TERKINI :

Sunday, July 24, 2016

Pasma alu-alukan kehadiran parti baharu

Wartawan Sinar Harian
24 Julai 2016

JITRA – Pasma amat mengalu-alukan kehadiran parti baharu yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sistem demokrasi negara bersama gabungan pembangkang.

Presidennya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, perkara itu secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi Pakatan Harapan untuk menentang BN pada pilihan raya.

“Mungkin ada sebilangan ahli, bekas-bekas Umno dan penyokong BN ini merasa lebih selesa untuk berada dalam parti lain (parti baharu).

“Tapi mereka digalakkan berada bersama parti pembangkang yang lain kerana ini akan mengukuhkan lagi Pakatan Harapan,” katanya kepada media selepas hadir pada majlis jamuan Aidilfitri Pakatan Harapan Kedah di Dataran Darulaman, di sini, kelmarin.

Menurutnya, tiada halangan kepada mana-mana parti sama ada parti baharu mahupun parti sedia ada untuk bersama Pakatan Harapan sebagai persiapan menghadapi PRU14.

“Kita nak kalau boleh semua parti yang menentang BN berada dalam satu gabungan supaya kita ada dua sistem dan mudah untuk rakyat buat keputusan pada pilihan raya nanti,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat beberapa lagi Adun Umno Kedah akan sertai juga parti baharu, beliau tidak menafikan perkara itu.

“Saya tak ada maklumat mengenai perkara itu, tapi saya rasa mungkin berlaku apabila wujud parti baharu. Ada sebahagian yang tak selesa dengan kepimpinan Umno sekarang akan serta parti baharu.

“Kalau mereka lompat parti dan BN hilang kuasa majoriti, akan berlaku perubahan kerajaan di parlimen ataupun di peringkat negeri. Itu biasa dalam sistem demokrasi dan kita harap itu yang berlaku. Tak perlu tunggu sehingga PRU14, boleh berlaku pertukaran kerajaan,” katanya.

Phahrolrazi (kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis Aidilfitri Pakatan Harapan Kedah, kelmarin.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...