TERKINI :

Monday, July 4, 2016

Parti Amanah Negara: Si Kuning Dan Merah Yang Dilupakan

oleh M. Faiz Ahmad

http://ilhamcentre.com/wp-content/uploads/2015/11/parti_amanah_negara.jpg
Saya memiliki harapan yang meninggi terhadap Parti Amanah Negara (P.A.N). Ini kerana setelah sekian lama, saya mendapati terdapat lompang kosong dalam perjuangan siyasah di negara Malaysia yang tercinta ini.

Apa yang dicatat ini merupakan aspirasi dan impian saya, yang mungkin tidak penting dan tidak terlintas dalam pemikiran barisan pemimpin (PAN) atau ya, memang ada, cuma tidak diterjemahkan lagi. Dan, saya tidak boleh nafikan bahawa setiap kali saya meniti huruf PAN, akan terdetik di fikiran istilah PAN-ISLAM (Perpaduan seluruh Umat Islam yang amanah, islah/progresif dan ihsan/peduli, semestinya).

Sebagai seorang Melayu berbangsa Malaysia, saya bersyukur atas nikmat negara merdeka (mim ra dhal kaff) di atas bumi Malaysia (Mim lam-alif sim ya alif).

Sebagai seorang Melayu seperti anak-anak Melayu yang lain, saya dididik dengan bibit-bibit perjuangan. Salah satu tema yang amat masyhur dikalangan orang Melayu adalah perjuangan Alif-Baa-Taa (Agama-Bangsa-Tanah Air). Konsep ini begitu masyhur sehingga sering digunakan untuk menaikkan semangat perjuangan anak-anak bangsa, baik dalam ruang siyasah (politik) mahupun iktisad (ekonomi).

Begitu juga, sudah sekian maklum masyhur bahawa warna yang digunakan untuk mewajahkan konsep didikan ini adalah Hijau-Kuning-Merah. Hijau merujuk Agama, Kuning merujuk Bangsa dan Merah adalah Tanahair.

Simbol melalui warna-warna ini ternyata sangat memberi kesan yang mendalam bagi anak-anak Melayu Malaysia. Namun dari segi pemahaman dan tafsiran, ianya boleh jadi merujuk pola rakyat Malaysia (atau susunlapis ahli dalam mantan harakah pilihan) kita iaitu, Ulama-Profesional (bukan ulama’)-Umum (rakyat Malaysia) ataupun juga ulama, muslim (sebangsa dan seagama) dan bukan-muslim (rakan-rakan bukan seagama -sebangsa di tanah air negara Malaysia!).
Namun, ternyata mantan harakah pilihan sebelum ini sudah terlalu asyik masyuk dengan kehijauannya semata-mata. Sehingga merasakan bahawa perjuangan Alif Baa Taa itu cuma ada alif atau hijau sahaja lantas mengabaikan yang kuning dan yang merah.

Walhal adalah menjadi AMANAH para pemimpin harakah pilihan sebelum ini agar tidak terlupa tentang wasiat dan nasihat mantan pemimpin-pemimpin terdahulu. Ataupun tidak terus melupakan konsep tradisi ini bahawa setiap perjuangan tidak boleh tidak, harus berdiri seiringan baik hijau, KUNING, MERAH dalam mencapai impian dan wawasan yang ingin dicapai.

Namun, ianya telah tertulis seperti yang kini dialami, demi memberi pengajaran dan peringatan kepada kita umat Islam di tanah bertuah Malaysia ini.

Maka, kumpulan yang KUNING dan yang MERAH ini telah memilih untuk berhijrah dan berjuang dalam wadah mereka tersendiri demi memartabatkan kembali perjuangan Alif-Baa-Taa ini. Demi untuk bersua kemakmuran, kesenangan dan keharmonian buat bumi Malaysia tercinta ini.

Justeru maka bercampurlah warna kuning dan warna merah lebur dalam cawan parti siyasah baharu lantas menerbitkan warna JINGGA (OREN)- P.A.N.

Justeru saudara-saudaraku, ayuhlah kita bersatu bangun dengan wadah baru ini, maju memacu perjuangan dalam membela agama-bangsa-tanah air di Malaysia dengan wadah Islam progresif nan inklusif dari kumpulan yang terabaikan oleh kelompok hijau yang terlajak ayik masyuk bercinta dengan hijaunya. Kerana kita juga yang berdiri di bawah arus jingga (kuning+merah) tetap berjuang di atas dasar cinta tetapi cinta yang sedar diri, cinta yang terus membara demi menyelamatkan tanah air tercinta, bumi bertuah Malaysia!

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
M. Faiz Ahmad - Teratak Alif Ba Jim Dhal, Jitra.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...