TERKINI :

Wednesday, July 13, 2016

Penduduk di Kampung Bohor, Mukim Hutan Kampung rayu baiki jalan berlopak

Penduduk rayu baiki jalan berlopak

ALOR SETAR - Penduduk di Kampung Bohor, Mukim Hutan Kampung merayu kepada pihak bertanggungjawab supaya dapat membaiki dan menurap jalan di kampung itu yang semakin rosak.

Penduduk mendakwa, jalan itu semakin berlopak hingga menimbulkan masalah kepada mereka terutama kepada kanak-kanak yang turut mengguna jalan sepanjang kira-kira 200 meter itu.

Penduduk, Azlina Abdullah, 37, berkata, jalan itu semakin berlopak sejak dua tahun lalu selepas tiada penyelenggaraan dilakukan sejak 1995 oleh pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, kali terakhir jalan itu diturap sejak 20 tahun lalu dan ia mendatangkan bahaya terutamanya ketika kenderaan berselisih sewaktu melalui laluan itu.

"Pada tahun lalu, anak saya, Mohd Kamarul Radzi Abd Malek, 10, terjatuh ke dalam lopak di situ ketika menunggang basikal menyebabkan tangannya patah.

"Ini menyebabkan ibu bapa di sini bimbang perkara sama turut berlaku ke atas anak mereka lebih-lebih lagi ketika hujan, lopak itu akan dipenuhi air," katanya.

Haminah Ahmad, 63, pula berkata, masalah itu pernah diadukan kepada beberapa pihak tetapi sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, sebelum ini penduduk telah mengumpul wang bagi membaiki jalan itu supaya mereka dapat melaluinya dengan lebih sempurna sementara menunggu peruntukkan membaiki jalan raya.

“Bagaimanapun sehingga kini masih belum lagi ada pihak yang datang membaiki jalan ini, malah semakin berlopak.

"Oleh itu saya merayu kepada pihak berkenaan supaya dapat membaiki jalan ini bagi memudahkan penduduk menggunakannya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Bohor, Othman Husin berkata, beliau sudah pun memaklumkan masalah ini kepada Pejabat Daerah Kota Setar dan berjanji akan membaikinya pada April lalu.

Bagaimanapun beliau kecewa kerana sehingga kini belum ada sebarang tindakan daripada pihak berkenaan walaupun sudah dikatakan ada peruntukkan membaiki jalan itu.

“Insya-ALLAH saya akan merujuk sekali lagi bagi mengetahui perkembangan selanjutnya supaya masalah jalan itu dapat diselesaikan secepat mungkin demi kebaikan penduduk di kampung itu,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...