TERKINI :

Tuesday, July 12, 2016

PAS KEDAH cadangkan telaga tiub jadi alternatif atasi masalah air

*KENYATAAN MEDIA*
*BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI KEDAH*
*11 Julai 2016 | 6 Syawal 1437*

*"Masalah Bekalan Air: Telaga Tiub Patut Jadi Alternatif"*

PAS Kedah menyedari bahawa infrastruktur bekalan air sedia ada sudah tidak mampu memproses dan mengagihkan bekalan air yang mencukupi di negeri ini.
Walaupun Kedah tidak mempunyai masalah bekalan air mentah, tetapi infrastruktur bekalan air (kapasiti pam, loji rawatan, tangki simpanan dan jajaran paip) sedia ada untuk menyedut, merawat dan mengagihkan air bersih sudah tidak mampu menampung keperluan orang ramai.

Punca utamanya ialah kesilapan kerajaan masa lalu  menyalahguna dana lebih RM2 bilion pinjaman dan geran bekalan air untuk membina infrastruktur yang tidak sepadan dengan jumlah wang.

Ada infrastruktur yang mengikut spesifikasi, tetapi kosnya berlipat kali ganda, bahkan merencatkan pembinaan infrastruktur lain pula. Ia berlaku berpuluh tahun semasa Kedah di bawah Barisan Nasional. Ibaratnya seperti dana yang dipinjam untuk membeli cerek besar tetapi hanya diguna untuk membeli teko kecil, sedangkan cawan yang menadah semakin banyak.

Penswastaan operasi rawatan air dan bekalan air ke Langkawi pula bukan sahaja tidak memberi pulangan kepada kerajaan, tetapi memakan belanja yang sepatutnya digunakan untuk membina infrastruktur baru agar selari dengan pertambahan penduduk. Perjanjian penswastaan pula diikat tanpa jalan keluar untuk kerajaan. Ibaratnya seperti memegang  pisau, pihak swasta pegang hulu, kerajaan pegang mata. Menolak pun berdarah, menarik pun berdarah.

PAS mengambilalih kerajaan pada 2008 dan mula membaiki kerosakan 50 tahun sebelumnya. Selain menubuhkan SADA dan meningkatkan kecekapan pengurusan, kita berjaya memastikan tiada sebarang ketirisan dana terjadi seperti masa lampau.

Kita memohon geran daripada Kerajaan Persekutuan atas semangat federalisme, digunakan untuk membina infrastruktur baru dan membaiki kerosakan dan keuzuran peralatan lama.

Namun permintaan kita untuk menggantikan jajaran paip yang uzur (punca utama kehilangan air-NRW) dan membina loji dengan kapasiti lebih besar tidak dipenuhi kerana kosnya melebihi RM1.6 bilion pada masa itu. Walaupun menghadapi masalah berkenaan bekalan air, kita masih mampu menghadapinya dengan berjimat cermat dan menyusun keutamaan.

Mungkin sebab utama permintaan Kedah tidak dilayan waktu itu Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan berlainan warna. Peliknya, selepas kedua-dua pihak menjadi sama warna selama lebih 3 tahun dan masalah air telah berulang beberapa kali, permintaan itu tetap tidak ditunaikan. Bukankah banyak masa telah terbuang begitu saja. Kenapa?

PAS Kedah bersimpati dengan kesukaran rakyat Kedah menghadapi situasi yang semakin serius, terutama sewaktu peningkatan penggunaaan air di musim perayaan.

Maka, sebagai langkah segera, PAS Kedah mencadangkan kerajaan membina telaga tiub di semua kawasan yang menghadapi masalah bekalan air, sebagai alternatif dan tindakan jangka pendek.

Kaedah ini telah digunakan dibanyak lokasi dalam dan di luar negara. Menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, terdapat kira-kita 5,000 bilion meterpadu simpanan air bawah tanah di negara ini. Contohnya di Daerah Padang Terap, terdapat sumber air yang banyak daripada rekahan batuan keras berusia hingga 240 juta tahun pada kedalaman 104 meter.

Satu telaga tiub telah dibina oleh jabatan tersebut di Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Siddiqiah Al-Islamiah di Kampung Padang Kerasak, Kuala Nerang. Telaga tiub itu mampu mengeluarkan 11,000 gelen air dalam tempoh sejam; kadar tertinggi di Semenanjung buat masa ini.

Berdasarkan kiraan kami, jika dilengkapi dengan pam dan tangki yang lebih besar, ia mampu menampung penggunaan sehingga 300 buah rumah berhampiran.

Kerajaan patut mendapatkan bantuan pihak Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia untuk mengenalpasti lokasi sesuai berdasarkan kepakaran mereka. Diumumkan, telaga tiub, pam dan tangki simpanan dengan kapasiti sederhana di sekolah terbabit hanya membabitkan kos RM85 ribu.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri boleh dan patut menyediakan dana yang mencukupi, dari sumber sendiri ataupun memohon geran daripada Kerajaan Persekutuan.

Kalau sebelum ini Kedah tidak dapat paip dan loji kerana berlainan parti, tidak mungkin telaga tiub juga tidak dipertimbangkan merana warna politik sudah sama. Paling mustahak adalah kerajaan negeri tidak  mengulangi ketirisan lampau.

PAS Kedah yakin, kos membina telaga tiub di semua kawasan yang mengalami gangguan air ini jauh lebih murah. Malah, lebih praktikal daripada membina infrastruktur air konvensional yang menelan belanja puluhan malah ratusan juta. Andainya projek seperti ini juga gagal dilaksanakan, BN Kedah patut berundur saja daripada menerajui kerajaan negeri.

_"Inilah Penyelesaian Kita"_

*USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI*
Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...