TERKINI :

Thursday, July 14, 2016

Mahkamah arah TV3 bayar Nizar ganti rugi RM200,000

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) supaya membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kerana memfitnahnya berhubung laporan berita mengenai isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Peguam Nizar, Mohd Fitri Asmuni berkata, jumlah ganti rugi itu merangkumi ganti rugi teladan dan keterlaluan. Bagaimanapun tiada arahan mengenai kos.

Keputusan hari ini dibuat oleh Timbalan Pendaftar, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.

Antara lain, Fitri memberitahu pemberita, jumlah ganti rugi itu juga mengambil kira status Nizar ketika itu sebagai bekas menteri besar.

Pada 26 Februari 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan oleh Nizar dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan TV3 membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Nizar selain mengarahkan agar taksiran ganti rugi dibuat di Mahkamah Tinggi.

Nizar selaku pihak plaintif memfailkan saman berhubung penyiaran berita mengenai isu nombor pendaftaran WWW 1 milik Sultan Johor yang dimenangi melalui proses bidaan berjumlah RM520,000.

Pada 12 April 2013, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan saman RM50 juta oleh Nizar dengan alasan TV3 dan Penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah selaku pihak defendan berjaya membuktikan pembelaan mereka berdasarkan kewajaran dan ulasan saksama dalam perkara yang melibatkan kepentingan awam.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...