TERKINI :

Tuesday, July 19, 2016

Pelanduk terlupa jerat........Melayu oh Melayu??

Mohamad Daud Sulaiman
Kenyang ketupat di Puncak Alam


Bila rancangan Malayan Union makin dicabar oleh orang Melayu, British beralih kepada plan seterusnya. Memang British mempunyai banyak plan dan pakar dalam putar alam bagi mengekalkan penjajahan mereka. Maka dengan itu lahirlah UMNO, pertubuhan yang dipenuhi oleh golongan elitis Melayu, dilatih untuk mengambilalih peranan British.

Kebanyakan pemimpin UMNO dikala itu adalah cikgu-cikgu, pegawai-pegawai Malayan Civil Service dan anak-anak bangsawan Melayu. Maka Melayu yg telah diInggeriskan ini senang mengikut telunjuk British untuk menjaga kepentingan British. Mungkin istilah dedak tidak wujud pada zaman sebelum merdeka. Tapi bagi setengah-setengah orang Melayu, hanya dengan berpakaian topi putih kolonial dan berkot 'cendol' (bush jacket), itu sudah cukup untuk menunjuk riak mereka sebagai elitis dikala itu.

Sikap riak inilah yang melahirkan kebencian terutama daripada golongan cendiakawan di dalam dan di luar UMNO. Peristiwa pertukaran kepimpinan UMNO daripada Dato Onn kepada Almarhum Tunku dan kekalahan Parti Negara pada PRU tahun 1952 memperlihatkan golongan pertengahan amat benci dengan sikap hidung tinggi golongan elitis Melayu ini.

Peristiwa tatkala menjelang pilihanraya umum yang pertama dalam sejarah Malaysia ini nampaknya akan berulang kembali. Memang sifat sejarah begitu. Cuma orang yang selalu lupa. Sepertimana Melayu dan sepertimana juga pelanduk. Mungkin sedikit berbeza latar belakangnya. Namun kesombongan golongan elitis yang memerintah pada waktu tersebut adalah elemen yg sama dengan masa sekarang.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa UMNO tidak boleh dijarah oleh bangsa lain. UMNO adalah Melayu dan Melayu adalah UMNO. Hilang UMNO, hilanglah kuasa politik Melayu. Satu khurafat yang telah tertanam kuat dalam benak Melayu sama seperti kuatnya pokok-pokok angsana di tepi Taman Tasik Taiping. Walaupun dah berusia tua.

Ada beberapa cubaan 'kudeta' didalam UMNO, contohnya pada zaman hujung pemerintahan Almarhum Tunku, pada zaman Tun Mahathir dan pada zaman Tun Abdullah. Tetapi UMNO tetap utuh walaupun ada luka bercalar. Ini kerana 'kudeta' tersebut hanyalah berkaitan bagaimana UMNO harus dipimpin.

Tapi sekarang UMNO menghadapi krisis kepercayaan kepada pemimpinnya. Yang menentang pula bukan hanya terdiri daripada golongan yang ingin mengambilalih kepimpinan, tentangan terbuka juga wujud daripada peringkat akar umbi akibat kebobrakan yang ketara barisan pemimpin tertinggi mereka.

Seperti PAS yang sedang senak perut tapi tidak mahu mengaku, keputusan PRK Sg Besar dan PRK Kuala Kangsar menunjukan perpecahan yang menghilangkan kumpulan tertentu dalam barisan kepimpinan utama boleh membawa padah kepada organisasi mereka. Samada PAS mahu mengaku atau tidak, itu soal kedua. Kalau penyakit yang sama ini menyerang UMNO, padahnya mungkin serupa juga. Berbeza dengan zaman Tengku Razaleigh dan DS Anuar Ibrahim, penangan Tun Mahathir, TS Muhyiddin Yassin, Dato Shafie Apdal bersama GKCM tidak boleh dipandang enteng oleh kem DS Najib.

Yang menarik adalah parti baru hasil buah fikiran Tun Mahathir ini akan menjadi wadah bekas-bekas ahli UMNO dalam Pakatan. Ini adalah suatu yang terbaik berbanding platfom PKR atau Amanah. Jika ini menjadi kenyataan, maka BN akan bertemu dengan ruas yang semakin tegap dan besar pada PRU yang akan datang.

Maka bertambahlah lagi sandiwara politik di Malaysia ini. Persoalannya, adakah pengakhiran DS Najib di puncak Putrajaya mengambilkira senario ini oleh penasihat-penasihat beliau. Jangan sampai tak cukup tanah lari nanti sudahlah.....

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...