TERKINI :

Friday, July 29, 2016

Lelaki india yang menjadi Mangsa tembak merupakan orang kanan Geng Satu Hati

NURAINA HANIS & ABD. HALIM
29 Julai 2016 12:58 AM

KUALA LUMPUR 28 Julai - Pemilik syarikat peminjam wang, V. Kandasamy, 43, yang mati terkena 10 daripada 18 tembakan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Taman Ibu Kota, Setapak, di sini semalam dipercayai orang kanan ahli kumpulan kongsi gelap, Geng Satu Hati.

Difahamkan, polis kini menyiasat kemungkinan mangsa ditembak oleh anggota kongsi gelap yang lain kerana perselisihan faham antara kumpulan itu.

Sementara itu, Ke­tua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh keti­ka ditanya pemberita mengenai peng­libatan mangsa de­ngan Geng Satu Hati mengesahkan perkara tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenainya.

“Ya, kita boleh sahkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Sehingga kini polis belum me­lakukan sebarang tangkapan dan motif pembunuhan masih disiasat.

Sementara itu, me­ngulas kes yang sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya percaya keempat-empat suspek yang terlibat da­lam kejadian masih berada dalam negara dan gerakan memburu mereka sedang dijalankan.

“Kita akan buru kesemua penjenayah ini, mereka tidak akan dapat lari ke mana-mana,” katanya.

Semalam, Kandasamy dibunuh selepas terkena 10 daripada 18 das tembakan dari jarak dekat oleh empat suspek di bahagian kepala, badan dan paha.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu, mangsa yang menetap di Wangsa Maju di sini sedang memberhentikan kereta Honda Accord yang dipandu bersendirian di lorong kanan jalan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Taman Ibu Kota bersebelahan pusat beli-belah Setapak Sentral, Setapak di sini.

Sementara itu, Bernama mela­porkan, rakan Kandasamy yang ditemui memberitahu yang mang­sa baru dua minggu membeli kereta baharu setelah mendapati ada pihak mengekorinya.

Rakan yang enggan dikenali berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan peminjam wang sejak kira-kira 10 tahun lepas, sebelum ini menggunakan Toyota Camry.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...