TERKINI :

Saturday, July 16, 2016

Parti baharu Tun M kuatkan lagi blok pembangkang

KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) menyambut baik perancangan Tun Dr Mahathir Mohamed  bagi menubuhkan parti baharu untuk bersama menguatkan blok pembangkang bagi menentang BN pada PRU14.

Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, blok pembangkang seharusnya menggunakan cara seperti BN bagi mengukuhkan lagi kedudukan mereka dengan memanfaatkan peluang dan masa yang ada sebaik mungkin.

“Pembangkang juga perlu menggunakan kaedah yang sama seperti mana BN berjaya membentuk kekuatan mereka dengan menggabungkan pelbagai parti yang menyokong  pemerintah.

“Saya amat bersetuju dan berbangga bila Tun M mahu tubuh parti baru yang sepakat untuk berada dalam satu gabungan parti-parti pembangkang untuk menentang BN dalam PRU14,” katanya.

Che Ibrahim berkata, kewujudan blok ketiga yang juga bersifat pembangkang hanya memberi keuntungan kepada BN, akan tetapi penubuhan banyak parti baharu adalah satu perkembangan baik bagi sebuah negara yang berdemokrasi.

“Apa yang tidak baiknya, bila parti-parti tersebut gagal mencapai kata sepakat antara blok pembangkang dan blok pemerintah,” katanya.

Tambahnya, jika parti-parti pembangkang boleh menerima kewujudan parti seangkatan yang lain, pastinya ia boleh membina lebih kekuatan untuk meraih lebih sokongan.

“Parti-parti pembangkang ini pastinya semakin melengkapkan perjuangan lebih utuh dan menambah kekuatan bagi berhadapan dengan parti pemerintah,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...