TERKINI :

Tuesday, July 12, 2016

Saman syarikat konsesi tol yang gagal menyelesaikan masalah kesesakan - PAS

Masalah kesesakan lebuhraya setiap kali musim perayaan dan cuti adalah masalah bersama. Malangnya, masalah ini hanya dipikul para pengguna lebuhraya yang terpaksa berhabis banyak masa dan minyak yang tidak diperlukan.

Hari ini, pengorbanan dan kesabaran pengguna lebuhraya tidak pernah dihargai. Malah, mereka dibalas dengan pelbagai perangkap hadlaju dan saman, yang tujuannya lebih kepada menghukum dan mendenda yang secara langsung menambahkan beban kos perjalanan mereka dan bukannya untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Contohnya, banyak perangkap hadlaju sengaja dipasang di tempat-tempat tersembunyi untuk memerangkap para pengguna lebuhraya. Ini seolah-olah menghukum dan mengikis duit pengguna lebuhraya adalah agenda utama perangkap hadlaju ini dipasang. Ramai hanya tersedar mereka terkena saman hadlaju apabila surat saman tiba di rumah.

Jikalau menyelamatkan nyawa para pengguna lebuhraya menjadi keutamaan perangkap hadlaju, maka sepatutnya perangkap hadlaju harus dipasang di selekoh-selekoh maut lebuhraya secara terang-terangan tanpa perlu bersembunyi.

Para pengguna lebuhraya pula diberikan amaran seawal 5km sebelum tiba di destinasi perangkap hadlaju yang dipasang agar mereka dapat mengurangkan kelajuan kereta sebelum tiba di selekoh maut supaya mereka boleh melalui mana-mana selekoh maut dengan kadar laju yang selamat dan tidak membahayakan diri dan keluarga. Ini sebenarnya tujuan asal perangkap hadlaju di mana ia adalah untuk menyelamatkan nyawa dan bukannya sebagai alat mendenda dan menghukum.

Tahun ini, fokus masalah lebuhraya ditumpukan kepada salahguna laluan kecemasan. Malah, Perdana Menteri sendiri ada membuat satu kenyataan khusus di Facebook menyentuh isu ini.

Dalam isu ini, PAS bersetuju bahawa laluan kecemasan tidak sepatutnya digunakan melainkan kecemasan.

Namun, PAS ingin mengingatkan pihak berkuasa bahawa jangan sekadar tahu saman pengguna lebuhraya tanpa melihat punca kesesakan lebuhraya sehingga pengguna terpaksa menggunakan laluan kecemasan ketika musim perayaan dan cuti.

Menyaman para pengguna lebuhraya yang menggunakan laluan kecemasan bukanlah penyelesaian kepada masalah kesesakan lebuhraya di depan mata setiap kali musim perayaan dan cuti.

Rakyat sudah ditekan dengan kekerapan kenaikan tol dari semasa ke semasa. Untuk berlaku adil, kerajaan harus mengenakan tekanan kepada syarikat konsesi tol untuk mencari formula menyelesaikan kesesakan di plaza tol.

Seperti para pengguna lebuhraya, syarikat konsesi tol yang gagal mengatasi masalah kesesakan di sepanjang lebuhraya, terutamanya kesesakan di plaza tol juga mesti disaman.

Syarikat konsesi tol yang gagal menyelesaikan masalah kesesakan di plaza tol, PAS mencadangkan agar ditarik balik kuasanya untuk mengutip tol sepanjang musim perayaan dan cuti kerana lebuhrayanya tidak dapat memberikan manfaat penjimatan masa dan minyak yang setimpal dengan kadar tol yang dikenakan pada para pengguna lebuhraya.

Antara plaza tol yang sangat sesak ialah Plaza Tol Bentong dan Gombak. Plaza ini telah terlalu lama beroperasi dan sewajarnya ia ditutup kerana telah melebihi tempoh. Paling tidak disarankan Plaza Tol Bentong dihapuskan dan kutipan hanya dibuat di Plaza Tol Gombak.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
11 Julai 2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...