TERKINI :

Monday, July 25, 2016

Pembangkang wajar mencapai kesepakatan sekiranya mahu melihat BN kecundang dalam PRU 14

Pas perlu bersikap lebih terbuka
Wartawan Sinar Harian
25 Julai 2016

ALOR SETAR - Hasrat pembangkang untuk menjatuhkan BN dalam PRU akan datang tidak akan tercapai sekiranya masing-masing membawa haluan sendiri.

Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, parti pembangkang wajar bersatu atau mencapai kesepakatan sekiranya mahu melihat BN kecundang dalam PRU.

“Sampai bila pun impian pembangkang mahu terajui negara tidak akan tercapai jika tiada kesatuan sesama parti pembangkang. Hasrat pembangkang adalah untuk tewaskan BN, jika sesama sendiri tidak sepakat, seolah kita memberi jaminan kemenangan kepada BN,” katanya, ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka beliau, di Masjid Al-Maarif, Kampung Huma.

Menurut Ketua Pembangkang Dun Kedah itu, pimpinan Pas perlu berlapang dada dan bersikap lebih terbuka berhubung pandangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru kepada gencatan senjata sesama pembangkang dan menggembleng tenaga menumbangkan BN.

“Saya mengalu-alukan sekiranya perkara itu benar-benar berlaku. Sudah lama tunggu kenyataan seperti itu dikeluarkan pimpinan Pas, sepatutnya pendirian itu sudah lama dibuat,” katanya.

Amiruddin berkata, apabila Tuan Ibrahim menyebut perlunya gencatan senjata, ini bermakna beliau sudah mengenal pasti siapa musuh sebenar Pas.

“Musuh sebenar pembangkang hanya BN. Persefahaman perlu ada untuk pembangkang lawan 1-1 dengan BN, untuk elakkan pertandingan tiga penjuru kalangan pembangkang. Saya percaya rakyat juga mahukan begitu,” katanya.

Amiruddin secara terbuka turut mengesahkan tindakannya meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Pas kawasan Kuala Kedah sebelum ini, mempunyai kaitan dengan polisi parti.

“Saya berasakan polisi Pas memeterai kerjasama blok ketiga bersama Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) tidak membawa kepada kemenangan dalam PRU, kerana akan wujudnya pertandingan tiga penjuru dan pecah undi,” katanya. 

Menurutnya, diharap apa yang dinyatakan sebagai gencatan senjata itu menjadi dasar Pas, selain inisiatif parti untuk merealisasikan hasrat itu.

Mengulas mengenai pembentukan parti baharu diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, katanya, mana-mana pihak sama ada Pas mahupun Mahathir, yang mahu bersama dalam usaha menjatuhkan BN perlu bersikap terbuka antara satu sama lain.

“Mungkin suatu ketika dahulu, mereka musuh politik kita.

"Berilah peluang kedua untuk masing-masing memperbaiki kesilapan lalu,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...