaysia.

"Sebelum ini saya sudahpun mengetahui mengenai Liga Malaysia menerusi beberapa pemain Australia termasuk Billy Mahmet yang pernah mewakili Kedah, tetapi tidak pula membayangkan akan berada di sini," katanya kepada mStar Online.

Shane menambah, walaupun baru sehari tiba di Alor Setar dan belum melakukan latihan, namun dia menerima cabaran Cheng Hoe yang ingin melihat aksinya ketika menentang Sarawak.

Penjaring terbanyak Liga Australia selama dua tahun berturut-turut  itu juga pernah menerima pengiktiran jaringan tercantik selain mewakili kelab gergasi China dan Austalia iaitu Shandong Luneng serta Gold Coast United.

"Kenangan manis sebagai pemain bola sepak profesional ialah ketika saya dapat menjaringkan gol dengan menewaskan penjaga gol terbaik dunia semasa menentang Itali dalam pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

"Disebalik pengalaman ini, saya tidak nafikan kehebatan sejarah bola sepak pasukan Kedah yang pernah memenangi tiga kejuaraan utama dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

"Oleh itu saya perlu membantu Kedah mengulangi sejarah ini bersama rakan sepasukan yang lain," jelasnya.

Shane selain itu turut teruja melihat aksi Thiago Augusto Fernandez yang berjaya menjaringkan satu gol dan membantu mendapatkan tiga jaringan lagi.

Katanya, perkembangan itu dan aksi pemain muda Kedah telah menaikkan semangatnya untuk berhempas pulas demi mendapatkan kejayaan selepas ini.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...