TERKINI :

Saturday, July 30, 2016

Polis pantau facebook yang sebar kebencian dan kekecohan dikalangan penyokong


GEORGETOWN - Polis akan memantau beberapa laman sosial termasuk akaun Facebook yang menyebarkan kebencian sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan penyokong bola sepak negeri ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Mior Faridalatrash Wahid berkata, tindakan itu dibuat berikutan insiden bas penyokong Kedah dilempar batu di Jalan Datuk Keramat, di sini, yang dikatakan dirancang dan disebar lebih awal di laman Facebook.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan ketenteraman awam dan akan memastikan budaya ganas atau samseng bola sepak tidak berlaku di negeri ini.

"Sekarang ini kami pantau semua termasuk beberapa akaun Facebook yang dikenal pasti menyebarkan kebencian dalam kalangan penyokong bola sepak dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selasa lepas, bas yang membawa penyokong Kedah dilempar batu oleh sekumpulan lelaki bermotosikal dipercayai penyokong Pulau Pinang selepas perlawanan Liga Super antara kedua-dua pasukan itu yang menyaksikan Pulau Pinang menewaskan Kedah 3-2.

Berikutan itu, polis menahan enam lelaki yang disyaki terlibat semalam, dan kesemua mereka yang berusia antara 16 dan 40 tahun itu direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan. - Bernama

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...