TERKINI :

Tuesday, July 19, 2016

Rupa-rupanya Haji Hadi tidak bersedia nak bahas pindaan Akta 355 tempohari walaupun speaker suruh bentang.

Hadi sudah sedia bahas pindaan RUU

Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat, Oktober ini.

Menurutnya, usaha untuk mengusulkan RUU itu ke Parlimen sudah lama dilakukan pihaknya.

“Persediaan usul ini dilakukan sejak 1957 lagi dan banyak hujah kuat telah disediakan. Saya hanya menyambung perjuangan itu.

“Ini hak orang Islam. Kalau masyarakat bukan Islam ada hak untuk menganut agama masing-masing, maka orang Islam ada hak untuk pertahankan agama mereka,” katanya pada sidang media di majlis himpunan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, malam kelmarin.

Katanya, pihaknya telah bertemu dengan NGO-NGO Islam di negara ini untuk mendapatkan sokongan.

“Kita turut berdialog dengan pelbagai pihak, termasuk DAP.

“Mereka (DAP) telah buat kenyataan untuk tidak bersetuju dengan apa yang cuba kita bawa ke Parlimen. Tapi mereka tidak boleh menghalang kita,” katanya.

Abdul Hadi berkata, usul yang diketengahkan itu bukanlah tuntutan Pas semata-mata, tetapi keseluruhan umat Islam di negara ini.

“Ini adalah tanggungjawab orang Islam untuk menaik taraf bidang kuasa mahkamah syariah yang (kini) lebih rendah daripada mahkamah majistret, sedangkan Islam adalah agama rasmi di negara ini,” ujarnya.

Sebelum ini, timbul beberapa pertikaian membantah perlaksanaan Akta 355 dalam kalangan masyarakat bukan Islam dan segelintir pemimpin Islam.

Katanya, perlaksanaan Akta 355 hanya akan melibatkan orang Islam.

“Mahkamah syariah tidak melibatkan orang bukan Islam, jadi mereka tidak perlu menentang.

“Tapi (yang) lagi pelik (adalah) apabila melihat orang Islam sendiri menentang Akta 355 ini. Mereka (orang Islam) lebih menyokong bukan Islam,” katanya lagi.

Mei lalu, Hadi telah membentangkan RUU untuk meluluskan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Walaupun perkara dibentangkan itu melibatkan pindaan Akta 355 dan bukannya hudud, namun ia sekali gus memberi ruang kepada mahkamah syariah meningkatkan hukuman berbanding sedia ada.

Buat masa ini, kuasa-kuasa mahkamah syariah terhad kepada menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Abdul Hadi turut mencadangkan usul di bawah peraturan mesyuarat 15(5) dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...