TERKINI :

Wednesday, July 27, 2016

Pembangkang: Apakah Pemuda Umno sokong Jho Low, Riza Aziz?


Pakatan Harapan negeri Perak membidas tindakan Pemuda Umno yang membuat laporan polis ke atas tiga pegawai terkanan dalam kerajaan dengan menganggapnya sebagai biadap, tidak bijak dan berbentuk ugutan politik terhadap semua penjawat awam.

Sebaliknya, kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pengerusi PKR Perak, Dr Manuty Muhammad, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Alwi itu mempersoalkan mengapa Pemuda UMNO tidak membuat laporan terhadap Jho Low dan Riza Aziz.

"Tindakan Pemuda UMNO tidak membuat laporan polis ke atas mereka yang dinamakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dalam penyelewengan dan penipuan duit 1MDB menunjukkan sayap Umno ini menyokong rasuah dan hilang segala kewibawaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun membuat laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Menurut Khairul Azwan, ketiga-tiga individu berpengaruh di negara ini dipercayai terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia yang sah.

Dakwanya, ketiga-tiga mereka disyaki memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara termasuk kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tanpa kelulusan sah oleh pihak berkuasa Malaysia, termasuk Jabatan Peguam Negara.

Beliau yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi juga mendakwa sebahagian besar maklumat dokumen yang dikemukakan adalah palsu, diputar-belit dan direka untuk mencapai agenda jahat mereka.

Mengulas lanjut, Pakatan Harapan negeri itu menambah, tindakan Pemuda Umno itu juga boleh disifatkan sebagai serangan terbuka ke atas kredibiliti institusi penjawat awam negara ini.

"Pakatan Harapan mendapati tindakan Pemuda Umno merupakan ugutan politik terhadap penjawat awam dengan tujuan supaya institusi dan agensi kerajaan diperkudakan oleh Umno untuk melindungi mereka yang melakukan rasuah dan mencuri duit 1MDB yang berjumlah berbillion ringgit," katanya.

Kritikan menghujani Pemuda Umno terutama Khairul Azwan selepas beliau membuat laporan polis berkenaan.

"Laporan Pemuda Umno (adalah) satu juta langkah ke belakang untuk kemajuan dan pembaharuan di negara ini," kata bekas senator Umno Ezam Mohd Nor di Twitter.

Sebaliknya, kata Ezam, mereka patut buat laporan terhadap Jho Low dan pelakunya.

Turut sama mengkritik tindakan itu ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkannya sebagai tuduhan jahat, biadab dan kurang ajar kerana pihak yang dituduh banyak berjasa pada negara.

Justeru, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyoal Khairul Azwan berkaitan laporannya yang mendakwa wujud konspirasi peringkat tinggi untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...