TERKINI :

Sunday, July 17, 2016

Negara kekurangan 900 doktor pakar kecemasan

ALOR SETAR: Negara masih kekurangan 900 doktor pakar kecemasan bagi tampung jumlah pesakit yang semakin bertambah, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Beliau berkata sehingga kini terdapat hanya 300 doktor pakar kecemasan di seluruh negara dan jumlah itu jauh lebih kecil berbanding jumlah pesakit yang perlu dirawat di hospital.

“Kita sasarkan untuk melahirkan 900 doktor pakar kecemasan tetapi jumlah itu sukar dicapai dalam masa terdekat kerana setiap tahun hanya 60 doktor sahaja yang berjaya dipilih berikutan jumlah kuota yang sedikit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Heart Wars First Malaysia Mass Costume CPR di Aman Central, hari ini.

Masalah itu kata Hilmi, disebabkan setakat ini hanya tiga buah universiti iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menawarkan kursus dalam bidang tersebut.

“Jika diikutkan, setiap tahun lebih 200 pemohon akan menghantar pemohonan untuk belajar menjadi doktor pakar tetapi daripada jumlah itu, hanya 60 doktor yang akan dipilih,” katanya.

“Saya berharap lebih banyak universiti-universiti negara dapat mewujudkan kursus yang bertepatan bagi membolehkan kita mencapai sasaran melahirkan 900 doktor pakar kecemasan dalam masa yang lebih cepat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya menyokong sekiranya Kementerian Pendidikan ingin mewajibkan pelajar untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit atau wabak yang berbahaya.

“Sehingga kini tiada undang-undang yang mewajibkan ibu bapa untuk memberikan suntikan imunisasi kepada anak-anak, namun sekiranya pihak Kementerian Pendidikan mengambil langkah untuk mewajibkan suntikan vaksin tersebut, kita sentiasa menyokong usaha mereka,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...