TERKINI :

Sunday, July 24, 2016

PRN Pulau Pinang: Keputusan ‘gopoh’, DAP ‘gelabah’ – PAS

PETALING JAYA: DAP membuat keputusan ‘gopoh’ dan ‘gelabah’ berhubung rancangan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan pilihan raya awal di Pulau Pinang.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Fauzi Mohd Yusof berkata tindakan DAP dan Ketua Menteri Lim Guan Eng itu dilihat sebagai semata-mata untuk menjaga populariti mereka saja.

Fauzi berkata jika DAP dan Guan Eng ‘gentleman’, beliau mencabar ketua menteri itu dan ahli DAP negeri meletakkan jawatan.

“Pada asasnya kita nampak PRN ini hendak jaga populariti DAP dan Guan Eng. Itu asasnya saya nampak. Jadi DAP punyai kepimpinan yang ramai, kalau nak kembalikan, beri mandat pada rakyat untuk pilih. Letak jawatan saja, atau semua dalam DAP letak jawatan. Kalau gentleman buat demikian,” katanya kepada FMT.

Guan Eng sebelum ini menafikan rancangan DAP membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya awal di negeri itu adalah bagi menyelamatkan dirinya daripada dakwaan rasuah.

Pada 30 Jun lalu beliau didakwa atas dua pertuduhan salah guna kuasa. Beliau dituduh menggunakan kuasa ketua menteri dalam pengezonan semula tanah di Lot 436 dan 437 Derah Barat daya kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd dan mendapatkan balasan dalam bentuk rumah banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn yang dijual kepadanya di bawah harga pasaran.

Rancangan pilihan raya mengejut itu dikatakan tidak direstui sekutu DAP dalam Pakatan Harapan, PKR dan Amanah.

Beberapa pemimpin Umno dan PAS pula mendakwa ia merupakan usaha terdesak Guan Eng untuk menyelamatkan dirinya sebelum perbicaraan rasuah berlangsung pada September ini.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata dakwaan terhadapnya akan tetap dibicarakan walaupun DAP dan Pakatan Harapan menang pilihan raya negeri itu.

Mengulas lanjut, Fauzi berkata PRN di Pulau Pinang masih belum dapat kata putus disebabkan tiada persefahaman di dalam Pakatan Harapan.

Katanya, DAP seharusnya tidak bertindak terburu-buru dan perlu mencapai kesefahaman antara parti dalam Pakatan Harapan sebelum membuat keputusan.

“Dia tidak dapat bersefahaman dalam Pakatan Harapan. Itu halangan DAP sekarang ini. Apabila tak dapat kerjasama parti dalam PH, dari sudut kerusi dan sebagainya, ini masalahnya,” katanya.

Sementara itu, Fauzi berkata PAS Pulau Pinang sedia mengarahkan jenteranya supaya bersiap sedia dengan kemungkinan berlakunya PRN dalam negeri itu pada masa terdekat.

“Kita sedia sebarang kemungkinan akan kita hadapi dalam PRN. Kita bekerja ke arah kemenangan. Kita ada kuota dan jentera sudah siap,” katanya.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipetik sebagai berkata parti Islam itu bersedia meletakkan calon di semua DUN di Pulau Pinang, jika pilihan raya negeri diadakan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...