TERKINI :

Tuesday, July 12, 2016

Pakatan Harapan hargai kehendak rakyat, persetujui ambil langkah kembali kepada rakyat

Kenyataan Media
Majlis Presiden Pakatan Harapan

PAKATAN HARAPAN HARGAI KEHENDAK RAKYAT, PERSETUJUI AMBIL LANGKAH KEMBALI KEPADA RAKYAT

Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bermesyuarat pada hari ini membincangkan dengan mendalam pelbagai perkembangan dalam negara yang telah berlaku sejak Pakatan Harapan ditubuhkan hampir setahun yang lalu. Pimpinan Pakatan Harapan menginsafi pelbagai cabaran dan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat mutakhir ini sedang pimpinan politik dilihat terlalu terperangkap dengan kegawatan politik sesama ahli dan parti-parti politik.

Pakatan Harapan mewarisi perjuangan pembangkang selama berdekad yang meletakkan kebajikan, kesenangan, keselamatan dan masa depan rakyat sebagai kepentingan teratas sesebuah parti politik. Oleh yang demikian, Majlis Presiden hari ini membulatkan nekad bahawa pelbagai kelemahan Pakatan Harapan setakat ini perlu diselesaikan dengan segera agar kepentingan rakyat didahulukan.

Majlis Presiden memutuskan:

1) Satu temu rapat pimpinan dari KEADILAN, DAP dan AMANAH akan diadakan dalam masa terdekat untuk meneliti dengan khusus strategi bersama Pakatan Harapan untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan

2) Pembentangan dan rundingan dengan rakyat mengenai Dasar-Dasar Bersama Pakatan Harapan yang menyeluruh dipercepatkan supaya tumpuan kembali kepada rakyat

Majlis Presiden Pakatan Harapan juga mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya tidak terlalu gah menguji kesabaran rakyat dengan pelbagai tindakan yang mencabul prinsip-prinsip keadilan, keluhuran perlembagaan dan membebankan rakyat. Pakatan Harapan akan merapatkan saf untuk mempertahankan hak dan kebajikan rakyat supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak mengambil peluang menutup segala penyelewengan semasa keadaan politik dilihat bercelaru sekarang.

Oleh itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam mesyuarat hari ini menyokong pendirian Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang bahawa Saudara Lim Guan Eng tidak perlu bercuti atau meletakkan jawatan kerana kes terhadap beliau adalah satu pemangsaan politik (“political persecution”) yang bertujuan mengukuhkan kedudukan politik Dato’ Seri Najib Tun Razak. Pimpinan Pakatan Harapan dari ketiga-tiga parti akan turut serta dalam program-program seluruh negara untuk membawa pemangsaan politik terhadap Saudara Lim Guan Eng ini kepada rakyat.

Majlis Presiden Pakatan Harapan juga yakin bahawa Pakatan Harapan adalah gabungan politik terbaik untuk mengukuhkan persaudaraan di antara pelbagai kaum di negara ini. Mengambil kira pelbagai usaha untuk memecah belahkan perpaduan kaum kebelakangan ini termasuk cubaan melabel bukan Islam sebagai kafir harbi, Majlis Presiden Pakatan Harapan akan meneruskan program-program yang meningkatkan persefahaman rakyat berasaskan rasa hormat kepada pegangan dan amalan setiap kaum di negara ini.

Rakyat juga terus dibebankan dengan pelbagai pemotongan peruntukan dan perbelanjaan akibat dari kedudukan kewangan lemah Kerajaan Persekutuan bersabit dengan skandal-skandal besar pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti 1MDB. Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengarahkan supaya pasukan ekonomi Pakatan Harapan mula menggubal Belanjawan Pakatan Harapan sementara usaha sedia ada membawa kebertanggungjawaban kepada skandal besar 1MDB diperhebatkan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan memandang berat beberapa kejadian keganasan yang disabitkan dengan Daulah Islamiyah (IS atau Daesh). Ini bermakna walaupun Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan ancaman keganasan sebagai alasan untuk memperkenalkan pelbagai undang-undang yang menyekat hak kebebasan rakyat seperti Akta MKN, POTA, Akta Hasutan dan SOSMA, pentadbiran beliau gagal mengekang ancaman ini. Oleh itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan menekankan perlunya satu jawatankuasa merentas parti mengenai ancaman keganasan ditubuhkan agar pimpinan pembangkang juga mempunyai peranan menangani ancaman bersama ini.

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas pandangan, teguran dan harapan yang diletakkan ke atas kami. Harapan itu tidak akan disia-siakan.

YB Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

YB Lim Kit Siang
Ketua Parlimen DAP

Saudara Mohamad Sabu
Presiden AMANAH

Selasa, 12 Julai 2016
Kuala Lumpur

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...