TERKINI :

Thursday, July 14, 2016

MT UMNO yakin gencatan senjata PAS sesama pembangkang akan gagal

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yakin seruan pemimpin PAS untuk melakukan “gencatan senjata” sesama pembangkang bagi menghadapi BN tidak akan berjaya.

Shamsul berkata banyak pandangan diutarakan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin lain parti itu ditolak oleh presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Saya tak lihat itu pendirian rasmi PAS, itu pendirian timbalan presiden saja dan pendirian itu sukar untuk menjadi pendirian rasmi parti.

"Saya percaya tidak ada komen-komen daripada pemimpin lain yang dari kalangan PAS sendiri akan bersetuju dengan pandangan tersebut.

"Sejarah pun telah membuktikan banyak pandangan timbalan presiden ditolak oleh presiden,” kata Shamsul dalam sidang media selepas majlis pelancaran Cabutan Wow! SSPN-I Plus 2016-2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur hari ini.

Tuan Ibrahim semalam dilaporkan menyeru “gencatan senjata” sesama pembangkang, sebaliknya menggembleng tenaga bersama dalam menumbangkan BN.

Tuan Ibrahim berkata, PAS dan parti-parti dalam Pakatan Harapan – DAP, PKR dan AMANAH – perlu bertolak ansur dan mencari titik persamaan tanpa membelakangkan dasar masing-masing.

Mengulas lanjut, anggota Parlimen Lenggong itu berkata umum mengetahui pakatan pembangkang sejak dulu gagal bersatu kerana memiliki idealogi berbeza.

"Saya tak lihat itu sebagai jalan penyelesaian dan gencatan senjata itu betul-betul akan berlaku.

“Saya juga tak lihat itu satu (perkara) yang dapat menyatupadukan mereka kerana terlalu besar perbezaan di kalangan pakatan ini.

"Tidak ada titik pertemuan pun, idealogi yang berbeza, matlamat yang tidak sama dan dengan perbezaan ini ia sebenarnya menyukarkan mereka bersepakat dalam hal itu tetapi saya percaya rakyat boleh membuat penilaian,” kata Shamsul yang juga pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPTN).

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad semalam turut menyokong gesaan 'gencatan senjata' oleh timbalan presidennya agar parti-parti pembangkang menumpukan usaha untuk menumbangkan BN dan bukan bertelagah sesama sendiri.

Sebelum itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali menyambut baik kenyataan Tuan Ibrahim dan berkata sekurang-kurangnya satu pakatan pilihan raya perlu dibentuk antara PAS dan Pakatan Harapan untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru.

DAP juga menyambut baik cadangan timbalan presiden PAS itu tetapi AMANAH mempersoalkan sama ada Tuan Ibrahim berkata demikian bagi pihak parti Islam itu.

AMANAH merupakan parti serpihan PAS. DAP, PKR dan AMANAH membentuk Pakatan Harapan, menggantikan Pakatan Rakyat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...