TERKINI :

Monday, July 4, 2016

Kenyataan ekstrem Mufti Pahang: Mana wasatiyyah Najib?


Saya percaya semua dalam kalangan kita yang mencintai keamanan di sebuah negara pelbagai kaum dan agama tidak ada menerima kenyataan keras yang dikeluarkan oleh Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman tentang parti DAP. Kenyataan itu boleh difahami sebagai gesaan supaya bertindak keras hingga pertumpahan darah.

Walaupun dalam banyak perkara saya sangat bertentangan dengan DAP khususnya melibatkan orang Melayu dan agama Islam tetapi saya menolak kenyataan Mufti Pahang supaya kita "memerangi" kafir harbi dalam DAP. Gesaan ini sangat bahaya dalam negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia.

"Kita dapat lihat DAP begitu menentang pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016. Prinsip mereka jelas membenci Islam dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama dengan mereka. Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk berbaik-baik dengan golongan bukan Islam. Namun jika mereka yang mahu menentang Islam, kita wajib memeranginya,” kata beliau kepada media baru-baru ini.

Sebenarnya hudud yang diperjuangkan oleh Pas bukan sahaja ditentang oleh DAP malah UMNO sendiri menentang hudud sebelum ini (sebelum UMNO berbaik-baik dengan Pas). Adakah ini membawa maksud UMNO juga wajib diperangi? Kenapa semasa UMNO menentang hudud kenyataan supaya memerangi UMNO tidak dikeluarkan?

Kalau diterbalikkan, gesaan Mufti Pahang itu seolah-olah mahu orang Islam melakukan sebagaimana orang Buddha berbuat kejam ke atas etnik Rohinya di Myanmar sekarang ini. Adakah ini yang kita mahukan? Adakah pengalaman pahit 13 Mei 1969 belum cukup mengajar kita tentang pertumpahan darah?

Hasutan Mufti Pahang sebenarnya jauh lebih bahaya daripada beberapa individu yang ditahan di bawah Akta Hasutan. Adakah ini membayangkan Mufti Pahang akan terlepas begitu sahaja?

Sepatutnya beliau tidak mengeluarkan kenyataan berbaur politik kerana kedudukan sebagai seorang agamawan adalah menyeru kepada keamanan. Tambahan pula setakat ini tidak ada kenyataan yang menyanggah daripada pemimpin UMNO termasuk Perdana Menteri, Najib Razak. Saya percaya ini lebih kepada kenyataan politik daripada seorang agamawan.

Apa sudah jadi dengan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) yang dijaja oleh Najib apabila Najib berdiam diri dengan kenyataan yang sangat bahaya seperti ini? Wayang apakah yang sedang dimainkan di sebalik wasatiyyah? Adakah wasatiyyah tidak lebih satu modal politik tetapi tidak diamalkan apabila ada yang melanggar konsep wasatiyyah berkenaan?

Secara terang-terang kenyataan Mufti Pahang bertentangan dengan konsep wasatiyyah. Kenyataan Mufti Pahang sangat ekstrem. Apabila kenyataan ekstrem dan bahaya ini tidak dibantah oleh UMNO dan Najib, jelaslah wasatiyyah tidak lebih satu "branding" politik semata-mata. Sehingga hari ini belum ada kenyataan daripada polis untuk menyiasat Mufti Pahang. Adakah polis juga tidak menganggap "remark" mufti ini tidak mendatangkan mudarat kepada negara?

Posted by ku_seman

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...