TERKINI :

Monday, July 25, 2016

Penipuan dana AS$1b: Malaysia serius

NIZAM ZAIN / SH
25 Julai 2016

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim menyambut baik kesungguhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, langkah itu menunjukkan keseriusan SPRM untuk meneliti secara lebih dekat, dakwaan penipuan dana AS$1 bilion milik 1MDB menerusi saman sivil yang difailkan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS, awal minggu lalu.

“Sekurang-kurangnya SPRM boleh menyiasat segala bentuk tuduhan tersebut supaya dapat memberikan satu gambaran di peringkat dunia, keseriusan kerajaan untuk meneliti perkara yang dibangkitkan oleh DOJ.

“Rakyat jangan mempolemikkan apa yang dilakukan SPRM. Mereka benar-benar satu badan bebas dan bertindak bagi memastikan kredibiliti SPRM dipandang tinggi di peringkat dunia,” katanya, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang mengesahkan agensi itu menjalin kerjasama dengan FBI berhubung siasatan 1MDB.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat seorang ahli perniagaan yang dikatakan menipu 1MDB, dan turut terlibat dengan pengubahan wang haram sebelum membawanya ke AS.

Irmohizam yang juga ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) berkata, siasatan 1MDB melibatkan kedaulatan negara dan kerajaan perlu memastikan ia dilakukan tanpa campur tangan kuasa luar.

“Lebih baik Kerajaan Malaysia sendiri yang menyiasat kerana campur tangan kuasa luar boleh mempengaruhi persepsi yang tidak baik dalam kalangan masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

“Malaysia sudah mempunyai agensi-agensi yang sangat bebas dan telus. Tak perlu pihak kuasa asing ingin menjadi hero di peringkat dunia,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...